Pada pertengahan April lalu, pelakon dan pengarah terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina, mengumumkan bahawa Puteri Gunung Ledang The Musical, yang pernah dipentaskan pada 2006 dan 2009, akan kembali menggegarkan panggung pada Oktober ini, kali ini dengan menampilkan barisan pelakon muda.

Dua nama muda, Aisha Retno dan Hani Karmila Hani Mohsin, diperkenalkan untuk menghidupkan semula legenda Puteri Gunung Ledang di pentas.

Pengumuman itu mencetuskan keterujaan, terutama dalam kalangan peminat seni, dan mereka yang pernah membesar dengan produksi klasik tersebut.

Pada masa yang sama, pengumuman itu turut membuka semula perbincangan lama di media sosial: Sejauh manakah kisah dalam Puteri Gunung Ledang The Musical sama dengan cerita asal yang terdapat dalam karya sastera Melayu tradisional?

Sinopsis muzikal Puteri Gunung Ledang

Dalam Puteri Gunung Ledang The Musical, kisah pengorbanan cinta antara Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah dengan Laksamana Hang Tuah menjadi teras penceritaan.

Gusti Putri melarikan diri ke Gunung Ledang selepas dipaksa berkahwin dengan lelaki lain, lalu berharap dapat bersatu dengan buah hatinya, Hang Tuah.

Namun, harapan yang ditanam terkubur, menjadikan muzikal itu sebuah kisah cinta yang tidak kesampaian.

Sejarah Melayu

Jika dikaji asal usul legenda Puteri Gunung Ledang, cerita rakyat ini sebenarnya terkandung dalam dua karya kesusasteraan Melayu klasik, iaitu Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Namun, kedua-dua naskhah ini memaparkan jalan cerita Puteri Gunung Ledang yang berbeza.

Dalam versi Sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang dikatakan bukanlah manusia, tetapi sebenarnya orang bunian yang memiliki kecantikan luar biasa, sehingga membuatkan Sultan Mahmud Shah yang ketika itu memerintah Melaka, ingin memperisterikannya.

Maka, Sultan Mahmud menyuruh Laksamana Hang Tuah dan Tun Mamat naik ke Gunung Ledang untuk meminang puteri tersebut.

Disebabkan Hang Tuah pada ketika itu dikatakan sudah uzur, beliau tidak terdaya lagi untuk meneruskan pendakian hingga ke puncak Gunung Ledang.

Justeru, hanya Tun Mamat sahaja berjaya sampai ke puncak Gunung Ledang.

Di situ, Tun Mamat bertemu puteri yang dimaksudkan Sultan Mahmud.

Puteri tersebut kemudian memberikannya tujuh syarat yang hampir mustahil dipenuhi, antaranya jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang, darah hati nyamuk, dan yang paling berat sekali, semangkuk darah Raja Muda, putera kesayangan Sultan Mahmud.

Syarat terakhir itu sering ditafsirkan sebagai ujian kepada nafsu, kuasa dan kesanggupan seorang raja menggadaikan nyawa puteranya sendiri, hanya kerana seorang wanita.

Puteri Gunung Ledang pula sebenarnya ibarat ditelan mati emak, diluahkan mati bapa.

Beliau tiada hasrat sama sekali untuk mengahwini Sultan Mahmud, tetapi disebabkan takut dengan kemurkaan Sultan Mahmud jika pinangannya ditolak, maka beliau menolaknya secara halus, dengan meletakkan syarat yang tidak masuk akal, agar Sultan Mahmud tidak dapat menunaikannya.

Hikayat Hang Tuah

Dalam Hikayat Hang Tuah pula, Puteri Gunung Ledang digambarkan sebagai puteri diraja yang kemudian memerintah Melaka.

Di bawah pemerintahan Puteri Gunung Ledang selaku Raja Melaka, Melaka mengecap kemakmuran sebagai pusat perdagangan yang menarik ramai peniaga dari pelosok dunia, termasuklah orang Feringgi (istilah lama yang merujuk kepada Portugis).

Pada awalnya, Raja Melaka hanya membenarkan orang Feringgi berniaga di atas kapal, selepas mendapatkan nasihat daripada barisan menteri kanan seperti Laksamana Hang Tuah, bendahara dan temenggung.

Di sini Puteri Gunung Ledang bukan lagi dilihat sebagai watak seorang wanita yang cantik dan bijak seperti dalam Sejarah Melayu, bahkan simbol kepimpinan berwibawa, yang kerap kali dikuasai lelaki terutama dalam karya klasik Melayu.

Kewaspadaan pemerintahan Raja Melaka terhadap orang Feringgi dapat melindungi Melaka daripada ditakluk kuasa asing.

Namun, orang Feringgi tidak berputus asa.

Mereka menggunakan pelbagai helah sehingga akhirnya, mereka berjaya melembutkan hati Raja Melaka untuk membenarkan mereka berdagang di darat.

Apabila orang Feringgi diberi peluang berniaga di darat, mereka mengambil kesempatan tersebut membina gedung yang dilengkapi senjata dalam diam-diam, justeru membuka jalan kepada serangan yang membawa kepada kejatuhan Melaka pada 1511.

Kesimpulan

Kesimpulannya, perbezaan naratif Puteri Gunung Ledang yang dipaparkan dalam karya klasik Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah mahupun produksi yang diterbitkan Tiara Jacquelina, wajar dirai kerana ia mencerminkan bahawa sastera Melayu sentiasa ‘hidup’ dan berkembang.

Variasi ini tidak patut menjadi medan perdebatan untuk menentukan versi manakah yang asli, sebaliknya perlu difahami bahawa variasi penceritaan kisah legenda tidak dapat dielak, kerana ia boleh diubah mengikut zaman, masyarakat dan tujuan pengkaryaan.

Apa yang penting, watak Puteri Gunung Ledang dalam ketiga-tiga naskhah yang dijelaskan di atas, mengangkat wanita sebagai pemimpin yang berkuasa, bijaksana serta memiliki kelembutan dan kehalusan budi pekerti, terutama dalam dunia sastera yang lazimnya mengangkat lelaki sebagai wira utama.