Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, 67 tahun, mungkin sudah memulakan kerjayanya sejak era 1970-an, namun semangatnya untuk kekal relevan tidak pernah pudar.
Bahkan, meskipun dianggap sebagai penyanyi berpengalaman, Hetty tidak segan mengakui dirinya memiliki jurulatih vokal kerana proses belajar tiada hentinya.
Dalam dunia seni yang sentiasa berubah, penyanyi lagu, Berdiri Bulu Romaku, itu memilih untuk tidak ketinggalan, sebaliknya terus mendekatkan diri kepada generasi muda melalui pendekatan baru, daripada penggunaan media sosial sehinggalah kolaborasi muzik moden.
Menariknya, usaha ini turut dipacu oleh anak perempuannya sendiri, Afifah Qamariah Yusuf, 28 tahun, yang juga seorang penyanyi dan penulis lagu.
Kerjasama terbaru mereka ialah lagu berjudul, ‘THR’, atau Tradisi Hari Raya, yang dilancarkan sempena Aidilfitri lalu, menyatukan keaslian vokal klasik Hetty dengan elemen muzik kontemporari, lantas membuahkan sebuah karya segar merentasi dua generasi.
Apabila dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom pada 8 Julai lalu, Hetty, yang mesra dengan panggilan ‘Bonda’, berkongsi kisah di sebalik tercetusnya lagu tersebut.
Ketika itu, beliau sedang berada di Malaysia sebagai juri pertandingan nyanyian realiti siaran Astro Ria iaitu, Gegar Vaganza 11 (GV11).
“Ketika Bonda sibuk di GV11 dan hampir masuk bulan puasa, si Neng (panggilan untuk Afifah) telefon dan kata beliau ada lagu untuk kita nyanyikan bersama.
“Sejujurnya, Bonda jadi tak keruan memikirkan bagaimana lagu ini bakal dinyanyikan kerana selera muzik anak muda dan generasi Bonda berbeza.
“Tapi Alhamdulillah, di tengah-tengah Bonda harus berulang-alik dari Jakarta ke Malaysia waktu itu, rakaman berjalan dengan lancar dan lebih menggembirakan, lagu ini diterima baik oleh masyarakat di rantau ini sehingga tular di media sosial,” kata Hetty dengan penuh rasa syukur.
Lagu ‘THR’, terbitan Musica Studios, diinspirasikan daripada kemeriahan dan kehangatan suasana Aidilfitri.
Selain itu, lirik yang ditulis sendiri oleh Afifah, turut menyentuh soalan berbasa-basi yang sering timbul ketika berkumpul bersama keluarga, seperti ‘Bila nak kahwin?’ atau ‘Kenapa kelihatan gemuk?’, yang sering membuat ramai menghela nafas panjang dan bosan.
Video muzik bagi lagu Lebaran itu kini telah meraih sebanyak 188,185 tontonan di laman Youtube dan 65,747 penstriman di pelantar Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Hubungan erat ibu dan anak ini jelas terpancar bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, malah juga dalam kerjaya seni, apatah lagi, Afifah merupakan pengurus Hetty dalam arena muzik.
Namun begitu, Afifah turut akui ada masanya bayangan nama besar ibunya memberi tekanan, meskipun itu telah menjadi sebahagian daripada pengorbanan yang perlu ditempuhnya dalam dunia seni.
“Apa yang Afifah pelajari daripada Bonda adalah ketekunan dan ketekalannya.
“Memang benar, era kami berbeza. Zaman saya ini banyak cabangnya, manakala Bonda dulu boleh fokus dalam satu bidang. Namun, satu hal yang penting yang saya amati adalah kesabaran.
“Bonda sudah berkecimpung dalam bidang muzik lebih enam dekad. Tak ada yang datang sekelip mata.
“Saya tak kisah kalau saya tak ‘viral’ (tular) atau sepopular Bonda, asalkan langkah saya dalam arena muzik bermakna, ibarat ‘biar lambat asalkan selamat’,” kongsi Afifah, yang juga ibu dua cahaya mata kecil.
Di samping itu, Afifah turut mengimbas kembali pendekatan ibunya sebagai orang tua yang kini menjadi panduan berharga dalam membesarkan kedua-dua anaknya, Arlo Astrodistira Arsanda, tiga tahun, dan Arcilla Astranathira Arsanda, setahun.
“Bila dah jadi ibu, barulah saya faham makna semua nasihat Bonda dulu.
“Bonda tak pernah terlalu memaksa, tapi tak juga lepas tangan. Beliau bijak meletakkan sempadan dan nilai-nilai itu kini diajarkan dan diturunkan pula pada anak-anak saya,” kata Afifah.
Terdahulu, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan seorang pegawai bank lulusan Universiti Portland di Oregon, Amerika, Faldo Arsanda Aziz, pada 20 November 2020.
Menjelang 23 Ogos nanti, pasangan ibu dan anak ini bakal berkongsi pentas pada Konsert Irama Perjuangan, sempena Kempen Kesedaran Barah 2025, di Teater Mediacorp.
Konsert anjuran DStar Management dengan kerjasama Persatuan Ain itu turut menghimpunkan barisan bintang alumni Gegar Vaganza seperti Mimifly, Liza Aziz dan Hady Mirza.
Ditanya tentang pemilihan artis untuk konsert ini, Hetty berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak penganjur.
“Sebagai juri tetap GV, Bonda tak mahu dilihat pilih kasih atau mempunyai anak emas.
“Tapi Bonda bersyukur kerana senarai artis ini sangat istimewa. Bila lagi kita boleh lihat juri dan peserta GV bergandingan di pentas sama?” ujarnya berseloroh.
Mengenai penglibatan Hady, bakat tempatan dari Singapura yang juga juara pertandingan, GV6 dan Naib Juara, All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Hetty berkata:
“Bagi Bonda, Hady penyanyi dengan berkebolehan tinggi. Mungkin pendedahan di Singapura agak terbatas, tapi bakatnya sangat besar.”
Harapan Hetty untuk konsert ini bukan hanya sebagai persembahan hiburan, malah sebagai ruang untuk meniupkan api semangat dan harapan kepada para pejuang barah.
“Bagi Bonda, muzik itu juga penawar jiwa.
“Bonda berharap pada malam itu, sajian hiburan yang dipersembahkan dapat membuat penonton tersenyum dan merasa lebih tabah mengharungi cabaran hidup.
“Bonda ingin mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian,” kata Hetty.
Tiket Konsert Irama Perjuangan, berharga antara $88 dengan $288, boleh didapati di laman Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/donairama0825
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg