Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlfan Ryan tidak jadikan rupa ‘bonus’, tekad asah bakat nyanyian
Finalis ‘Anugerah 2026’ jadikan kritikan pedas pembakar semangat, akui pengalaman dalam pertandingan matangkan diri
Alfan Ryan tidak jadikan rupa ‘bonus’, tekad asah bakat nyanyian
Pernah menerima kecaman penampilannya lebih menyerlah berbanding mutu nyanyian, finalis Anugerah 2026, Alfan Ryan, 20 tahun, memilih untuk tidak membalas kata-kata negatif yang dilemparkan padanya.
Sebaliknya, penyanyi muda itu menjadikan setiap kritikan sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki kelemahan dan membuktikan kemampuannya di pentas pertandingan realiti nyanyian anjuran Mediacorp Suria itu.
Alfan, atau nama sebenarnya, Alfan Ryan Alfe Rohan, mengakui antara komen yang masih segar dalam ingatannya ialah apabila segelintir netizen mempertikaikan bakat nyanyiannya selepas beliau terlupa lirik ketika menyanyikan lagu, Berdendang Dalam Tangisan, yang dipopularkan Datuk Jamal Abdillah.
Lagu tersebut dinyanyikan pada minggu kelima bagi tema Roots Remixed, di mana peserta diberi cabaran untuk menyampaikan lagu tradisional dengan sentuhan moden.
“Ada yang berkata, ‘Nasib baik ada rupa, nyanyi tak bagus.’
“Saya tidak berkecil hati. Malah, kata-kata itu membuatkan saya mahu membuktikan mereka salah dengan memperbaiki mutu vokal dan persembahan saya,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu (BH), baru-baru ini.
Anugerah 2026 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Mediacorp Suria, melabuhkan tirainya pada 27 Oktober dengan menobatkan Nada Fitri, 25 tahun, sebagai juara.
Manakala, Farras Qushayyi, 28 tahun, pula meraih tempat kedua selaku naib juara.
Alfan merupakan antara finalis Anugerah 2026, selain BANIE, 22 tahun; dan Izzan Adlan, 24 tahun.
Beliau berhasil membawa pulang hadiah wang tunai $3,000 berserta piala.
Di samping itu, Alfan kurang senang apabila dirinya dibandingkan dengan peserta lain kerana bimbang perbandingan sedemikian boleh menjejaskan hubungan persahabatan yang terjalin sepanjang pertandingan.
“Saya tidak suka dibandingkan kerana kami semua berkawan. Setiap peserta mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
“Sebagai peserta, kami hanya perlu memberi tumpuan kepada persembahan dan memikirkan langkah seterusnya selepas Anugerah,” jelas lulusan Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat itu.
Ketika ada anggota keluarga cuba mempertahankannya daripada kecaman netizen, pelakon drama bersiri, Cuci S2, itu akur meminta mereka supaya tidak membalas komen berkenaan.
“Kalau saya sendiri tidak membalas dan tidak terjejas dengan komen itu, mengapa keluarga saya perlu membalasnya?
“Apa yang saya perlu lakukan ialah membuktikan mereka (netizen) salah dengan menjadi lebih baik,” ujar anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu.
Di sebalik ketegasan itu, perjalanan Alfan membina keyakinan diri sebagai penyanyi bukanlah sesuatu yang mudah, meskipun pernah menyertai pertandingan Juara Mic Junior (Musim Pertama) dan Suara 3.0, anjuran Wisma Geylang Serai (WGS).
Namun, dorongan datuknya, Encik Bakri Salmat, 73 tahun, dan neneknya, Cik Maimunah Kamis, 69 tahun, yang pernah aktif dalam bidang muzik, menjadi antara sumber kekuatan yang membakar semangat Alfan untuk terus mengasah bakat nyanyiannya.
Antara cabaran paling menguji emosinya ialah ketika ditugaskan menyampaikan lagu rok, Fenomena (nyanyian asal kumpulan Search) dalam pusingan separuh akhir, yang jauh berbeza daripada genre balada dan R&B yang biasa dinyanyikan.
Menerusi persembahan lagu itu, beliau digandingkan dengan Izzan, dan finalis Anugerah 2021, Ace Iskandar.
“Saya sangat tertekan apabila menerima lagu itu kerana jauh di sudut hati, saya tahu genre tersebut bukan kekuatan saya.
“Tetapi Izzan banyak membantu saya walaupun kami sebenarnya pesaing dalam pertandingan ini,” kongsinya, yang juga jurulatih silat dalam perguruan milik keluarganya, Perguruan Pencak Sendeng.
Menjadikan pengalaman sepanjang Anugerah 2026 sebagai batu loncatan, Alfan menyimpan cita-cita untuk mengembangkan kerjaya seninya ke peringkat serantau.
“Saya berharap suatu hari nanti dapat mencuba nasib dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia.
“Kalau diberi peluang, saya juga ingin bekerjasama dengan penyanyi dan komposer tempatan, Imran Ajmain.
“Bagi saya, perjalanan seni ini masih panjang dan masih banyak yang perlu saya pelajari untuk menjadi penyanyi yang lebih baik,” kata Alfan, yang kini sedang menantikan panggilan menjalani Perkhidmatan Negara (NS).