Pada asalnya satu, kemudian menjadi dua, tiga, dan akhirnya empat.
Ya, empat malam konsert GenKRU penuh bertenaga oleh trio adik-beradik KRU, sehingga melayakkan nama mereka terpahat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Dengan empat malam konsert iaitu pada 3 dan 4 Mei, sebelum keputusan saat akhir melanjutkannya pada 10 dan 11 Mei, menjadikan KRU artis pertama di Malaysia diiktiraf MBOR untuk Persembahan Terbanyak dalam Siri Konsert Tunggal, pada malam terakhir konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Penganjur konsert, Icon Entertainment pula menerima pengiktirafan Tiket Konsert Terbanyak Habis Dalam Sejam.
Ternyata, selepas 33 tahun penubuhannya, KRU terus unggul sebagai kumpulan pop legenda yang punyai ribuan peminat fanatik khususnya dari Gen X (generasi yang lahir antara tahun 70-an dan 80-an) dan Gen Y (1981-1986).
Malah GenKRU turut menjadi pentas untuk tiga beradik tampan itu mengumpul kelompok peminat baru daripada kalangan Gen Z (tahun 1990-an) dan Gen Alpha (tahun 2000-an).
Perjalanan konsert yang penuh gah dengan paduan suara yang tidak goyang dan rancak dengan tarian lincah di keempat-empat malam, membuktikan usia bukan penghalang untuk KRU yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, 53 tahun, bersama dua adiknya; Datuk Yusry, 51 tahun dan Edry, 49 tahun – kekal relevan dan diminati.
“Terus terang, awalnya kami tiada perancangan pun untuk buat konsert sehingga empat malam. Asalnya hanya satu malam, tetapi kerana tiket hari pertama habis dalam jangka masa singkat dan ramai peminat mengeluh tak dapat tiket, kita buka untuk hari kedua.
“Selepas dua hari, permintaan masih tinggi lalu kita buka untuk hari ketiga dan tak sangka pula akhirnya sampai empat hari. Semuanya kerana sokongan padu penyokong dan ada yang sudah datang hari pertama, masih hadir pada hari konsert berikutnya,” kata Yusry yang terharu dengan sambutan luar biasa peminat.
Untuk setiap siri konsert yang mengambil masa hampir tiga jam, KRU menerima pujian peminat dengan kestabilan stamina yang turut menggamit penonton untuk sama-sama menyanyi dan berdansa pada setiap lagu didendangkan.
“Oh kami bermula dari Januari untuk pastikan stamina pada konsert ini. Azam kami ialah membina stamina dan kami lakukannya (latihan) tanpa henti untuk tiga empat bulan. Mula-mula agak menguji, tetapi akhirnya Alhamdulillah peminat puas hati dengan persembahan konsert ini,” kata Edry.
Paling mencuri tumpuan pastinya Norman atau lebih dikenali sebagai Abang Long, yang masih ligat menari dan rancak melakukan rap dalam nyanyian – tidak sepadan dengan usianya yang sudah menginjak 53 tahun.
Sambil mengakui cabaran digalas, Norman berkata kelebihan KRU sebagai kumpulan trio memudahkan penyampaian lagu yang harmoni menerusi gabungan vokal yang membantu keindahan nyanyian disampaikan.
“Asal usul saya memang rapper, berbanding Yusry memang lebih kepada nyanyian. Saya rasa elemen rap dalam lagu beri satu attitude (gaya) pada KRU dan kelebihannya kita bertiga, jadi setiap seorang ada bahagian masing-masing,” ujarnya.
Walaupun empat malam GenKRU berlangsung, kumpulan muzik ini bijak menyusun kejutan bagi menyajikan kelainan dalam setiap persembahan.
GenKRU berjaya mengimbau nostalgia remaja sebahagian besar penonton menerusi dendangan puluhan kompilasi lagu popular KRU antaranya Awas, Fanatik, Malam Kita juga Ooh La La, dan menambah magis konsert dengan penampilan istimewa kumpulan pop wanita yang pernah menjadi fenomena era 1980-an, Elite dan Feminin.
Cuma Feminin hanya muncul pada malam akhir pada 11 Mei lalu, itu pun dengan hanya tiga anggotanya – As, Watie dan Along, menyampaikan lagu popular mereka – Untukmu, ciptaan KRU sendiri.
Dua lagi – Yatie dan Deqnor – ada kekangan untuk hadir.
Saya sendiri teringat kenangan zaman ‘budak hingusan’ - bilik dipenuhi poster KRU, duit belanja sekolah disimpan untuk beli kaset dan CD KRU, malah tak boleh lupa tali kaset berbelit dek terlalu kerap rewind (putar semula).
Malam terakhir juga menyaksikan kemunculan Datuk AC, vokalis utama kumpulan hip-hop 4U2C bergabung dengan KRU menerusi lagu Hanya Kau remix Inikan Ertinya Cinta.
Sebagaimana kata Norman, GenKRU bukanlah comeback (kemunculan semula) kumpulan muzik itu, tetapi lebih kepada reunion (pertemuan semula) mereka dengan peminat dan penyokong.
GenKRU akan melabuhkan tirainya di The Star Theatre, Singapura pada 28 Jun depan dan menurut Norman, mereka sudah menyusun kejutan dan keunikan persembahan buat peminat di sini.
Ditanya sama ada KRU akan mengadakan jelajah lain selepas Singapura, Edry berkata ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana beliau akan pulang ke pangkuan keluarga di Britain.
Empat malam konsert GenKRU dihadiri lebih 30,000 penonton bukan saja dari Malaysia, malah datang dari sejauh Los Angeles, London, Arab Saudi, Filipina, Brunei dan Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg