SHAH ALAM: Hasrat pelakon veteran, Allahyarham Jalil Hamid, 69 tahun, untuk menunaikan ibadah haji pada 2026 tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di sini, pada 4 Mei tengah hari selepas berdepan komplikasi jantung

Anak kelima Allahyarham, Afiqah Jalil, 33 tahun, berkata bapanya amat terkilan kerana sudah melakukan pelbagai persiapan termasuk menghadiri kursus haji dan memperbaharui pasport, namun perancangan itu terhenti disebabkan masalah kesihatan.

“Memang Ayah terkilan sebab tahun ini (2026) dia sudah pergi kursus haji dan buat persiapan, tetapi tidak dapat menunaikan haji kerana masalah jantung.

“Tahun lalu (2025) pun Ibu sahaja yang pergi menunaikan haji. Ayah memang kecewa, tetapi saya selalu pujuk dan cakap tidak mengapa,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengurusan jenazah Allahyarham Jalil di Masjid Al-Munawwarah, di sini, pada petang 4 Mei, lapor BH Online.

Menurut Afiqah, hasrat menunaikan haji adalah impian terbesar Allahyarham sejak sekian lama, malah sering menjadi topik perbualan mereka sekeluarga.

“Itu antara hasrat terbesar Ayah, dia memang teringin sangat nak pergi haji. Kami selalu juga bergurau tentang perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Afiqah berkata beliau bersyukur kerana masih sempat mencipta banyak kenangan bersama Allahyarham meskipun hubungan mereka sering disulami gurauan dan usikan.

“Alhamdulillah, saya masih sempat ada banyak momen dengan Ayah. Kadang-kadang kami bergurau kecil, tetapi semua itu jadi kenangan yang sangat berharga,” katanya.

Mengulas tahap kesihatan Allahyarham, Afiqah berkata bapanya menerima rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan menghadiri temu janji susulan seperti biasa.

“Semalam kali terakhir kami bersembang. Selepas subuh, Ayah banyak berehat dan tidur di bilik,” katanya.

Afiqah turut berkongsi perancangan keluarga yang tidak sempat direalisasikan, termasuk pelancaran buku autobiografi Allahyarham di Singapura minggu depan.

“Kami memang sudah rancang untuk ke Singapura bersama-sama. Semua persiapan termasuk pasport sudah siap.

“Ayah sangat teruja dengan buku itu dan selalu buat siaran langsung untuk promosikan. Dia sangat gembira dan bersemangat mengenainya,” katanya.

Allahyarham Jalil Hamid meninggal dunia di kediamannya di Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam kira-kira 12.30 tengah hari.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat asar, selepas diuruskan di Masjid Al Munawwarah.