Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aisyah Aziz tenang nanti hari bahagia

Penyanyi lagu ‘Bila Entah’ lebih matang bangun mahligai impian, dorong diri jadi insan lebih baik
Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Aisyah Aziz mengharapkan mahligai yang dibina tidak lama lagi pada tarikh yang dirahsiakan, menjurus ke arah usaha membina keluarga sakinah, mawaddah, warahmah (penuh ketenangan, kebahagiaan dan kerahmatan).
Aisyah Aziz mengharapkan mahligai yang dibina tidak lama lagi pada tarikh yang dirahsiakan, menjurus ke arah usaha membina keluarga sakinah, mawaddah, warahmah (penuh ketenangan, kebahagiaan dan kerahmatan). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Jiwa penyanyi Singapura, Aisyah Aziz, diselubungi ketenangan di ambang hari bahagianya membina mahligai impian.

Pada usia matang 31 tahun, pelantun lagu Bila Entah dan Tanda Tanya itu, tidak rasa kegembiraan yang meluap-luap atau perasaan teruja yang sukar digambarkan dengan kata-kata, apabila diminta berbicara tentang hari pernikahan dan persandingannya yang juga dirahsiakan tarikhnya.

Sebaliknya, beliau memberitahu Berita Minggu (BM) fasa berbunga-bunga cinta mekar dalam hati dan gementar bercampur terlampau gembira untuk naik pelamin, sebagaimana yang dirasakan gadis lain, sudah lama ditinggalkan.

“Saya taklah terlampau teruja dan tak sabar nak mendirikan rumah tangga. Mungkin kalau saya berkahwin pada usia lebih muda, saya akan rasa ‘Wah! Sukanya!’

“Tapi, saya rasa saya dah tak dalam fasa tak sabar nak naik pelamin seperti itu. Saya tenang-tenang sahaja. Usia dah masuk 30-an tahun. Saya nak ‘chill’ sahaja.

“Harapan saya hanyalah untuk membina mahligai dan membangun keluarga sakinah, mawaddah, warahmah (penuh ketenangan, kebahagiaan dan kerahmatan), untuk dekat dengan Sang Pencipta.

“Saya kira kalau saya lebih akrab dengan Allah swt dan ikhlas membaiki hubungan saya dengan-Nya, semuanya akan jalan baik-baik sahaja. Moga saya akan merasakan nikmat menjalani proses ini hanya sekali sahaja, dengan niat mahligai ini berkekalan dalam kehidupan,” tambah finalis peraduan realiti Astro, Akademi Fantasia 2013 itu.

Aisyah juga enggan berbual banyak kerana lebih selesa melakukannya setelah diijabkabulkan secara sah kelak.

“Saya takut nak cakap banyak-banyak. Saya cuma berharap semuanya berjalan lancar dan saya minta doa orang ramai agar segalanya dipermudahkan.

“Kami manusia biasa, yang pastinya perlu berusaha gigih, adakalanya rasa sangsi dan penuh emosi dan jangkaan yang tidak menentu, berubah-ubah silih berganti.

“Tapi saya berharap ketenangan akan menjadi sandaran dalam usaha kita dekat dengan-Nya. Saya harap bakal suami akan bersama saya dalam pencarian diri saya untuk dekat dengan Tuhan.

“Saya juga ingin mendorongnya juga dalam usahanya menjadi insan lebih baik. Kita sama-samalah dalam amanah ini,” jelas Aisyah, yang merupakan adik juara Gegar Vaganza 8, Aliff Aziz.

TERUS TERUJA BINA KERJAYA SENI SUARA

Dalam pada itu, kerjaya nyanyian Aisyah masih diteruskan, bahkan beliau rasa bersyukur masih lagi mendapat lamaran daripada pihak Mediacorp Suria untuk menjayakan Sinar Lebaran 2025.

“Orang kata saya dah sinonim dengan Sinar Lebaran. Agaknya dah lima enam kali saya diundang untuk program khas Hari Raya ini.

“Alhamdulillah, masih ada yang menghargai nyanyian saya. Kalau dahulu nyanyi lagu klasik seperti dendangan asal Puan Sri Saloma, sekarang saya diberi lagu Raya baru yang menyegarkan kerana konsep yang berbeza tetapi tetap kekalkan nilai kebudayaan Melayu.

“Saya beri contoh lagu yang saya nyanyikan bersama Hady Mirza, Ketipak Ketipung Raya, nyanyian asal Aisha Retno dan Aziz Harun. Rancak dan ada ‘vibes’ orang muda tetapi tetap mengekalkan nilai sambutan Lebaran orang kita.

“Kalau sebut tentang lagu tular Hael Husaini dan Nadeera, Meriah Lain Macam...jangan cakaplah. Itu pun ada ciri-ciri malar segar. Hael memang hebat bab mencipta lagu tular termasuk irama Raya.

“Semuanya ‘menjadi’. Saya yakin beliau akan jadi komposer malar segar suatu hari nanti,” tambah Aisyah.

Mengenai karya baru, Aisyah menjelaskan banyak telah siap dalam koleksi pustaka muziknya. Ia hanya menanti masa terbaik dikeluarkan.

BEKERJASAMA DENGAN MASDO

“Saya juga anggap peluang menyertai kumpulan Masdo dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 bagi lagu Pujaanku, yang dipertaruhkan untuk peringkat akhir, adalah peluang keemasan.

“Kadang kita tunggu-tunggu nak masuk AJL... adalah dalam enam tahun lamanya tetapi tak ada rezeki. Apabila kita berhenti berharap, itulah detik di mana Allah buka pintu rezeki. Alhamdulillah.

“Masdo ‘chill’ sahaja. Semasa pertandingan, ramai peserta lain yang nak singgah bilik dandanan kami sebab kecoh.

“AJL yang baru berlalu ini juga membuktikan kita mempunyai ramai penyanyi wanita yang bermutu di Nusantara. Pada malam itu, kita lihat Marsha Milan, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Nadeera. Semua memang ‘power’,” katanya.

KEADAAN SEKELILING DI MERATA DUNIA MENGINSAFKAN

Perbualan kami yang hampir masuk setengah jam itu kemudian beralih pada perkara-perkara yang membuka mata dan mindanya sehingga pengertian Ramadan yang lebih mendalam menyentuh jiwa nuraninya.

Aisyah berkata konsep meraih kemenangan selepas sebulan berpuasa baru dihayatinya sejak berusaha mendalami agama.

“Kesyukuran tergolong dalam kalangan umat-Nya yang berupaya berpuasa dan bertemu dengan Ramadan sekali lagi begitu saya rasakan.

“Ada orang tak berupaya berpuasa. Ada pula tak dapat bertemu dengan Ramadan 2025. Kita yang diberi kesempatan berpuasa harus bersyukur. Ada banyak lapisan hidup yang membantu saya mengenali diri saya.

“Saya harus berterima kasih kerana ada ramai kawan yang membantu saya dalam proses mengenali diri dan Tuhan. Bertafakur banyak membantu dan memainkan peranan penting.

“Allah buka hati saya dan saya mendapat hidayah, juga menerusi beberapa perkara yang berlaku dalam hidup saya. Ia mendorong saya buat perubahan.

“Saya menyedari saya boleh sahaja ceritakan masalah saya kepada orang tetapi mereka tak akan dapat beri huraian tepat atau menasihati mengikut perspektif pemikiran mereka sahaja.

“Maka, saya kini lebih banyak mengadu kepada Tuhan dalam solat saya. Bukan sahaja ia perkukuh keyakinan saya terhadap keindahan Islam, tetapi ia membantu saya untuk fikir semula dan lebih berdisiplin dalam hidup seandainya saya mudah alpa dan terlupa,” tambahnya.

Aisyah juga melihat konflik Israel-Palestin di Gaza sebagai isu yang menyentak nadi pemikiran dan pengamatannya tentang kehidupan.

“Saya lihat golongan yang tidak gentar mati dan terus berjuang dengan semangat cekal. Hati mereka penuh dengan ketulusan dan kejernihan untuk tidak takut dalam apa jua ujian.

“Saya imbas tentang perjalanan hidup saya sebagai seorang anak seni. Banyak ketakutan menyelubungi hidup... itu tak cukup, ini tak cukup.

“Kadangkala kita terlalu mudah memenuhi kehendak orang atau berikan apa yang mereka mahu walau kita sendiri tak selesa.

“Tapi saya lihat dalam menangani konflik Gaza, golongan yang saya amati perjalanan hidupnya ini teguh dengan pendirian mereka dan terus berjihad.

“Ada masa pula kita dari kejauhan ingin membantu tetapi apa daya upaya kita? Ini saya kaitkan dengan kehidupan peribadi apabila saya mula berhijrah dan menahan diri daripada melakukan perkara yang terlarang, sebagai contoh, dari segi penampilan dengan membuat pilihan untuk serlahkan kesederhanaan dan kesopanan berpakaian,” kata Aisyah.

“Saya takut nak cakap banyak-banyak. Saya cuma berharap semuanya berjalan lancar dan saya minta doa orang ramai agar segalanya dipermudahkan. Kami manusia biasa, yang pastinya perlu berusaha gigih, adakalanya rasa sangsi dan penuh emosi dan jangkaan yang tidak menentu, berubah-ubah silih berganti. Tapi saya berharap ketenangan akan menjadi sandaran dalam usaha kita dekat dengan-Nya.
– Aisyah Aziz.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg