Topik diikuti
Pergi ke BHku‘3 Queens’ angkat kisah kesetiaan, paparan realiti wanita Melayu moden
Karya ‘The Necessary Stage’ suntik elemen lucu sambil kupas isu serius seperti pengorbanan keluarga, perkahwinan
‘3 Queens’ angkat kisah kesetiaan, paparan realiti wanita Melayu moden
Karya terbaharu syarikat teater tempatan, The Necessary Stage yang berjudul 3 Queens membawa penonton menyelami naskhah yang memaparkan suka duka persaudaraan dan persahabatan dengan penuh kejujuran.
Pementasan tersebut mencabar minda dan membuatkan penonton tertanya-tanya:
Walaupun bergelar sahabat karib (Best Friends Forever atau ‘BFF’) atau adik-beradik yang akrab sejak lahir, adakah kasih sayang itu benar-benar wujud tanpa syarat?
Adakah benar wujud ruang kasih sayang yang tidak menghakimi antara sahabat baik apabila keadaan menjadi genting?
Hakikatnya, marilah kita berpijak di bumi nyata – apabila diuji dengan pelbagai pancaroba kehidupan yang membuatkan pihak lain berasa tidak selesa atau tidak gembira dengan pilihan dan cabaran kita, mungkinkah ikatan ‘BFF’ atau persaudaraan itu akan terus utuh dan kekal selamanya?
Pementasan yang berlangsung dari 3 hingga 13 September dan diadakan di The Ngee Ann Kongsi Theatre @ Funan itu menjejaki kisah kehidupan adik-beradik Zeina dan Bedah, serta rakan akrab yang juga jiran mereka sejak kecil, Aida.
Naskhah itu dengan bijaknya meneroka ego tiga wanita yang mempunyai latar belakang dan pendirian berbeza.
Masing-masing mempunyai cita-cita tinggi dan ingin dinobatkan sebagai ‘Permaisuri’ atau Queen dalam hidup mereka sendiri.
Namun, mereka mendapati diri mereka tidaklah begitu berjaya dalam mencapai kemuncak tersebut kerana terhalang oleh takdir dan realiti kehidupan.
Sebagai penonton, saya cukup kagum melihat bagaimana naskhah yang ditulis oleh Haresh Sharma dan diarahkan bersama Adib Kosnan ini menganyam detik-detik lucu dengan isu-isu kehidupan sebenar yang serius.
Skrip itu berani mengupas pelbagai isu berat kontemporari termasuklah pengorbanan dalam penjagaan keluarga, seperti watak Bedah yang terpaksa melupakan impian industri filemnya demi menjaga gerai mertuanya dan juga menjaga ibunya yang sakit.
Ia juga menyingkap pergelutan mengimbangi kerjaya kedua, konflik alam perkahwinan, pengangguran, cabaran hidup bersendirian dan dugaan penyakit kanser seperti yang dilakarkan dalam watak Aida.
Malah, amalan kepercayaan seperti berjumpa bomoh, sesuatu yang agak kuno tetapi realitinya masih berakar umbi dan berlaku dalam masyarakat moden hari ini turut diselitkan ke dalam cerita itu dan memberi kesan yang tajam.
Isu radikalisme turut dikupas dengan hangat, yang dapat dilihat menerusi watak Zeina.
Skrip tersebut cemerlang dalam menangani dan mengimbangi dua pandangan yang berbeza mengenai isu radikalisme yang sensitif.
Mengenai persembahan tiga pelakon utamanya, iaitu Munah Bagharib, Siti Hajar Gani dan Siti Khalijah Zainal – pendek kata, tidak perlu disangkal lagi.
Keserasian mereka di atas pentas sungguh luar biasa.
Sebagai pelakon yang berwibawa dalam persada teater dan televisyen, mereka mempunyai keupayaan yang menakjubkan untuk membuatkan anda ketawa terbahak-bahak bersama mereka, mentertawakan mereka, dan pada masa yang sama, meruntun jiwa anda hingga menitiskan air mata.
Persembahan memukau mereka bukan sahaja menghiburkan, malah, berjaya menghidupkan wacana tentang jangkaan masyarakat serta halangan tersembunyi yang sering diharungi oleh wanita Melayu/Islam pada masa kini.
“
“Naskhah itu dengan bijaknya meneroka ego tiga wanita yang mempunyai latar belakang dan pendirian berbeza. Masing-masing mempunyai cita-cita tinggi dan ingin dinobatkan sebagai ‘Permaisuri’ atau Queen dalam hidup mereka sendiri. Namun, mereka mendapati diri mereka tidaklah begitu berjaya dalam mencapai kemuncak tersebut kerana terhalang oleh takdir dan realiti kehidupan. Sebagai penonton, saya cukup kagum melihat bagaimana naskhah yang ditulis oleh Haresh Sharma dan diarahkan bersama Adib Kosnan ini menganyam detik-detik lucu dengan isu-isu kehidupan sebenar yang serius.”