Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vietjet lancar penerbangan langsung S’pura-Phu Quoc

Mulai 30 Mei, laluan baru akan beroperasi empat kali setiap minggu – Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad
Mar 12, 2025 | 3:54 PM
Phu Quoc terkenal dengan pantainya yang tidak tercemar dan kehidupan liar yang jarang ditemui.
Phu Quoc terkenal dengan pantainya yang tidak tercemar dan kehidupan liar yang jarang ditemui. - Foto VIETJET

Syarikat penerbangan kos rendah Vietnam, Vietjet Air, akan melancarkan penerbangan langsung dari Singapura ke Phu Quoc, di selatan Vietnam, mulai 30 Mei.

Laluan baru antara kedua-dua destinasi ini akan beroperasi empat kali setiap minggu – Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Penerbangan yang mengambil masa 1 jam 45 minit akan berangkat dari Lapangan Terbang Changi pada 1.05 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Quoc pada 1.45 petang.

Penerbangan pulang dari Phu Quoc pula adalah pada 3.45 petang sebelum mendarat di Singapura pada 6.30 petang, mengikut waktu tempatan.

Ini merupakan laluan keempat Vietjet dari Singapura selain Bandar Ho Chi Minh, Hanoi dan Da Nang.

Pengumuman ini menyusuli penerbangan sulung syarikat penerbangan bajet Scoot dari Singapura ke Phu Quoc pada 20 Disember.

Phu Quoc terkenal dengan pantainya yang tidak tercemar dan kehidupan liar yang jarang ditemui, selain menempatkan Taman Nasional Phu Quoc yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera Unesco atau Unesco Biosphere Reserve.

Mengulas tentang laluan baru itu di majlis pelancaran di Orchard Hotel Singapore pada 11 Mac, pengerusi Vietjet, Dr Nguyen Thi Phuong Thao, berkata ini merupakan pencapaian yang mencerminkan aspirasi kedua-dua negara untuk saling memupuk pembangunan mampan.

Syarikat penerbangan itu, katanya, menyasarkan untuk membawa lebih 500,000 penumpang setiap tahun, membuka jalan bagi pelancong Singapura dan antarabangsa mengalami keindahan unik pulau itu.

“Ini bukan sahaja laluan penerbangan baru. Ia jambatan udara yang menghubungkan dua hab pelancongan, ekonomi dan budaya, membuka peluang kerjasama yang tiada penghujungnya.

“Sektor penerbangan merupakan kuasa yang memacu pembangunan mampan, merangsang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan budaya,” ujarnya.

Kini, katanya, Phu Quoc menempatkan lebih 80,000 bilik hotel dan menyambut jutaan pengunjung setiap tahun.

Ia juga berada di kedudukan yang baik untuk mengadakan acara antarabangsa yang besar seperti Sidang Puncak Asia Timur (Apec).

Menukil contoh, beliau berkata resort seperti Furama Danang telah menjadi tuan rumah kepada dua acara Apec di Vietnam pada 2007 dan 2017, menyumbang kepada proses pembukaan ekonomi pasaran Vietnam.

Vietnam akan menjadi tuan rumah bagi Apec buat kali ketiga pada 2027 dan ia bakal diadakan di Phu Quoc.

Bagi meraikan pelancaran laluan baru itu, Vietjet menawarkan promosi khas dengan tambang kelas Eco bermula dari $86 bagi penerbangan sehala.

Untuk menikmati harga promosi ini, penumpang boleh membuat tempahan hingga 13 Mac untuk perjalanan yang dibuat antara 1 April dengan 31 Oktober.

Selain itu, Penumpang boleh mengambil peluang daripada tawaran mingguan eksklusif Vietjet, dengan penerbangan dari Singapura ke Vietnam boleh didapati pada harga dimampui yang sama setiap Jumaat bagi perjalanan yang dibuat dari 1 April hingga 25 Oktober.

Tempahan boleh dibuat di laman www.vietjetair.com dan aplikasi Vietjet Air.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg