Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Joe Flizzow ingin muzik ‘hip-hop’ serantau kembang ke peringkat dunia

Bersama SonaOne dan Ismail Izzani, akan tampil di ‘Ombak Festival 2025’, Desaru Coast
Sep 4, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi ‘rap’ , Joe Flizzow
Penyanyi ‘rap’ Malaysia, Joe Flizzow, akan membawakan beberapa lagu dalam album terbarunya, di ‘Ombak Festival 2025’, yang akan berlangsung antara 12 dengan 14 September, di Desaru Coast. - Foto OMBAK FESTIVAL

Bayangkan anda sedang berada di pesisiran pantai, ditemani dengan iringan dan sajian hiburan muzik yang menghiburkan sambil menikmati pemandangan yang indah bagi tatapan mata.

Begitulah gambaran destinasi persembahan penyanyi rap Malaysia terulung, Joe Flizzow, seterusnya yang bakal bertempat di resort pantai, Desaru Coast di Johor Bahru, Malaysia, sempena Ombak Festival 2025.

Ini turut merupakan kali kedua Joe, 45 tahun, yang tidak asing dengan gelaran ‘The Godfather of Hip-Hop’ di Malaysia, memeriahkan lagi suasana pada pesta seni dan muzik yang penuh warna itu.

Acara tersebut dijadualkan berlangsung antara 12 September dengan 14 September, bermula 2 petang.

Bagaimanapun, apabila penulis berpeluang untuk menemui beliau semasa sesi pratonton Ombak Festival 2025 yang diadakan di Kelab Pantai Ember, The Sireya, baru-baru ini, Joe berkata beliau kurang senang dengan gelaran itu.

“Istilah ‘godfather’ ini seperti orang lama atau pengasas dalam sesuatu bidang. 

“Ia ibarat ‘ayahanda’ dan itu terlalu tinggi buat saya.

“Saya rasa gelaran tersebut lebih sesuai diberikan kepada seniman seperti Norman KRU.

“Tetapi kalau gelaran, ‘abang besar’, saya rasa bolehlah,” kata Joe kepada Berita Harian (BH).

Ombak Festival 2025 bakal menyaksikan persembahan memukau daripada penyanyi kelahiran Johor Bahru itu bersama rakan penyanyi, SonaOne dan Ismail Izzani.

Lebih istimewa lagi, buat julung-julung kalinya, Joe akan membawakan beberapa lagu daripada album terbarunya, yang bakal diterbitkan pada 19 September – menjanjikan pengalaman penuh kejutan.

Selain Joe, Ombak Festival 2025 turut menampilkan barisan bakat antarabangsa demi menggamatkan lagi suasana dengan hiburan muzik segar dan sukar dilupakan.

Antaranya mereka terdiri daripada Phum Viphurit, Joss Stone, George Clinton dan Parliament Funkadelic, Masio One dan The Jah Jah Army, serta Don West.

Joe turut yakin bahawa acara sebegini memainkan peranan penting dalam membawa bakat seni Malaysia, mahupun di Nusantara, ke pentas antarabangsa.

Ditanya BH tentang takrifan tersendiri Joe mengenai landskap budaya dan seni hip-hop dalam era ini, beliau berkongsi bahawa ia sudah jauh berkembang.

Mengenang pula perjalanan seni Joe yang awalnya dikenali sebagai ‘separuh’ daripada kumpulan hip-hop terkenal, Too Phat (bersama penyanyi rap, Malique Ibrahim), penyanyi lagu, Satu Malam Di Temasek, itu akur ia penuh dengan pasang surutnya. 

“Dulu, kita perlu buktikan diri dan berjuang sekuat tenaga.

“Sebagai contoh, setiap kali kami buat persembahan, akan ada pihak berkuasa yang datang untuk mencari sebab supaya acara kami dibatalkan.

“Ini kerana kandungan idea dan mesej yang cuba kami sampaikan dalam persembahan lagu.

“Kini, muzik hip-hop lebih dikenali ramai, bahkan di seluruh dunia.

“Kalau saya rap di hadapan seorang mak cik di kampung pun, dia akan tahu itu lagu rap,” seloroh Joe.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa perkembangan yang berlaku kini, berpunca daripada usaha bersama para seniman yang bergiat aktif dalam memperjuangkan karya dan muzik hip-hop di industri muzik serantau.

“Ia mengambil tempoh masa yang agak panjang untuk kami mengubah tanggapan masyarakat mengenai muzik hip-hop.

“Tetapi, pada masa ini, masyarakat hip-hop di Malaysia sangat sihat.

“Saya masih lagi berpegang pada kepercayaan bahawa hip-hop adalah sebuah platform yang baik bagi anak muda mengekspresikan diri mereka secara kreatif.

“Bahkan, bagi pencinta hip-hop juga, mereka dapat mempelajari nilai kehidupan melalui aliran muzik ini,” tambah Joe.

Sementara itu, beliau akur bahawa gelombang media sosial dalam kalangan anak muda mempunyai kesan sama rata, antara positif dengan negatif.

Namun begitu, jika dilihat sisi positifnya, ramai artis muda menggunakan wadah media sosial untuk mengetengahkan karya muzik kepada masyarakat.

“Laman media sosial seperti, TikTok, menjadi antara wadah yang dimanfaatkan artis muda untuk mempromosikan muzik mereka.

“Dulu, kami perlu ke stesen radio, lakukan wawancara atau hadiri acara bagi mengetengahkan karya muzik baru.

“Kini, kalau nasibnya baik dan berhasil meraih momen tular di media sosial, syukurlah.

“Tetapi, bagi saya, yang lebih utama adalah cara seseorang mampu mengekalkan kejayaannya.

“Saya percaya media sosial sahaja tidak boleh diharapkan sepenuhnya,” singkap Joe.

Dalam perkembangan lain, Joe selaku Pengarah Urusan bagi syarikat label rakaman, Def Jam Asia Tenggara, selama lima tahun (dari 2020 hingga 2025), turut berkongsi visi beliau dalam mengembangkan muzik ‘hip-hop’ serantau ke peringkat antarabangsa.

“Muzik hip-hop di rantau ini sedang berkembang pesat. 

“Lihat saja Tobii dari Thailand, yang mencatat kejayaan dengan lagu-lagu hit tahun lalu (2024).

“Ataupun, Alyph dari Singapura yang kini bukan sahaja dikenali di tanah air, malah turut mencuri perhatian di Malaysia dan Indonesia.

“Kini, Alyph juga seorang penyanyi, penulis lagu dan komposer yang disegani.

“Harapan saya, kita dapat melangkah lebih jauh dan membawa muzik ini ke pentas dunia,” ujarnya.

Tiket Ombak Festival 2025 berharga RM350 ($106.69) bagi pas satu hari, dan RM650 bagi pas dua hari, boleh didapatkan melalui laman web Ticket Melon di pautan https://bh.sg/ombakfest25

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg