Topik diikuti
Pergi ke BHkuHiasan rumah unik kian diminati pengguna S’pura
Hiasan rumah unik kian diminati pengguna S’pura
Stacked Store tawar pelbagai hiasan unik hasil pilihan teliti, termasuk lampu diperbuat daripada roti Perancis sebenar
Hiasan rumah unik kian diminati pengguna S’pura
Apabila seorang pengguna TikTok warga Singapura memuat naik foto kediamannya yang baru dihias di platform tersebut baru-baru ini, komen teratas menanyakan tentang satu perincian kecil di dapurnya – sebuah barangan hiasan berbentuk seperti roti Perancis atau baguette.
Pengguna lain segera memberi jawapan bahawa roti Perancis tersebut merupakan lampu yang dibeli dari kedai hiasan rumah dan gaya hidup tempatan, Stacked Store.
Direka oleh artis Jepun, Yukiko Morita, di bawah jenama Pampshade, lampu tersebut diperbuat daripada roti Perancis sebenar yang telah dikeluarkan isinya dan diawet dengan salutan antibakteria serta antikulat bagi mengelakkan pertumbuhan kulat.
Setiap lampu berharga dari $165 hingga $180.
Lampu itu mencerminkan prinsip Stacked Store, iaitu menawarkan koleksi produk hiasan rumah terpilih yang bukan sahaja berfungsi, malah berteraskan reka bentuk dan mempunyai unsur menarik yang mencuri perhatian.
“Kami mencari produk yang mengimbangi aspek reka bentuk, fungsi dan personaliti.
“Barangan yang menonjol, namun tetap kelihatan sesuai dipadankan dengan kehidupan harian,” kata pengurus e-dagang Stacked Store, Cik Anthea Han.
Satu lagi produk yang mencuri tumpuan ialah set empat gelas ikan koi ($96) daripada jenama Sepanyol, DOIY.
Apabila disusun bertingkat, empat gelas biru tersebut membentuk rupa seekor ikan koi, menjadikannya bahan pameran yang unik dan menarik.
Stacked Store merupakan cabang gaya hidup daripada Stacked Homes, sebuah platform yang menawarkan nasihat hartanah dan inspirasi reka bentuk dalaman.
Kedua-duanya diasaskan oleh usahawan muda berusia 30-an tahun, Encik Druce Teo, Encik Adriano Tawin dan Encik Adam Wham.
Stacked Store dilancarkan pada 2022, selepas pasukan tersebut mengenal pasti jurang dalam pasaran bagi aksesori unik yang mudah didapati secara dalam talian.
“Melalui kandungan kami di Stacked Homes, kami sedar walaupun ramai mendapat inspirasi daripada kediaman yang kami paparkan, mereka juga mahukan cara untuk membawa idea tersebut ke dalam ruang sendiri. Stacked Store diwujudkan untuk merapatkan jurang tersebut,” jelas Cik Han.
Proses pemilihan barangan secara berterusan merupakan sebahagian besar daripada misi Stacked Store, tambah beliau.
“Ia merupakan usaha bersama. Kami melibatkan pelbagai bahagian pasukan merangkumi peruncitan, barangan dan pemasaran, dengan pengasas kami turut terlibat secara rapat.”
Buat masa ini, pelanggan utama Stacked Store terdiri daripada golongan karyawan muda dan keluarga dalam lingkungan usia lewat 20-an hingga 40-an, meskipun kedai tersebut menerima pelanggan dari pelbagai peringkat usia, kata Cik Han.
“Persamaan mereka adalah mereka mengambil pendekatan lebih teliti dalam pembelian.
“Mereka mencari barangan yang kelihatan bermakna, tersendiri dan direka dengan baik, bukannya sekadar berfungsi semata-mata atau dihasilkan secara besar-besaran.”
Di laman web tersebut, setiap senarai produk menyertakan huraian ringkas mengenai jenama berkenaan, lebih daripada sekadar butiran biasa.
Produk yang menggabungkan fungsi dengan identiti visual yang menonjol, cenderung mendapat sambutan baik, tambah Cik Han.
Ini termasuk set peralatan makanan yang menonjol, pasu berunsur arca dan permaidani yang ceria.
Barangan yang sesuai dijadikan hadiah juga mempunyai daya tarikan besar, seperti kalendar dinding, Ring A Date ($240) – sebuah kalendar buatan Italy yang boleh diguna semula – yang merupakan produk terlaris.
Melalui kehadiran media sosial yang kukuh, jenama itu turut menarik ramai pengikut dari luar negara.
Akaun Instagram Stacked Store mempunyai hampir 500,000 pengikut, termasuk penyanyi Amerika Syarikat, Joe Jonas.
“Kami juga melakukan penghantaran ke serata dunia, yang membolehkan kami menjangkau pelanggan di luar Singapura,” kata Cik Han.
“Jelas terdapat minat besar terhadap produk kediaman yang direka dengan baik dan sedikit luar daripada kebiasaan.”
Selain kedai dalam talian, Stacked Store juga mempunyai bilik pameran di Delta House, Alexandra Road.
Kedai tersebut juga sedang dalam perancangan untuk membuka dua cawangan fizikal pada 2026.
Ini termasuk sebuah kedai runcit di kawasan gaya hidup tumpuan orang ramai, New Bahru di River Valley.
Ia bakal dibuka menjelang akhir April atau awal Mei.
Setelah dibuka, cawangan New Bahru akan menjadi lokasi utama Stacked Store.
Ia bakal menampilkan produk eksklusif, yang kesemuanya disusun atur mengikut konsep ‘ruang tamu’ serupa dengan bilik pameran di Alexandra Road.
