Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis cilik harus diberi ruang santai, diasuh sedia tangani cabaran

Oct 27, 2025 | 5:30 AM
 Ahmad Dayyan, Amad, siti nurhaliza, penyanyi
Anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ahmad Dayyan (Amad), masih muda belia dan memerlukan bimbingan mereka yang lebih banyak makan garam untuk benar-benar membina nama dan berjaya dalam kerjaya nyanyian. - Foto TANGKAP LAYAR ASTRO

Melihat bakat kanak-kanak Hollywood suatu ketika dahulu seperti Macaulay Culkin, Gary Coleman, Amanda Bynes dan Britney Spears, mengecap jaya dengan bermacam projek lumayan terbentang di depan mereka pada usia muda memang menyeronokkan.

“Kecil-kecil lagi dah kaya!” – begitulah antara kata-kata yang terlahir dari mulut saya setiap kali berita tentang pencapaian mereka disiarkan di dalam program hiburan seperti, Entertainment Weekly.

Bagaimanapun, apa yang jadi pada diri mereka selepas populariti yang diraih tidak dapat dipertahankan hingga ke usia dewasa, disaluti dengan bermacam masalah lain?

Culkin, kini 45 tahun, terdesak meninggalkan bidang lakonan suatu ketika dahulu kerana tekanan bergelar bintang, kehidupan yang tidak terurus kerana penyalahgunaan dadah dan bermacam masalah lain.

Kini, bintang filem, Home Alone (1990) itu sudah kembali berlakon, menjadi bapa dua anak, tetapi lebih selesa jika kisah peribadinya tidak dilaporkan media.

Bintang sitkom Different Strokes, mendiang Coleman, yang pernah disifatkan sebagai pelakon comel, meninggal dunia pada 2010 selepas mengalami pendarahan otak menyusuli kejadian terjatuh dari tangga di rumahnya di Utah, Amerika Syarikat.

Beliau beberapa kali diheret ke mahkamah kerana kesalahan memukul peminat dan memeras ugut serta mendera isterinya.

Bynes, 39 tahun, yang pernah terkenal kerana beberapa siri televisyen dan filem remaja seperti, All That dan She’s The Man, pula kini menjalani kehidupan menyendiri sebagai pekerja tatarias kuku dan lebih tertumpu kepada kegiatan sihat selepas pernah beberapa kali mengalami masalah kemurungan dan penyalahgunaan dadah sewaktu bergelar artis.

Spears, 43 tahun, yang merupakan bintang pop terkenal sejak zaman remaja, dicap sebagai mengalami masalah mental yang menimbulkan banyak masalah sehingga sentiasa tampak tidak keruan di Instagram.

Bagi saya, kasihan juga apabila bintang-bintang itu mengalami masalah kerana tekanan populariti yang tidak kekal lama dek pasang surut dunia hiburan.

Sekali gus, ia membuatkan saya memikirkan pula nasib bintang cilik di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Apakah mereka mampu menangani impak besar dunia hiburan yang berkait rapat dengan perkembangan pesat dunia digital?

Apakah mereka sudah bersedia menangani lontaran kritikan dan kecaman bak bertali arus daripada media mahupun netizen yang bagaikan lebih mengetahui kehidupan sebenar seorang artis?

Saya nampak potensi dua anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ahmad Dayyan (Amad) dan Ummi Umairah, untuk menyerlah di persada seni Nusantara, tanpa dibayangi populariti besar ibu saudara mereka, seorang Biduanita Negara.

Saya lihat keinginan kuat anak Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin, Thalita Shuib, untuk mengikut jejak langkah ibunya bergelar penyanyi profesional.

Tapi dalam belantara dunia hiburan masa kini, memandangkan ramai orang yang tiada empati dan belas ihsan, kasihan juga kalau mereka dilanda tekanan yang boleh meluputkan keyakinan diri.

Kadangkala, cara mereka menjawab soalan media dianggap tidak beradab atau tampak kebudak-budakan, sebab mereka belum cukup faham apakah itu erti interaksi dengan wartawan.

Saya terbayangkan kehidupan kanak-kanak dan remaja yang gigih bekerja dalam bidang seni pada usia muda dan setahun jagung.

Sedang teman-teman sebaya masih lagi sibuk menelaah pelajaran atau hidup tenang dan santai dengan rutin seharian (boleh bermain dan relaks), mereka pula terkejar-kejar dengan persembahan atau undangan menjayakan sesuatu acara.

Kerap kali, mereka perlu menahan rasa bengang sebab dikecam habis-habisan di media sosial.

Apa jadi pada zaman kanak-kanak mereka? Apakah terbuang begitu sahaja?

Saya pernah tanyakan Tok Ti (nama singkatan untuk Siti Nurhaliza) apakah dirinya berasa zaman remajanya terbuang begitu sahaja kerana sibuk membina kerjaya, jawapannya: “Tidak, sebab saya suka apa yang saya buat, iaitu menyanyi dan menghiburkan orang.

“Saya pun boleh belajar daripada pengalaman menyanyi ini.”

Mudah-mudahan, apa yang dilalui Tok Ti dengan cekal ini dapat menjadi pedoman artis-artis muda.

Tak boleh terlalu berbangga dengan pencapaian diri, harus cepat matang tentang dunia hiburan dan usah mengejar populariti semata-mata.

Tak boleh juga lupa nikmat untuk terus jadi kanak-kanak atau belia yang masih dahagakan ilmu.

Banyak bertanya dengan yang tahu dan banyak membaca untuk tambah pengetahuan tentang ehwal semasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg