Hawkerman Street Kitchen, sebahagian daripada Kumpulan Tenderfresh, melancarkan kerjasama dengan cef terkemuka, Eric Low, untuk memperkenalkan enam hidangan yang menonjolkan warisan masakan Singapura yang pelbagai.
Hidangan itu, termasuk makanan jalanan Teochew seperti, Chye Poh Kway Teow dan Oyster Omelette, serta klasik nyonya seperti mi siam kering dan laksa kering.
Ia boleh didapati di tiga cawangan Hawkerman di Clementi, Ang Mo Kio dan Haig Road.
Kerjasama itu bertujuan menawarkan pengalaman makan unik bagi merapatkan jurang budaya, menjadikan hidangan warisan itu boleh diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk masyarakat Islam.
“Enam hidangan itu diilhamkan oleh keinginan untuk mempamerkan kepelbagaian perisa warisan,” kata ketua pemasaran di Tenderfresh, Encik Christopher Yong.
“Kami mahu menghimpunkan hidangan yang jarang ditemui di satu tempat, terutama dalam persekitaran yang disahkan halal.
“Hidangan seperti laksa asam, laksa kering dan telur dadar tiram jarang ditawarkan di tempat makan sama, jadi kerjasama ini menawarkan peluang yang unik kepada pengunjung.”
Encik Yong berkongsi bahawa inspirasi di sebalik kerjasama itu berputik daripada satu perbualan yang pernah didengarinya di luar.
Seorang pekerja Cina merungut kerana tidak dapat berkongsi telur dadar tiram dengan rakan sekerjanya yang beragama Islam kerana kedai itu dahulu menyajikan hidangan bukan halal.
Ini menyedarkan Hawkerman – tentang keperluan untuk menyediakan makanan kegemaran serantau ini dengan cara yang boleh dinikmati semua.
Cef Low, yang terkenal kerana usahanya memperjuangkan masakan Teochew dan masakan warisan lain, dipilih untuk memastikan keaslian hidangan tersebut di samping menyesuaikannya untuk menu yang disahkan halal.
“Penglibatan Cef Low adalah penting untuk mengekalkan keaslian hidangan ini,” jelas Encik Yong.
Kepakaran beliau memastikan setiap hidangan, daripada laksa asam yang pedas hinggalah telur dadar tiram yang sedap, mengekalkan keasliannya sambil disesuaikan untuk memenuhi piawaian halal.”
Hidangan klasik seperti kuetiau chye poh (jeruk lobak putih) dan telur dadar tiram untuk menu halal moden memerlukan pertimbangan teliti.
“Adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan rasa dan tekstur yang menjadikan hidangan ini digemari,” kata Encik Yong.
“Kami bekerjasama rapat dengan Cef Low untuk menyesuaikan resipi, memastikan keaslian rasa sambil mematuhi garis panduan halal.
“Untuk telur dadar tiram, makanan laut alternatif yang halal telah digunakan, dan untuk kuetiau chye poh, kami mendapatkan bahan-bahan yang disahkan halal sambil mengetengahkan rasa masakan asli yang enak dan berasap,” tambahnya.
Walaupun menghadapi cabaran untuk menjadikan hidangan itu boleh diakses dalam konteks halal, Encik Yong berkata Hawkerman kekal komited untuk memastikan harga berpatutan sambil memastikan mutu.
“Kami telah berjaya mengekalkan harga pada hanya $5 setiap hidangan dengan mendapatkan bahan bermutu yang disahkan halal serta mengoptimumkan proses dapur kami,” jelasnya.
“Kami telah memperkemas operasi kami dan bekerjasama rapat dengan pembekal untuk memastikan bahan-bahan tersebut memenuhi kedua-dua cita rasa dan piawaian pemakanan,” ujarnya.
Harga yang berpatutan sejajar dengan visi Hawkerman untuk memperkenalkan hidangan warisan kepada lebih ramai pelanggan muda dan rencam.
“Kami mahu menjadikan resipi tradisional ini boleh diakses, membolehkan lebih ramai orang merasa warisan makanan Singapura yang kaya,” kata Encik Yong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg