Akademi bangsawan perkasa belia hayati seni tradisional Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akademi bangsawan perkasa belia hayati seni tradisional Melayu

Tawar biasiswa jalani modul latihan teori dan amali, tingkat pemahaman serta penghargaan terhadap bangsawan
Dec 10, 2025 | 5:30 AM

Akademi bangsawan perkasa belia hayati seni tradisional Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Opera Academy,  Nurul Hana Mohamad Azeli, Nur Aleeya Rahmad
Pada 29 November, Opera Academy telah menyampaikan biasiswa bangsawan buat kali kedua kepada dua belia, Nurul Hana Mohamad Azeli (depan, dua dari kiri) dan Nur Aleeya Rahmad (depan, dua dari kanan), di satu majlis penyampaian biasiswa di Restoran Permata, di Kampong Gelam. - Foto OPERA ACADEMY

Selepas menjalani program biasiswa anjuran Opera Academy, penuntut tahun ketiga dalam Diploma Pengurusan Seni dan Teater di Politeknik Republic (RP), Ilya Qairyna Haminudin, 19 tahun, menanam azam untuk melakukan kajian ilmiah mengenai seni bangsawan di Nusantara.

Semangat itu semakin kukuh berikutan bimbingan dan pendidikan khusus yang diterimanya di Opera Academy, mendorong Ilya, yang sedang menanti majlis tamat pengajian pada April 2026, untuk lebih tekun mendalami seni tradisional, budaya serta bahasa Melayu.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), beliau berkata: “Sebelum melanjutkan diri ke universiti, saya ingin berjinak-jinak dalam bidang kajian berkaitan seni bangsawan.

“Pengalaman mengikuti program biasiswa di Opera Academy telah menguatkan minat saya untuk mendalami seni tradisional ini – apatah lagi setelah melihat sendiri keunikan dan ketelitian dalam persembahan bangsawan, yang menarik perhatian saya.”

Opera Academy merupakan badan seni tidak meraih keuntungan yang menawarkan program pendidikan bangsawan buat pelbagai lapisan usia dengan kerjasama kumpulan Anggerik Temasek Bangsawan Singapura.

Dalam temu bual bersama BH baru-baru ini, Pengarah Program dan Operasi Opera Academy, Muhammad Hafiz Yusof, turut berkongsi perkembangan positif penerima biasiswa, Ilya, selepas menyertai program kepimpinan akademi itu.

“Selepas penglibatan para pelajar dalam biasiswa ini, kami tidak menjangkakan mereka akan melanjutkan diri dalam apa jua bidang atau jurusan seni yang mereka minati dalam masa yang singkat. 

“Salah satu daripada mereka iaitu Ilya, kini baru sahaja selesai menjalani ‘internship’ atau latihan amali bersama kumpulan teater tempatan, Singapore Repertory Theatre (SRT).

“Semasa Ilya bekerja dengan SRT, beliau masih merujuk kepada Opera Academy bagi sumber kajian atau pengetahuan dalam bidang seni teater.

“Lebih daripada itu, beliau juga yang memperkenalkan kami dengan SRT untuk bekerjasama dalam satu pementasan dengan kumpulan individu berkeperluan khas.

“Ia amat membanggakan melihat kesedaran pelajar tentang kepentingan kerjasama dalam seni, seiring usaha melestarikan seni tradisional kita,” ujar Hafiz.

Pada 29 November lalu, Opera Academy telah menyampaikan biasiswa bangsawan buat kali kedua kepada dua belia iaitu, lulusan Maktab Rendah Jurong Pioneer, Nurul Hana Mohamad Azeli, 18 tahun; dan pelajar tahun pertama di Institut Millennia (MI), Nur Aleeya Rahmad, 17 tahun, di satu majlis penyampaian biasiswa di Restoran Permata sekitar Kampong Gelam.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

Kededua belia tersebut menerima biasiswa bernilai $10,000, yang memberikan mereka peluang menjalani pelbagai modul latihan teori dan amali untuk meningkatkan pemahaman serta penghargaan terhadap bangsawan.

Di samping itu, majlis berkenaan turut merai kejayaan pelajar daripada program anjuran Opera Academy seperti, Balet Hijab dan Bangsawan Holistik.

Balet Hijab merupakan sebuah program khusus bertujuan memperkasa penari balet dengan tetap menitikberatkan pemeliharaan warisan budaya Melayu, lebih-lebih lagi dari segi pemakaian, adab dan ketertiban dalam persembahan.

Manakala, Bangsawan Holistik, ialah program menyeluruh bagi semua peringkat umur, yang menggabungkan unsur lakonan, tarian, silat serta kekuatan vokal – bertujuan melahirkan pelajar yang mahir dan cekap atas pentas sambil mengekalkan penghargaan terhadap warisan budaya Melayu.

Berkongsi lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Opera Academy, Noor Azhar Mohamed, menjelaskan biasiswa itu merupakan sebahagian usaha akademi tersebut bagi memperkenal dan mendekatkan seni bangsawan dalam kalangan masyarakat muda.

“Sepanjang dua tahun ini, kami bekerja keras untuk menghidupkan kembali seni bangsawan agar Generasi Z dan Generasi Alpha sedar bangsawan turut menggabungkan pelbagai bentuk kesenian.

“Alhamdulillah, kami melihat sambutan semakin berkembang.

“Kini, pelajar sekolah rendah mula bercakap tentang bangsawan, manakala sebahagian pelajar sekolah menengah pula mengajak rakan-rakan mereka untuk menyertai persembahan bangsawan. 

“Semua usaha ini menunjukkan kesan positif dalam kalangan generasi muda.

“Biasiswa ini pula ibarat ‘penyeri’ yang memberi semangat kepada Generasi Z untuk meneruskan kerja kami sebagai pelapis dalam memartabatkan seni bangsawan,” kata Azhar.

Apakah kata penerima biasiswa bangsawan Opera Academy?

Nurul Hana Mohamad Azeli, 18 tahun, lulusan Maktab Rendah Junior Pioneer: “Saya berharap program biasiswa ini dapat memperluas pengetahuan saya dalam sastera, khususnya dari segi bahasa yang digunakan dalam persembahan bangsawan, selain mendalami warisan dan budaya Melayu melalui seni ini.”

Nur Aleeya Rahmad, 17 tahun, pelajar tahun pertama di Institut Millennia (MI): “Saya berhasrat memperluas pemahaman tentang budaya Melayu, memantapkan kemahiran seni, serta belajar menyampaikan cerita dalam persembahan dengan cara yang bermakna. Selain itu, saya teruja untuk bertemu individu yang berkongsi minat sama dan saling bertukar pandangan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg