Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4U2C kembali gegarkan pentas pada Sep

Jun 25, 2025 | 12:15 PM
4U2C, AC Mizal
Kumpulan 4U2C mahu ubat rindu peminat melalui konsert di Petaling Jaya pada September. - Foto fail

Kumpulan ‘hip-hop’ popular era 1990-an, 4U2C, mengubat kerinduan peminat melalui Konsert ‘WE 4U2C’ di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September.

Konsert itu bakal menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.

Mengangkat tema ‘Bringin’ Back Da 90’s Flava’, konsert anjuran Juss Event itu bakal menjadi platform untuk peminat mengimbau nostalgia dengan gaya dekad 1990-an.

AC Mizal atau nama sebenar, Mizal Zaini, berkata idea mementaskan konsert dicetuskan isterinya, Datin Emylia Rosnaida.

“Konsert ini menjadi impian saya dari dahulu lagi dan Juss Event menawarkan 4U2C pentaskan konsert sendiri.

“Bagi saya, itu macam impian jadi kenyataan. Saya bersyukur peluang ini datang pada masa yang tepat.

“Saya dan ahli kumpulan lain berjanji akan beri persembahan terbaik buat mereka yang hadir pada malam konsert itu,” katanya pada sidang media konsert ‘WE 4U2C’ di sebuah hotel di Bukit Bintang pada 24 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

AC Mizal berkata kejayaan konsert trio adik-beradik, KRU pada Mei mendorong mereka tampil membuat kemunculan semula.

“Terima kasih kepada KRU kerana dengan penganjuran konsert mereka. Ia membuka ruang kepada kumpulan era 1990-an untuk menganjurkan konsert.

“Kami mahu kongsi detik ini bersama peminat dan keluarga. Bagi kami, ini adalah perkara yang sangat dinantikan,” katanya.

AC Mizal menambah konsert berkenaan juga menjadi langkah awal untuk mereka kembali ke pentas muzik arus perdana.

“Objektif kami adalah untuk jadi ‘trendsetter’ dengan kembalikan sejarah dahulu. Ini peluang untuk kami buat kemunculan semula.

“4U2C adalah kumpulan pertama yang tampil berbeza dengan menyanyi sambil menari, jadi untuk konsert kali ini juga kami akan lakukan perkara sama.

“Kita nak tunjuk di Malaysia ini sebenarnya ada artis yang berkualiti, bukan sekadar menyanyi semata-mata tetapi boleh menghiburkan,” katanya.

Sementara itu, komposer terkenal, Aubrey Suwito, bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi konsert ‘WE 4U2C’ dengan dibantu 14 pemuzik profesional dan berpengalaman dalam industri.

Pada konsert itu, 4U2C akan mempersembahkan tiga single baru buat peminat.

Tiket konsert ‘WE 4U2C’ dijual pada harga RM155 ($47) hingga RM555 melalui platform Ticket Empire dan Fantopia, mulai 30 Jun ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg