Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Jika Masih Ada’ buka peluang berduet

Erra Fazira kembali menyanyi setelah lama menghilang
May 25, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi, pelakon dan pengacara, Erra Fazira, meluahkan rasa teruja kerana berpeluang merakamkan lagu duet, ‘Jika Masih Ada’, setelah lama tidak aktif dalam bidang nyanyian.
Penyanyi, pelakon dan pengacara, Erra Fazira, meluahkan rasa teruja kerana berpeluang merakamkan lagu duet, ‘Jika Masih Ada’, setelah lama tidak aktif dalam bidang nyanyian. - Foto INSTAGRAM ERRA FAZIRA

Rasa rindu yang mendalam terhadap suara merdu penyanyi, pelakon, dan pengacara, Erra Fazira, berputik di hati peminat setelah sekian lama beliau tidak menghiasi dunia seni muzik Malaysia.

Ia juga perasaan yang dirasakan Erra, 51 tahun, ketika menyedari sudah lama tidak bernyanyi, apatah lagi mengeluarkan lagu baru.

Erra, atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, mengakui setelah diserang wabak Covid-19 beberapa tahun yang lepas, kesan daripada penyakit itu telah menjejas kesihatannya, khususnya dari segi mutu suara dan pernafasan.

Apabila dihubungi Berita Minggu (BM) melalui WhatsApp, beliau berkata:

“Ketika terkena Covid, saya tidak boleh bernyanyi hampir lebih setahun kerana saya mempunyai masalah hidung tersumbat dan pernafasan, yang membuatkan beberapa projek dalam bidang nyanyian tergendala.”

Memanglah benar kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat kerana baru-baru ini, Erra ditawarkan oleh penyanyi nasyid dan komposer, Hafiz Hamidun, untuk menyanyikan lagu duet berjudul, Jika Masih Ada.

Melalui lagu duet ini, Erra dipadankan bersama juara pertandingan nyanyian realiti, Gegar Vaganza Musim 6 (GV6), Hady Mirza, yang juga telah menamatkan tempoh penantian beliau mengeluarkan lagu baru.

Terdahulu, Erra pernah mengeluarkan single berjudul, Menangkah Cinta, yang turut digubah oleh Hafiz dan diterbitkan di semua wadah penstriman digital pada 2019.

Malah susulan terbitan lagu berkenaan, Erra turut merancang untuk mengeluarkan ‘single’ lain termasuk, album baru sebagai tanda kemunculan semula dalam bidang seni suara.

Namun begitu, langkah tersebut terhenti seketika apabila beliau memutuskan untuk berehat selepas pandemik Covid-19 bagi memberi keutamaan kepada kesihatannya, di samping menguruskan komitmen dalam bidang lain seperti berlakon dan mengacara.

“Apabila Hafiz mengatakan ada lagu untuk saya nyanyikan, saya tiada rasa ragu padanya sehingga perlu mendengar demo sebelum menyanyikan lagu tersebut.

“Kerana saya tahu beliau peka dengan kelebihan saya, dan saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada citarasa Hafiz.

“Beliau mengatakan lagu ini sudah disiapkan terlebih dulu. Jadi, saya rasa terharu juga kerana beliau percayakan saya untuk membawakan lagu duet, Jika Masih Ada,” kata Erra lagi sambil meluahkan rasa bahagia. 

Lagu Jika Masih Ada mengisahkan tentang dua insan yang sedang memperjuangkan cinta, disulami dengan perasaan rindu dan harapan yang masih bernyawa, meskipun terpisah oleh jarak dan waktu.

Lagu yang diterbitkan pada 9 Mei itu telah meraih sebanyak 95,985 tontonan di laman YouTube dan 67,508 penstriman di laman Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.

Ia juga menjadi runut bunyi bagi drama Nikmat Hanya Sesaat, lakonan Fadlan Hazim dan Mawar Rashid, yang memulakan tayangan di saluran Slot Samarinda, TV3, pada 8 Mei.

Erra turut menambah nama Hady tidak lagi asing dalam industri hiburan Malaysia, bahkan umum tahu kekuatan vokal serta penjiwaannya ketika membawakan lagu, sejak memenangi GV6 lagi.

“‘Feel’ (Penghayatan) yang dibawakan oleh Hady lebih kepada merayu, untuk memberi kesan ingin membaiki semula hubungan dengan sang kekasih.

“Tetapi, dari sudut lirik yang saya nyanyikan pula, ia seperti saya tidak ingin kembali padanya. Itulah kesan yang ingin saya sampaikan.

“Saya hanya mampu memberikan yang terbaik, mengikut apa yang diarahkan dan dikehendaki komposernya iaitu Hafiz,” ujar Erra yang kadangkala risau memikirkan tentang keserasian suaranya ketika digandingkan dengan Hady.

Menyentuh tentang sambutan Hari Ibu lalu pada 11 Mei, Erra hanya menyambut hari penuh kasih dan sayang itu dengan sederhana.

Beliau turut berkongsi hanya sempat memberi ucapan melalui telefon kepada ibunya dek kesibukan dalam pekerjaan. 

Dalam pada itu, anak daranya, Engku Aleesya Engku Emran, 16 tahun, yang kini sedang melalui fasa remajanya, mendedikasikan satu hantaran melalui Instagram Story.

“Semasa Hari Ibu, Aleesya ada memuat naik satu hantaran di Instagram Storynya. 

“Namun, kerana sibuk bekerja, saya tidak sempat pula untuk melihat hantaran tersebut. Dah dia pun mesej saya untuk periksa sama ada saya suka atau tidak hantaran yang dibuatnya.

“Mujurlah dia memuat naik semula hantaran tersebut. Tentunya saya rasa cukup terharu!

“Saya pun tidak ingin terlalu mengganggunya yang sedang menduduki peperiksaan ketika itu,” ucap Erra yang kini mengacara dua program iaitu, Borak Seeni di Astro dan Borak Bibir Merah di Sinar Plus.

Meskipun bergelar ibu tunggal pada Aleesya yang meningkat dewasa mencabar, namun ia mengundang kepuasan yang mendalam bagi Erra, lebih-lebih lagi melihat anak tunggalnya itu membesar di depan mata.

“Betullah apa orang kata, apabila anak remaja semakin membesar, banyaklah cabaran dan keletahnya. 

“Apabila beranjak dewasa, emosi agak sensitif. Jadi, kita sebagai ibu bapa perlu menjaga perasaan dan tahu masa serta pendekatan yang sesuai untuk mendekati anak,” tambahnya lagi.

Apabila ditanya BM mengenai desas-desus berita Erra bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang digelar Mr E, beliau berkata dengan nada yang tenang:

“Saya tidak ingin terlalu menggembar-gemburkan perihal hubungan peribadi. Kalau boleh, saya ingin tenang-tenang sahaja.

“Tidak ada tekanan daripada mana-mana pihak untuk mendirikan rumah tangga. 

“Apa yang saya kongsikan di media sosial sejauh ini, hanya mengharapkan doa yang baik,” kata Erra yang mahu memberi lebih perhatian pada perkembangan kerjaya serta urusan bersangkutan duniawi dan ukhrawi. 

Lagu Jika Masih Ada boleh didengar di semua wadah penstriman digital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg