Penyanyi popular Indonesia, Afgan, 35 tahun, kini bergelar haji selepas selesai menunaikan haji pada 2025.
Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, dalam satu hantaran di Instagram menyifatkan ibadah haji tersebut sebagai satu pengalaman luar biasa pernah dilakukan sepanjang hidupnya.
Afgan turut berkata, ia adalah perjalanan rohani yang indah dan bersyukur kerana semua urusannya dipermudahkan Allah swt.
“Sempurna sudah ibadah haji pertama saya. Saya berangkat sendiri dengan bermodalkan rasa nekad saja.
“Namun, semua proses dipermudahkan oleh Allah swt dan berjalan dengan lancar,” tulisnya di Instagram.
Menurutnya, beliau juga gembira kerana diberikan peluang dan kesempatan dijemput Allah swt pada musim haji pada 2025, lapor Harian Metro.
“Ini adalah pengalaman sekali seumur hidup dan rasa sangat bersyukur kerana boleh menjadi tetamu Allah tahun ini (2025). Ibadah haji adalah perjalanan antara anda dan Tuhan.
“Satu ibadah yang mengingatkan agar sentiasa merendah diri dan sentiasa ingat bahawa anda tidak akan sesekali keseorangan selagi ada Tuhan bersama. Terima kasih atas doa kalian,” katanya.
Menerusi hantaran sama, beliau juga memuat naik gambar memaparkan detik-detik sepanjang dirinya menunaikan haji.
Terdahulu, pada 30 Mei lalu, penyanyi yang dikenali dengan lagu Terima Kasih Cinta, PadaMu Ku Bersujud dan Pesan Cinta memaklumkan beliau berada di Makkah, Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg