Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hero ‘Cinta Pertama’, Slamet Rahardjo, mentor paling peka

Jan 5, 2025 | 5:30 AM
Christine Hakim (kiri) yang memulakan kerjaya lakonannya pada usia muda 16 tahun sering merujuk pada rakan gandingannya dalam filem ‘Cinta Pertama’, Slamet Rahardjo, untuk panduan berlakon dan memperkasa wataknya.
Christine Hakim (kiri) yang memulakan kerjaya lakonannya pada usia muda 16 tahun sering merujuk pada rakan gandingannya dalam filem ‘Cinta Pertama’, Slamet Rahardjo, untuk panduan berlakon dan memperkasa wataknya. - Foto fail

Yang pertama pasti akan dikenang sampai bila-bila, dihargai dan disayangi hingga titik noktah kehidupan.

Baik cinta pertama, filem pertama, anugerah pertama, hero pertama dalam kerja seni yang dijayakan - semua ini bermakna dan terpahat dalam ingatan.

Justeru, kalau ditanya kesan kewujudan legenda filem Indonesia, Slamet Rahardjo, 75 tahun, dalam hidupnya, primadona filem Indonesia, Christine Hakim, 68 tahun, langsung tersenyum lebar.

Fikiran Christine terus menerawang pada detik-detik indah Slamet, juga seorang pengarah dan penulis naskhah filem, menjadi hero pertamanya dalam filem pertamanya pada 1973, Cinta Pertama.

Filem ‘pecah panggung’ yang memenangi Piala Citra 1974 (persis Oscar di Indonesia) di Festival Filem Indonesia bagi Filem Ceritera Terbaik, Pengarah Terbaik, Penyusun Muzik Terbaik, Seni Perfileman Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik (Christine) ini mengisahkan tentang gadis bernama Ade (lakonan Christine) yang jatuh hati dengan bekas banduan bernama Bastian (Slamet).

Cinta Pertama, arahan Teguh Karya, membawa pada Christine dan Slamet kerap digandingkan sebagai pasangan ideal dalam filem seperti Kawin Lari, Di Balik Kelambu dan Tjoet Nja’ Dhien.

Sangkanya selepas 24 tahun tidak berkongsi set filem sebagai gandingan serasi, maka tiada lagi tawaran membawa watak pasangan yang saling menyayangi.

Ternyata, walau seketika, ramai pencinta filem Indonesia terubat kerinduan menyaksikan Christine dan Slamet ‘disatukan’ sebagai suami isteri dalam filem meruntun jiwa, Bila Esok Ibu Tiada.

Filem ini baru sahaja ditayangkan di beberapa pawagam Cathay di Singapura mulai 2 Januari lalu.

Sewaktu dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom pada 30 Disember 2024, Christine berkata:

Pasir Berbisik pada 2001 merupakan filem terakhir saya bawa watak isteri Abang Slamet. Kami ada projek filem yang sama selepas itu tetapi watak kami bukan lagi suami isteri atau kekasih.

“Saya sangat bersyukur dipertemukan dengannya sebagai gandingan filem. Beliau bukan sahaja seperti abang sendiri tetapi guru saya yang menonton dan menuntun perjalanan seni saya sebagai seorang aktres.

“Beliau memperkenalkan saya pada dunia filem melalui filem pertama, Cinta Pertama, dan bagaimana membawakan peranan bagi setiap filem yang kami jayakan.

“Abang Slamet banyak memastikan saya memahami dan menghadam setiap watak yang saya bawa. Sebab pastinya, ada jiwa yang berbeza dalam setiap watak, dari segi latar belakang, pendidikan dan sosiobudaya.

“Saya diajar membuat kajian di perpustakaan, memastikan jiwa itu terbina bagi setiap watak. Semua ini dibantu dengan kostum dan warna kostum yang disesuaikan dengan perwatakan kita.”

Menurut Christine, kajian terperinci dikendalikan sebagai anak seni yang memahami bahawa pemilihan perabot juga penting dalam sesebuah adegan sebab ia perlu menggambarkan situasi dan status watak yang dibawa.

“Abang Slamet merupakan seorang mentor. Saya pelajari bahawa setiap raga (badan) mempunyai jiwa. Kalau jiwa itu tidak tergambar jelas dengan penghayatan, penonton takkan dapat merasakannya,” katanya lagi.

Satu rencana laman Valid News di Indonesia memetik Slamet sebagai berkata bahawa awal penglibatannya dalam seni, Christine merupakan gadis kota yang sukar fokus sehingga perlu diajak menjalani latihan meditasi agar mampu meresapi watak dengan mudah.

“Saya pernah menyiram tubuh Christine dengan air agar dia mampu fokus. Saya juga pernah bawa dia ke kawasan perkuburan di tepi hutan ketika menjalani penggambaran Tjoet Nja’ Dhien di Aceh. Ini bagi memastikan dia dapat mendalami wataknya sebagai pemimpin gerila Aceh yang berani,” jelas Slamet. - HARYANI ISMAIL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg