Amad bangkit semangat, ‘Mendewasa’ dengan karya sentuh jiwa
Amad bangkit semangat, ‘Mendewasa’ dengan karya sentuh jiwa
Mencipta nama dalam dunia seni pada usia muda pastinya tidak mudah.
Bagi Amad, atau nama sebenarnya, Ahmad Dayyan Saiful Anuar, 13 tahun, setiap cabaran dianggap sebagai langkah menuju pelangi selepas hujan.
Peristiwa rebah di atas pentas program Talk To My Manager (TTMM) pada 12 Oktober 2025 lalu, bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya.
Sebaliknya, anak penyanyi Malaysia, Siti Sairah Tarudin dan anak saudara Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu, bangkit dan terus menatap masa depan dengan penuh keyakinan.
“Saya sangat gembira. Selepas menyertai program TTMM, dapat dirasakan ada perkembangan dari segi vokal.
“Di samping itu, syukur Alhamdulillah, jumlah peminat pun meningkat.
“Banyak sebenarnya yang saya lalui dalam TTMM, baik yang pahit mahupun manis.
“Tetapi, dari situ saya belajar untuk mematangkan diri, lebih-lebih lagi jadi artis ini tidak mudah,” katanya dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH).
Dia ditemui wartawan BH semasa berada di pameran Halal International, anjuran MegaXpress International, di Dewan 5A Singapore Expo, baru-baru ini.
Ketika itu, Amad turut berkongsi reruai dengan cef selebriti dan pempengaruh sosial, Cef Haikel Ismail, sambil menjual jenama makanan ringan seperti hirisan mangga kering, AMangga, dan sambal khas Pahang, Sambal Hitam Wan, yang dibuat oleh neneknya, Mak Salmah.
Amad, pemenang tempat keenam TTMM, turut mengakui terkejut apabila semakin ramai mengenalinya selepas menyertai program itu, malah ada yang menegurnya ketika berada di luar.
Biarpun pada awalnya berasa janggal, dia akur dan menerima kenyataan itu sebagai sebahagian daripada kehidupan barunya selaku artis.
“Sebelum ini, tak ada yang menegur saya ketika berada di luar.
“Tetapi selepas TTMM, adalah orang yang bertegur sapa dan ingin mengambil gambar bersama.
“Awalnya agak janggal juga kerana belum terbiasa.
“Namun saya faham, setelah bertanding dalam satu program realiti di televisyen, ramai yang kenal saya.
“Kini pun, saya sudah ada kelab peminat sendiri yang bergelar, Amadzon,” kata anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu.
Amad turut mempunyai seorang kakak, Ummi Umairah Saiful Anuar, 14 tahun, yang juga aktif dalam bidang nyanyian dan kini bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Siti Nurhaliza, SN Legacy Sdn Bhd.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, laman Instagram kelab peminat Amadzon Official mencatatkan seramai 9,397 pengikut.
Setelah penyertaannya dalam program TTMM, Amad menghadiahkan peminat setia dengan lagu terbarunya berjudul, Mendewasa.
Dengan sentuhan lirik puitis hasil nukilan komposer ternama di Malaysia, Shazriq dan Omar K, lagu dengan melodi pop balada yang menyentuh jiwa ini, membawa mesej keberanian untuk menghadapi realiti dan erti sebenar membesar.
Secara peribadi, lagu ini juga cukup bermakna bagi Amad kerana menggambarkan perjalanan emosi dan realiti perubahan hidupnya menuju alam kedewasaan, apatah lagi di usia mudanya sudah mula membina kerjaya seni.
“Lagu ini sangat menyentuh jiwa dan terasa berat setiap kali saya membawakannya.
“Semasa penggambaran video muziknya, saya cuba membayangkan keadaan dunia yang penuh keganasan, terutama nasib saudara-mara sesama Muslim di Palestin.
“Saya menyalurkan perasaan itu dalam diri sendiri dan ia membuatkan saya benar-benar sedih.
“Emosi inilah yang ingin saya sampaikan, selain mengenang perjalanan membina kerjaya seni sejak usia muda,” kongsi Amad, yang telah merakamkan lagu itu sejak Mac 2025.
Bagaimanapun, memandangkan Amad juga masih lagi bersekolah, dia hanya akan membuat persembahan ketika hujung minggu atau cuti sekolah sahaja, agar tidak mengganggu pelajarannya.
“Biasanya, ibu saya yang menguruskan jadual.
“Beliau yang akan susun semua kegiatan saya dalam seminggu.
“Buat masa ini, saya hanya buat persembahan sewaktu hujung minggu, ataupun cuti sekolah,” katanya yang menuntut di Sekolah Sukan Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Lebih daripada itu, selain berbakat dalam bidang seni, Amad juga seorang pemain sepak takraw yang hebat.
Malah, dia juga pernah mewakili Kuala Lumpur dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di peringkat negeri.
Ditanya BH mengenai kemungkinan tekanan dalam bidang seni wujud memandangkan ibu saudaranya juga seorang penyanyi berkaliber, Amad menjelaskan dia tidak berasa terbeban, sebaliknya meneruskan bidang nyanyian berlandaskan minat peribadi buat masa ini.
“Sejauh ini, tiada tekanan atau rasa tertekan untuk mengikut jejak langkah Mak Iti (panggilan buat Siti Nurhaliza).
“Ini kerana saya masih baru dalam bidang seni dan baru setahun menceburinya.
“Buat masa sekarang, saya hanya menjalankan amanah kerana minat.
“Saya juga sangat menikmati perjalanan saya kini sebagai penyanyi baru,” ujarnya, yang turut mengimpikan peluang bekerjasama dengan penyanyi sekali gus komposer popular, Hael Husaini.
Selain itu, Amad ingin memperluas jangkauan muziknya dengan membawakan lagu tradisional, jaz, serta karya berbahasa Inggeris, sebagai cabaran peribadi dalam perjalanan seni.
Peminat Amad di Singapura boleh menantikan persembahannya pada acara dagang, Grand Market, anjuran Mak Besar Events, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari ini.

