Pemuzik dan penggubah lagu terkenal Indonesia, Ade Govinda, 41 tahun, kini bekerjasama dengan Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk lagu baru penghibur tersohor itu.
Menurut Ade atau nama sebenarnya, Ade Nurulianto yang juga pemain gitar kumpulan Govinda, kerjasama berkenaan adalah yang kedua antaranya dan Siti selepas lagu Terbaik Bagimu pada 2016.
“Selain Ernie Zakri dan Bella Astillah, saya turut dapat bekerjasama sekali lagi dengan Datuk Siti untuk lagu terbaru beliau seperti mana yang diminta.
“Lagunya sudah siap ditulis dan sedang tunggu ‘test’ vokal saja. Namun, bila lagu tersebut akan dilancarkan, saya belum tahu lagi.
“Tetapi, perancangannya (Siti) mungkin dalam tahun ini (2025) juga. Apapun, saya gembira dengan kerjasama kami. Ia sangat senang untuk bekerja bersama Siti,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Ade ditemui pada majlis sidang media lagu duet terbaru ciptaannya, Lebih Indah Berpisah yang dihasilkan untuk Bella Astillah serta dilancarkan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 12 Jun.
Nama Ade ‘meletup’ dalam industri hiburan Malaysia dan Indonesia dengan lagu Masing Masing yang dirakam Ernie hingga mencetus fenomena besar di kededua negara.
Lagu Masing Masing juga melakar sejarah tersendiri di Indonesia apabila dinobatkan pemenang Soundtrack Sinetron Paling Ngetop, di SCTV Awards 2024 yang berlangsung pada November 2024.
Dalam perkembangan terbaru lain, Ade juga bersyukur dengan kejayaan Masing Masing yang dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24), pada 13 September.
Lagu itu tercalon dalam kategori baru, iaitu Lagu Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
“Sebagai penggubah lagu itu, pastinya saya bahagia dan berdoa semuanya baik. Bagi saya, anugerah itu hasilnya dari perjalanan kerjaya kita,” katanya.
Pada AIM24, dua lagi kategori baru turut diperkenalkan iaitu, Lagu Perpaduan Terbaik dan Lagu Tradisional Terbaik untuk menyuntik semangat penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi dalam berkarya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg