Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 juara program realiti M’sia kongsi jerih perih jadi penyanyi

Gabungan Ratu Balada, Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob, dalam persembahan ‘up close’ buat peminat di KL
Jun 9, 2025 | 5:30 AM
Alyah, Ayu Damit, Idayu Yaakob, Up Close
Tiga Ratu Balada dan juara pertandingan realiti di Malaysia, (dari kiri) Idayu Yaakob, Datin Alyah Abu Hasan dan Ayu Damit bakal mengadakan persembahan ‘up close’ untuk mengongsi perjalanan kerjaya seni mereka bersama peminat. - Foto LIKE ENTERTAINMENT

Ibarat peribahasa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, perjalanan untuk menjadi penyanyi yang berjaya bukanlah mudah. 

Terdapat pelbagai cabaran dan pengorbanan yang perlu dilalui untuk menempa nama dalam industri seni hiburan. 

Itulah yang bakal dikongsi tiga penyanyi wanita Malaysia yang juga juara pertandingan nyanyian realiti.

Mereka terdiri daripada Datin Alyah Abu Hasan, juara Bintang HMI pada 2000; Ayu Damit, juara One in a Million (OIAM) pada 2008; dan Idayu Yaakob, juara Akademi Fantasia Megastar (AF) pada 2017 dalam persembahan khas ‘up close’ atau acara mesra bersama peminat.

Diberi nama, An Evening to Remember with Ayu. Idayu. Alyah, acara itu bakal berlangsung pada 21 dan 22 Jun di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, Kuala Lumpur, Malaysia. 

“Penonton yang datang akan dapat merasa perjalanan yang kami lalui.

“Bagaimana kami bermula, susah payah sebagai anak seni dan bagaimana kami masih bertahan dalam industri ini sehingga kini.

“Ia satu persembahan dari hati ke hati dalam setiap segmen pada malam itu,” ujar Alyah, 44 tahun, kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara melalui Zoom. 

Beliau turut berkongsi cabaran membahagikan masa antara kerjaya seni dengan peranan sebagai isteri dan ibu baru. 

“Pada mulanya memang agak payah dengan kehadiran anak yang baru setahun dan keadaan Tok Ram (suaminya, Datuk Ramli M.S.) yang kadang-kadang kurang sihat disebabkan vertigo (rasa mabuk seperti keadaan sekeliling berputar). 

“Itulah cabaran utama saya untuk persembahan ini.

“Namun, alhamdulillah selepas 25 tahun berkecimpung dalam industri ini, saya dapat membahagikan masa,” tambah Alyah yang berumah tangga dengan pengarah muzik, Datuk Ramli M.S., pada 2013 dan baru menjadi ibu susuan kepada anak angkat, Nur Izzara, pada 2024. 

Menurut Alyah, Ayu dan Idayu turut mempunyai tanggungjawab sendiri.

Ayu, yang dikenali dengan lagu, Hanya Di Mercu, sedang sibuk menghabiskan pengajian Sarjana Muda dalam Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), manakala Idayu pula sibuk menguruskan perniagaan makanan keluarganya. 

Mengulas mengenai bakat muda yang menceburi bidang hiburan melalui pertandingan nyanyian realiti, Ayu berkata ia merupakan peluang baik kerana mereka boleh menimba ilmu seni persembahan. 

“Apabila saya menyertai OIAM, saya tidak ada sebarang pengetahuan nyanyian. Saya bermula dari sifar. Di situlah, saya pelajari teknik memanaskan vokal suara daripada guru vokal.

“Komen dan kritikan daripada penonton turut menjadi pembangkit semangat untuk kami buat yang terbaik,” cerita Ayu, 36 tahun, yang turut menyertai program realiti, Gegar Vaganza (Musim Ketujuh), pada 2020 dan meraih tempat ketiga.

Alyah dan Idayu turut bersependapat pertandingan realiti kini amat berbeza berbanding dengan zaman dahulu. 

Kini, peserta diberi peluang menyertai pelbagai bengkel oleh tenaga pengajar profesional yang mahir dalam bidang hiburan termasuk nyanyian, tarian dan persembahan pentas. 

Program seperti, Gegar Vaganza dan The Masked Singer, yang memberi peluang kepada penyanyi profesional untuk bertanding dalam rancangan realiti, turut membantu mendekatkan penyanyi dengan peminat baru. 

“Dengan zaman media sosial, program sebegitu beri kami peluang untuk memperkenalkan diri semula kepada penonton muda supaya mereka tahu tentang kewujudan kami,” kongsi Idayu, 40 tahun, yang menyertai, The Masked Singer (Musim Ketiga), sebagai maskot Mawar Berduri.

Idayu yang dikenali di media sosial dengan bakat meniru suara penyanyi terkenal seperti Ziana Zain dan Ning Baizura pula merupakan alumni pertandingan AF (Musim Ketiga).

Beliau membuat kemunculan semula dalam industri hiburan selepas menjuarai, AF Megastar, pada 2017.

Di samping itu, beliau turut mendapat sokongan memberangsangkan dengan lagu, Ganti Diriku, pada 2018 iaitu lagu runut bunyi (OST) bagi drama Nur.

Ditanya mengenai apakah yang boleh dijangka daripada persembahan malam itu, ketiga-tiga berkata penonton dapat berinteraksi dengan mereka dalam suasana lebih santai.

“Selain menyanyikan lagu hit masing-masing, kami juga ada menyanyikan lagu malar segar yang boleh membuat penonton terhibur. 

“Walaupun kami bertiga dikenali dengan lagu balada, kami mempunyai suara yang berbeza.

“Gabungan suara kami boleh memberikan satu persembahan yang indah dan menarik,” jelas Idayu. 

Acara yang bertema, ‘pesona elegan’ itu turut disertakan dengan hidangan koktel dan pertunjukan fesyen.

Alyah turut menekan acara itu melambangkan semangat setiakawan ketiga-tiga penyanyi yang telah lama berkenalan. 

“Walaupun projek ini nampak kecil, ia merupakan pengalaman manis buat kami dan semoga ia merapatkan lagi ikatan persahabatan. Ia sesuatu yang kami ingin kongsi dengan peminat. 

“Kami juga berharap mereka yang hadir akan berasa gembira dengan lagu-lagu yang boleh mereka nyanyi bersama,” tambahnya, yang dikenali dengan lagu, Tak Mungkin Kerna Sayang dan Kisah Hati.

Acara ‘An Evening to Remember with Ayu. Idayu. Alyah’ pada 21 dan 22 Jun di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, Malaysia turut disertakan dengan pertunjukan fesyen dan hidangan koktel buat mereka yang hadir pada malam itu.
Acara ‘An Evening to Remember with Ayu. Idayu. Alyah’ pada 21 dan 22 Jun di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, Malaysia turut disertakan dengan pertunjukan fesyen dan hidangan koktel buat mereka yang hadir pada malam itu. - Foto LIKE ENTERTAINMENT

“Penonton yang datang akan dapat merasa perjalanan yang kami lalui. Bagaimana kami bermula, susah payah sebagai anak seni dan bagaimana kami masih bertahan dalam industri ini sehingga kini. Ia satu persembahan dari hati ke hati dalam setiap segmen pada malam itu.”
Datin Alyah Abu Hasan.

Tiket berharga RM250 (biasa) dan RM350 (temu mesra) boleh dibeli dengan menghubungi talian +601-0211-4687.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg