Apabila ada orang yang tidak dikenali menyapanya di luar dan kelihatan begitu terharu dengan penampilannya yang kini berhijab sambil berdoa di hadapannya, Aisyah Aziz rasa cukup tersentuh.
Suatu masa dahulu, beliau akur kadangkala terbaca komen netizen yang kurang senang dengan caranya berpakaian atau gaya penampilannya di pentas.
Baginya, ia lumrah kehidupan dengan dirinya sendiri mengaku sebagai manusia, kita cepat menilai hanya dengan sekelip mata melihat luaran orang tanpa menyelami hati nuraninya.
Bagaimanapun, situasi sudah berubah dan Aisyah, 31 tahun, sering bersyukur ramai yang menyayanginya dan mahukan yang terbaik untuknya.
Beliau tidak tersinggung bahkan menganggap komen jujur itulah yang mungkin menjadi satu doa untuknya kini mencari cara dan laluan yang ikhlas bagi memperbaiki dirinya.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, pelantun lagu Mimpi itu berkata:
“Saya sebenarnya tersentuh apabila ada yang datang kepada saya dan kelihatan begitu teruja dari raut wajahnya tatkala melihat saya berhijab buat kali pertama.
“Mereka kata, ‘Alhamdulillah, Aisyah...Cik selalu doakan Aisyah. Hari ini tengok Aisyah bertudung, Cik gembira sangat’. Berkat doa-doa orang sebegini, saya benar-benar rasa kasih sayang mereka.
“Saya bahkan kembalikan doa yang baik-baik buat mereka. Nak beristiqamah tidak mudah. Ada banyak ujian yang perlu saya harungi dengan tabah. Tapi kemanisan istiqamah dan iman itulah yang membuatkan saya rasa bersemangat dalam mencari dan mengenali diri saya.
“Masih banyak lagi dalam diri saya yang perlu saya perhalusi. Saya pun datang daripada dunia hiburan yang penuh dugaan. Kadangkala ada banyak tanda tanya dan ketakutan yang saya perlu tangani.
“Tapi berkat rangkaian sokongan keluarga dan sahabat yang utuh, saya yakin kita dapat kecapi nikmat agama sebagai cara kehidupan bersama.”
Aisyah, anak kedua dalam tiga beradik, yang juga mempunyai adik kembar, tahu tidak mudah bagi ibu bapanya mengemudi hari demi hari tanpa rasa bimbang tentang masa depannya.
Beliau, bagaimanapun, bersyukur bapanya, Encik Aziz Sapdan dan ibunya, Cik Siti Hafizah Basharahil, cukup bersabar membesarkannya, menyayanginya seadanya dan tidak pernah berputus harap untuk melihat pembaharuan dalam dirinya yang ingin dekat dengan Sang Pencipta.
“Apabila saya mengorak langkah berhijrah, Ummi (panggilan buat ibunya) antara yang paling gembira tetapi bertanya kepada saya, ‘Daripada simpan kuku panjang, selalu nak sibuk cantikkan kuku serta makan masa siapkan bulu mata lentik untuk persembahan, anak Ummi betul-betul nak bertukar seperti ini (berhijab)?
“Saya kira perkara ini tak akan jadi kalau bukan kerana doa tulus Ummi. Mungkin kalau Ummi diamkan sahaja tanpa doa, saya mungkin semakin jauh dengan Tuhan.
“Sebagai manusia biasa, saya akur saya tidak lari daripada kesilapan. Banyak cubaan dan bisikan syaitan. Kita memang jauh daripada sempurna.
“Ayah saya pun... tegur memang harus tetapi beliau selalu berlembut menangani saya kalau saya tersilap langkah.
“Saya tahu sukar buat ibu bapa saya untuk terima apa yang saya buat dahulu tetapi begitulah teknik keibubapaan yang tidak pernah mudah kecewa dan bersandarkan cara mengasuh bak bermain layang-layang.
“Kadang dilepaskan untuk anak sendiri berdikari dan fikir sendiri tapi jangan sampai terlalu jauh. Ada masa, tarik anak semula dengan dakapan kasih sayang. Saya takkan dapat faham semua ini kecuali suatu ketika saya menjadi ibu. Pastinya, saya ingin mempelajari cara mendidik anak dengan baik,” katanya.
Titik tolak untuknya dan kembarnya, Ayeen, mengenakan hijab dan berusaha memperbaiki diri adalah setelah mengerjakan umrah ke Makkah dan Madinah pada penghujung 2023.
“Selepas 11 hari di sana, saya dan Ayeen menyedari begitu mudah apabila kita sudah pun bertudung. Kita ambil keputusan berusaha pakai terus di Singapura.
“Tak perlu kecoh nak cari telekung dan tudung apabila nak bersolat. Nak rasakan kemanisan iman memanglah sesuatu yang kami syukuri.
“Kami pun tak lari daripada cubaan ditipu ‘scammer’ di Makkah dan perlu banyak sabar. Pada Ramadan lalu (2025) pun, saya rasa cubaannya, mengingatkan saya pada pengalaman di Tanah Suci meskipun ia tidak pada skala sebesar itu. Beza dengan Ramadan 2024, di mana saya rasa lebih keseronokannya.
“Saya dapat merasakan peralihan tenaga baru walau cabaran tetap ada. Barulah saya tahu mengapa nenek-nenek kita selalu teringatkan Tanah Suci. Dalam hati mereka, nak selalu ke sana. Saya dahulu payah menghayati mengapa jalinan itu begitu kuat. Apabila dah pergi, baru saya faham.
“Tanah Suci jauh dari kediaman saya di Singapura tetapi saya selalu rasa tenang dan selesa macam di rumah sendiri. Rasa selamat walaupun dalam kalangan lautan umat Islam. Yang penting, ia membuatkan saya rasa kerendahan hati dan sedari di mana dan siapa diri saya yang sebenar,” jelas Aisyah penuh kesyukuran. – HARYANI ISMAIL
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg