Teka-teki mengenai empat hot seats atau kerusi panas dalam pertandingan, Gegar Vaganza (GV) Fantasia, akhirnya terjawab apabila Akim Ahmad, Farah Anuar, Felix Agus dan Ara Johari, diumumkan sebagai peserta yang berjaya merebut tempat menerusi undian peminat.

Keempat-empat penyanyi itu melengkapkan barisan 13 peserta GV Fantasia, menyertai sembilan juara Akademi Fantasia (AF) yang diumumkan lebih awal.

Mereka termasuk Vince Chong (AF1), Zahid Baharuddin (AF2), Mawi (AF3), Faizal Ramly (AF4), Mila Jirin (AF5), Stacy (AF6), Shahir Zawawi (AF8), Faizul Sany (AF2013) dan Firman Bansir (AF2014).

Sebelum ini, seramai 25 bekas peserta AF disenaraikan sebagai calon untuk merebut empat kerusi panas berkenaan menerusi undian peminat.

Ketika pengumuman dibuat di pentas GV Fantasia, Farah, 41 tahun, yang meraih undian peminat sebanyak 16 peratus, tampil anggun dalam persalinan ungu dan menghiburkan penonton dengan lagu terkenalnya, Tangisan Dalam Kerinduan.

Farah merupakan pemenang tempat keempat semasa AF2 pada 2004.

Minggu kedua bagi pertandingan terbabit diadakan pada 15 November di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, Malaysia, dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria.

Akim, 35 tahun, dengan undian peminat tertinggi sebanyak 25 peratus, mempersembahkan lagu, Bengang, yang pernah dibawakannya semasa peringkat akhir AF7.

Bagaimanapun, Felix, 44 tahun (naib juara AF3); dan Ara, 29 tahun (finalis AF2016), yang masing-masing meraih 13 dan 9 peratus daripada undian peminat itu, tidak dapat menghadirkan diri atas urusan peribadi.

Tidak mahu kalah

Dalam pada itu, penyertaan Akim turut mencuri perhatian apabila beliau bakal bersaing dengan isterinya, Stacy, 36 tahun, sekali gus mencipta sejarah sebagai pasangan suami isteri pertama bertanding dalam musim GV yang sama.

Bagi Stacy, persaingan itu bukan sesuatu yang asing, memandangkan kedua-duanya mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah mengalah.

“Ini merupakan kali pertama kami kena berentap sebagai suami isteri.

“Saya rasa kami berdua pun tak mungkin nak kalah.

“Memang realitinya, kami berdua jenis yang tidak mahu kalah.

“Kali terakhir kami berentap ialah ketika pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30), pada 2016,” katanya semasa sidang media minggu kedua GV Fantasia di MBSA, sejurus selepas tamat konsert berkenaan.

Stacy turut mengakui kebiasaannya mendapatkan pandangan Akim mengenai persembahannya.

Namun, apabila mereka kini bersaing, beliau tidak bercadang untuk berkongsi strategi pertandingan dengan suaminya.

Malah, penyanyi lagu, Aku Stacy itu menyifatkan Akim mempunyai kelebihan tersendiri, khususnya menerusi pengalaman luas sebagai komposer dan sokongan pemuzik profesional di sekelilingnya.

“Sistem sokongan Akim sangat padu. The Majistret sahaja, semuanya hebat-hebat.

“Sesiapa pun yang beliau panggil, mesti yang baik-baik dari segi mutu.

“Sementara saya pula berbeza. Jadi, saya kena bijak dalam strategi,” ujarnya.

Akim pula menyifatkan penyertaannya sebagai peluang untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap cabaran persembahan yang perlu disempurnakan dalam tempoh singkat.

“Persembahan perlu dilakukan dalam dua minit, jadi harus beri komitmen penuh.

“Komitmen inilah yang saya inginkan dalam pertandingan,” kata bapa tiga anak itu.

Sepanjang pertandingan berlangsung, ibu Stacy, Agnes Kaloos, akan membantu untuk menjaga anak-anak pasangan itu, terutama sepanjang musim cuti sekolah.

Farah Anuar sebak, impian sertai GV tercapai

Sementara itu, Farah, tidak dapat menahan sebak apabila hasratnya untuk menyertai GV, yang dipendam sejak musim kedua pertandingan tersebut, akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut penyanyi yang juga pengacara itu, beliau berkongsi berita gembira berkenaan bersama suami dan anak-anak sebelum menghubungi ibu bapa serta adik-beradiknya.

“Terkejut apabila dapat tahu pada 13 November lalu. Saya sempat peluk dan menangis dengan suami dan anak-anak.

“Selepas itu, baru telefon ibu bapa dan adik-beradik. Tapi saya memang mengharapkan untuk masuk.

“Dah lama saya tanya nak masuk GV dari musim kedua.

“Waktu itu katanya memang tak ambil bekas pelajar AF. Saya pun pasrah,” katanya.

Meskipun pernah kecewa, Farah tidak pernah berhenti berkarya, sebaliknya memanfaatkan media sosial sebagai wadah untuk terus mendekati peminat.

Beliau juga masih aktif menerima undangan persembahan korporat, biarpun lebih banyak memberikan tumpuan terhadap bidang pengacaraan sejak kebelakangan ini.

Justeru, peluang beraksi di pentas GV Fantasia dianggap sebagai ruang terbaik untuk kembali memperlihatkan kemampuan vokalnya kepada khalayak.

“Apabila mendapat jawapan tidak ambil bekas pelajar AF (semasa GV2), saya anggap bukan rezeki di sinilah.

“Maksudnya, saya carilah wadah lain. Sekarang pun ada macam-macam media sosial.

“Tapi alhamdulillah, nampaknya rezeki memang di sini juga.

“Saya rindu sangat nak menyanyi. Sebelum ini, saya banyak tawaran mengacara dan buat persembahan korporat.

“Orang tak tahu saya masih lagi menyanyi. Jadi, saya rindu nak buat persembahan kembali,” katanya.

Tiada penyingkiran

Di samping itu, tiada penyingkiran bagi minggu kedua pertandingan tersebut.

Bagaimanapun, ketua juri, Datuk Ramli MS, mengingatkan peserta GV Fantasia agar menyesuaikan mutu persembahan mereka dengan tuntutan pertandingan GV yang lebih mencabar berbanding AF.

“Apabila dalam GV, peserta haruslah menyanyi (mengikut standard) yang sepatutnya.

“Kalau ikut markah pertandingan AF, 67.66 peratus itu kira boleh duduk antara tempat ketiga dengan kelima.

“Tetapi, saya percaya akan ada banyak perkembangan dalam minggu-minggu akan datang.

“Satu perkara yang saya suka tentang mereka, kebanyakannya menunjukkan peningkatan walaupun agak perlahan.

“Setiap kali ada data (maklum balas) baharu, mereka ada menunjukkan perkembangan,” kata Ramli.

Bertema, Gen Fantasia, Stacy sekali lagi mengungguli carta dengan markah 67.66 peratus menerusi lagu, Mewangi, nyanyian asal Akim & The Majistret, dalam persembahan minggu kedua.

Persembahannya mendapat pujian juri, Datuk Syafinaz Selamat, yang menyifatkannya sebagai persembahan bertaraf juara, meskipun masih ada ruang untuk memperbaik teknik vokal dan penghayatan.

Mawi pula di tempat kedua dengan 60.93 peratus menerusi lagu, Aku Yang Berdosa (nyanyian asal Shahir).

Manakala Firman, menduduki tangga ketiga dengan 57.11 peratus selepas menyampaikan lagu, Saksama (Akim & The Majistret).

Sementara itu, tiga peserta di kedudukan terbawah ialah Vince dengan markah sebanyak 49.19 peratus, Faizal (43.80 peratus) dan Shahir (37.82 peratus).

Ketika menyampaikan lagu Hasrat (Amir Jahari), Vince menerima pujian atas persembahannya, namun juri, Hetty Koes Endang, berpendapat beliau masih perlu mempertingkatkan penghayatan pada beberapa bahagian lagu.

Shahir pula turut ditegur kerana masih lemah dalam penguasaan nada rendah ketika menyampaikan lagu, Hidup Dalam Mati (Syamel).

“Di (bahagian) korus hingga koda (penghujung), Bunda (panggilan buat Hetty) suka.

“Namun, bagi saya, pada saat awal lagu terutama di saat nada rendah, kamu kurang.

“Jadi bagi nada rendah kamu harus dibaiki lagi,” ujar Hetty.

“

“Ini merupakan kali pertama kami kena berentap sebagai suami isteri. Saya rasa kami berdua pun tak mungkin nak kalah. Memang realitinya, kami berdua jenis yang tidak mahu kalah.”
Penyanyi, Stacy mengenai suami, Akim Ahmad, yang juga kini pesaingnya dalam pertandingan, ‘Gegar Vaganza (GV) Fantasia’.