Topik diikuti
Pergi ke BHkuAltimet himpun lebih 100 lagu dalam ‘arkib’ yang belum dikeluarkan
Altimet himpun lebih 100 lagu dalam ‘arkib’ yang belum dikeluarkan
Penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau lebih mesra dikenali sebagai Altimet, mendedahkan beliau mempunyai lebih 100 lagu dalam ‘arkibnya’ yang masih belum dikeluarkan untuk didengari khalayak ramai.
Altimet turut tidak menolak kemungkinan, untuk mengeluarkan lagu itu kepada umum mengikut kesesuaian.
Beliau mengambil contoh, sebuah lagu baharu ciptaan dan dendangannya bersama Adam Nuqris – seorang penyanyi muda yang mula menempa melalui wadah media sosial TikTok – berjudul Pegang Tangan, yang baru dikeluarkan pada Ogos.
Menurut Altimet yang turut merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi Lembah Jaya di Selangor, lagu Pegang Tangan, dikeluarkan susulan gesaan daripada beberapa rakannya, selepas mereka tersentuh hati mendengarnya.
“Mereka tersentuh mendengar lagu itu disebabkan ia pasal mak. Kalau macam usia saya, mak sudah semakin tua.
“Kawan-kawan saya berkata kita seperti harus bersiap sedia, mak kita tidak akan hidup selamanya.
“Mereka kata, ‘kau kena keluarkan lagu ini’,” katanya yang terkenal dengan lagu seperti Bunga dan Amboi kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Altimet menjelaskan, koleksi lagu yang ditulis dan dirakam olehnya itu tidak terkandung dalam mana-mana album disebabkan faktor tertentu.
“Ia tak masuk mana-mana album disebabkan tak sesuai.
“Kadang-kadang, ada lagu boleh dimuatkan dalam album dan ada yang tak boleh. Ia berdiri sendiri pun boleh juga.
“Saya rasa mungkin ia bergantung mengikut kesesuaian.
“Dari segi menjana pendapatan pun boleh juga sebab saya masih dapat pendapatan daripada royalti lagu dan sebagainya,” katanya.
Menurut Altimet, himpunan karya dalam arkibnya itu merupakan lebihan lagu yang dihasilkannya sebagai kegiatan bagi mengisi waktu lapang.
“Saya tulis satu lagu setiap hari, jadi banyaklah.
“Saya ada satu ‘hard drive’ atau pemacu cakera keras di rumah untuk (simpan) lagu-lagu ini,” katanya.
Malah, beliau turut terbuka untuk memberikan lagu itu kepada mana-mana artis yang disifatkannya bersesuaian.