Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hiburan tidak semesti kosong jika teroka nilai seni, bahasa indah

Nov 4, 2023 | 5:39 AM
BAKAL BAWA LAGU IKLIM: ‘Gerhana Cinta Luka’ yang akan dibawakan Aliff Aziz pada konsert minggu ketujuh ‘All Stars Gegar Vaganza’ diharapkan dapat menepati cita rasa pendengar di samping memperkenalkan orang ramai kepada pencipta lagu itu, Ma’ruf Ardad, yang jarang disebut.
BAKAL BAWA LAGU IKLIM: ‘Gerhana Cinta Luka’ yang akan dibawakan Aliff Aziz pada konsert minggu ketujuh ‘All Stars Gegar Vaganza’ diharapkan dapat menepati cita rasa pendengar di samping memperkenalkan orang ramai kepada pencipta lagu itu, Ma’ruf Ardad, yang jarang disebut. - Foto ASTRO

Lebih daripada setakat tergelak dengan gelagat pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse yang ‘kaki mengusik’ dalam program realiti, All Stars Gegar Vaganza, saya sebenarnya banyak mencedok ilmu dan fakta tentang dunia hiburan mahupun nilai dan budaya kerja anak seni yang berwawasan.

Justeru, kalau ada yang mengecam bahawa kita terlalu dibuai hiburan dalam keadaan umat manusia mengharungi jerih payah pergolakan politik dunia, khususnya krisis di Gaza, saya sering berkata hiburan tidak seharusnya disalah anggap sebagai wadah melalaikan atau aspek kosong semata-mata.

Yang penting, bagaimana kita mentakrif program itu sendiri dan berusaha mencari yang positif daripada apa yang disajikan.

Pilihan letak di tangan kita. Nak ambil unsur baik atau buruknya.

Hairan juga, orang yang dilabel mabuk Gegar Vaganza (GV) kerap dikecam konon lupa kesengsaraan orang lain, berbanding yang duduk menghadap televisyen menonton Liga Perdana England (EPL) sampai bertekak atau menyindir teman-teman di Facebook berkenaan prestasi pasukan pilihan. Saya pasti ada juga yang terbawa-bawa dek penangan EPL.

Tapi lumrahnya, orang akan mudah stereotaip hiburan ini membawa kesan buruk dan berita hiburan tidak akan membawa sebarang faedah, walhal, kalau kita mengambil konteks lebih luas, banyak yang dapat kita belajar daripada peraduan realiti.

Berita hiburan pun bukan semuanya tentang gosip dan skandal yang membuang masa untuk dihadam.

Saya beri contoh tentang apa yang boleh dijangkakan dalam konsert minggu ketujuh, All Stars Gegar Vaganza, pada Ahad. Temanya adalah ‘Kau Ilhamku’. Ia memberi tumpuan pada karya yang menitikberatkan sang pencipta lagu atau penulis lirik yang kerap kali dilupakan pendengar.

Mereka adalah pencetus titik tolak pertama sesebuah karya yang kemudian dijulang sebagai mahakarya.

Ada banyak karya agung yang akan disampaikan bintang All Stars GV.

Saya suka mengamati tulisan lirik sarat emosi dan keindahan bahasa Melayu.

Liza Hanim yang mengakui meminati Fauziah Latiff akan membawakan lagu idolanya, Gubahan Rindu Puisi Syahdu, ciptaan Adnan Abu Hassan dengan lirik tulisan Fauziah sendiri.

Lagu ‘emo’ itu memang kaya dengan bahasa puitis dan betul-betul sampai ke hati wanita yang cintanya pernah didustai.

Hady Mirza pula akan mengalunkan lagu balada rok, Romancinta, dendangan asal kumpulan Mojo, ciptaan lagu dan tulisan lirik oleh Edry Abdul Halim.

Sentuhan emas Edry memberikan ‘nyawa’ pada lagu itu yang memiliki ‘vibes’ berbeza. Seperti lagu Fauziah, ia juga menceritakan tentang hati seseorang yang terluka selepas kehilangan cinta sejati. Bezanya, dia masih menanti cinta itu kembali bersemi.

Jaclyn Victor pula tampil dengan lagu Menghitung Hari, nyanyian asal Kris Dayanti.

Saya masih ingat sewaktu menghadiri sesi raptai Anugerah Industri Muzik (AIM) hampir 25 tahun lalu. Meremang mendengar kehebatan dan kesyahduan vokal Kris menyanyi lagu itu sambil diiringi permainan piano.

Mahakarya ciptaan Melly Goeslaw yang juga penulis liriknya itu mempunyai susunan kata-kata yang boleh merentap tangkai hati lantas menangis.

Banyak yang saya ingin tahu tentang latar belakang sesebuah lagu. Tak sabar nak tonton Noryn Aziz memberikan takrifannya pada lagu ikonik Salamiah Hassan, Gelombang. Pencipta lagu itu merupakan Allahyarham Kassim Masdor manakala liriknya ditulis wartawan hiburan tidak asing lagi, Allahyarhamha Bahyah Mahmood.

Tidak boleh dinafikan, saingan bagi konsert minggu ketujuh memang sengit sebab terdapat beberapa lagu ikonik yang akan dipertandingkan.

Gerhana Cinta Luka, lagu kumpulan Iklim, akan dibawa Aliff Aziz. Harap-harap suara serak-serak basah ‘berbisik’ Aliff itu sesuai untuk bawakan lagu ciptaan Ma’ruf Ardad. Lagu itu menceritakan tentang lara dan kepedihan kerana kekasih yang dicintai memilih orang lain.

Banyak lagu cinta berbaur patah hati, putus asa ataupun menaruh harapan yang akan disajikan pada konsert minggu ketujuh ini. Haru-biru nampaknya pada Ahad malam sebelum kita tempuhi ‘Monday Blues’ keesokan harinya. Kekuatan kebanyakan penulis lirik Melayu condong ke arah lagu ‘tangkap leleh’ sebegini.

Bagi saya, penghormatan pada golongan di belakang tabir penghasilan sesebuah lagu itu amat mustahak. Kalau tak kerana mereka, artis yang menyanyikan lagu mereka pun payah kecapi jaya dengan koleksi lagu malar segar.

Akhir kata, pandanglah ke arah kandungan hiburan yang bernas, berisi, berwawasan dan membina.

Usah dibelenggu minda dengan takrifan hiburan hanya mengganggu tumpuan dan membuang masa dan tenaga. Sebab saya pasti selain menjadi wadah cari makan untuk artis, bidang nyanyian juga ruang untuk bakat seni belajar erti kesabaran, disiplin dan kreativiti yang boleh membantu si pendengar tenang dan pulih atau lalui tempohhealing’ dalam dunia yang lebih prihatin tentang kesejahteraan minda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg