Setelah menggegarkan persada seni Singapura dengan vokal lunak yang melantunkan lagu cinta, Kaulah Segalanya, sekitar 21 tahun lalu, penyanyi Hazrul Nizam, mendambakan sebuah lagi karya seni yang dapat menyentuh perasaan ramai.
Beliau bertuah kerana dapat bekerjasama dengan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik Malaysia, Amylea Azizan, yang banyak menghasilkan lagu romantis seperti Selagi Ku Ada (nyanyian Khai Bahar dan Nabila Razali).
Walaupun lagu ciptaan Amylea, Rawan dirakam pada 2023, Hazrul, 44 tahun, mengambil keputusan mengeluarkannya di platform digital pada September 2024 kerana memastikan ia tidak keluar serentak dengan dua projek duetnya pada 2023.
Hazrul berduet dengan sahabat karib dari Singapura, Diana Nazyra, menerusi lagu Sejuta Kata, disusuli dengan lagu Berat Hati bersama teman program realiti Gegar Vaganza 9 (GV9), Dina Nadzir.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi Zoom, Hazrul menjelaskan:
“Saya tidak mahu Rawan dikeluarkan terlalu cepat, tak lama selepas Sejuta Kata dan Berat Hati diterbitkan.
“Selain tidak mahu kelam kabut, saya juga pastikan saya dapat berikan yang terbaik bagi lagu solo saya selepas tempoh 21 tahun lagu Kaulah Segalanya diterbitkan.
“Selepas GV9, saya bertanya kepada pihak pengurusan saya di Malaysia siapa boleh sumbangkan saya lagu yang baik untuk dinyanyikan?
“Pengurus saya di sana, Tisha Shahar, mengusulkan Amylea sebab beliau adalah sepupu kawan baik Tisha.
“Alhamdulillah, Amylea sudi cipta dua lagu untuk saya. Tetapi saya lebih terpikat pada Rawan kerana hati saya lebih suka pada lagu balada atau ‘galau’.
“Dengar pengenalan lagu ini sahaja, saya terpegun sebab ia mempunyai sentuhan istimewa Amylea. Tambahan pula, lagu ini segar dicipta untuk saya dan bukan daripada koleksi pustaka lagunya yang dicipta sebelum ini.”
Hazrul menganggap Rawan yang diterbitkan HMA Entertainment (milik usahawan Hilwah Brown) mencabar nada vokalnya, lebih daripada Kaulah Segalanya, yang merupakan ciptaan penggubah lagu tempatan, Mayuni Omar.
“Saya tak pernah gunakan suara dengan nada setinggi itu. Banyak aspek nyanyian lagu ini memerlukan saya keluar daripada zon selesa saya. Ingatkan tak mampu, Alhamdulillah, boleh juga.
“Tapi tak dapat bayangkan bagaimana keadaannya apabila perlu nyanyi ‘live’ November ini menerusi program Manja di televisyen,” jelasnya lagi.
Hazrul mengtakrifkan Rawan bermaksud rasa pilu yang amat dalam, bukan sahaja kerana patah hati tetapi boleh juga memberi maksud seseorang yang kehilangan anggota keluarga, sahabat mahupun diri sendiri.
Bagi klip videonya yang akan dimuatnaikkan pada 13 Oktober, Hazrul akui tidak mahu mengetengahkan visual dirinya setakat berjalan di tepi pantai dan melontarkan kesedihan.
Sebaliknya, beliau idamkan video muzik yang mempunyai jalan cerita berisi dan bersyukur ini dapat direalisasikan menerusi sumbangan idea Ketua Pegawai Kandungan HMA Entertainment, Bobby Abdul Karim.
Video itu pula dijayakan tiga pelakon handalan Malaysia, Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Datuk Rahim Razali.
Bobby menjelaskan: “Jalan cerita yang saya bayangkan ialah mengenai seseorang yang kehilangan diri.
“Saya rasa begitu apabila terlibat dalam satu kemalangan. Kebahagiaan terasa diragut sebab kita mula bertarung dengan diri sendiri dan enggan bergaul dengan sesiapa.
“Tapi tidak semua datang daripada pengalaman peribadi saya pada 2021. Kami wujudkan watak suami isteri dan cari pengarah berpengalaman bagi mewujudkan unsur dramatik.
“Saya adalah peminat Hazrul dan saya juga memperjuangkan isu kesihatan minda sebab pernah melaluinya sendiri. Harap-harap lagu dan video muzik ini memberi kesan yang mendalam khususnya buat mereka yang pernah melalui pebagai cabaran hidup.”
Hazrul pula menambah: “Apabila menyanyikan lagu sedih, saya tak akan fikirkan perkara-perkara atau pengalaman yang mendukacitakan. Saya boleh menangis.
“Fikiran saya fokus pada isu yang cuba diketengahkan iaitu kehilangan diri.
“Saya juga bersyukur kerana bukan sahaja dapat barisan pelakon yang hebat untuk membantu saya tetapi dapat juga khidmat pengarah bukan calang-calang iklan Petronas, Bobby Husaini.
“Kerana pengalamannya menghasilkan video Petronas yang menyentuh jiwa, ini dapat diterapkan ketika mengarah video muzik Rawan.”
Diharapkan Rawan juga mempunyai impak yang sama seperti Kaulah Segalanya yang sudah distrim lebih 1.1 juta kali di wadah penstriman Spotify.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg