Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amelia Henderson tidak akan korban kerjaya demi cinta

Sep 1, 2025 | 2:01 PM
Malaysia, Amelia Henderson, hiburan, kerjaya, cinta, pelakon, pengacara, Blood Brothers: Bara Naga
Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson, menumpukan lebih perhatian pada kerjaya dalam bidang hiburan dan tidak tergesa-gesa mengejar hubungan percintaan. - Foto INSTAGRAM AMELIA HENDERSON

Kehidupannya boleh dianggap hampir sempurna – memiliki nama yang dikenali, rupa paras jelita dengan tubuh tinggi lampai, serta kecerdikan akal.

Namun begitu, dalam urusan bercinta, nasib mungkin tidak begitu menyebelahi pengacara, pelakon dan juga peragawati Malaysia, Amelia Thripura Henderson, atau lebih mesra dikenali sebagai Amelia Henderson, 29 tahun.

Wanita berdarah kacukan India dan Scotland ini pernah melalui episod kegagalan rumah tangga bersama jejaka berdarah kerabat dari utara Malaysia, hampir lapan tahun lalu, pada 2018.

Hingga hari ini, belum tampak sebarang petanda bahawa pelakon filem, Blood Brothers: Bara Naga, itu bersedia untuk kembali melangkah ke alam perkahwinan.

Tatkala diajak pihak media berbicara mengenai cinta, pelakon asal Klang, Selangor, itu langsung tidak mengelak, sebaliknya sangat terbuka meluahkan isi hati.

Ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) dalam hiruk-pikuk acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini, terserlah pandangan Amelia tentang cinta yang mungkin berbeza daripada orang lain.

Bicaranya banyak menjurus ke arah kerjaya dan beliau turut berkata tidak mahu terburu-buru dalam mengejar cinta. 

Malah, Amelia mengakui tidak akan sesekali mengorbankan kerjaya demi cinta.

Bukanlah bermaksud dirinya menolak cinta, namun anak sulung dua beradik itu lebih tenang membiarkan segalanya mengalir tanpa sebarang paksaan dan tiba pada waktu yang tepat.

“Bukan belum terbuka hati, tetapi rezeki berjumpa dengan insan yang tepat dalam hidup adalah di luar kawalan saya. 

“Saya serahkan soal itu (percintaan) pada jodoh.

“Apa yang saya lihat, arus hidup saya sekarang lebih terarah pada kerja. 

“Saya tidak mahu memandai-mandai melawan arus kehidupan. Ke mana arus itu bawa, saya akan ikut. 

“Saya takkan sesekali ketepikan kerja semata-mata kerana mahu memberi tumpuan pada perhubungan yang belum pasti.

“Bagi saya perhubungan yang sempurna, takkan ada perbalahan. 

“Saya tak mahu ada perasaan serba salah dengan pasangan setiap kali terpaksa meninggalkannya untuk keluar bekerja,” katanya apabila ditemui BHM, di reruai kelengkapan rumah jenama, Signature, di KLCC.

Amelia yang dilantik sebagai duta Signature, turut menyingkap percintaan yang sihat membuatkan seseorang bahagia, bukan menambahkan lagi masalah atau meletakkan diri dalam dilema.

“Kita akan merasa bahagia, bukannya lebih tertekan apabila bertemu dengan seseorang.

“Saya tak sanggup melihat masa bersama keluarga ditarik semata-mata kerana mahu memberi perhatian pada pasangan. 

“Kalau masih timbul rasa tidak selesa dan dalam dilema, bermakna jodoh itu bukan tertulis untuk kita.

“Saya mahukan seseorang yang memudahkan segala-galanya, tidak kongkong mahupun halang saya untuk bekerja,” ujarnya.

Antara 2015 dengan 2018, Amelia mendirikan rumah tangga dengan Yang Berbahagia Dato’ Indera Haji Tunku Harunnarasheed Putra, yang merupakan anak saudara Sultan Kedah.

Namun begitu, rumah tangga mereka kecundang pada 2018, tanpa kehadiran cahaya mata.

Di samping itu, Amelia juga pernah menjalin hubungan cinta dengan pelakon jejaka, Aedy Ashraf. 

Bagaimanapun, pada 2024, timbul khabar bahawa hubungan cinta antara Amelia dengan Aedy telah terlerai.

Mengulas mengenai kontroversi dalam dunia hiburan, hos audio siar Studio Sembang di laman YouTube itu bersyukur kerana sepanjang hampir dua dekad menceburi dunia seni, nama beliau tidak pernah terkait dengan sebarang kontroversi.

Amelia menegaskan kehadirannya dalam bidang ini adalah untuk bekerja dan bukan untuk mencipta kisah sensasi.

“Saya bersyukur tak pernah terbabit dalam mana-mana kontroversi. 

“Kalau boleh, saya tak nak terbabit dan saya cuba menjauh semana mampu.

“Dari kecil, niat saya ceburi bidang ini adalah untuk menjadi seorang pelakon. 

“Kalau boleh, biarlah lakonan saya yang menyerlah berbanding kontroversi dan semoga saya dijauhkan dari semua itu,” ujar Amelia.

Berkongsi lebih lanjut mengenai kerjaya pula, Amelia mengatakan beliau masih aktif berlakon. 

Mungkin disebabkan wajahnya yang lebih dikenali ramai sebagai pengacara, ada yang menyangka beliau tidak lagi aktif, sedangkan lakonan masih menjadi keutamaannya.

Sepanjang 2025, tiga filem lakonannya menjengah pawagam termasuk, Keluang Man, Blood Brothers: Bara Naga dan Magik Rompak, yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

“Orang mungkin nampak saya banyak di podcast tapi sebenarnya, saya masih lagi aktif berlakon.

“Saya utamakan naskhah yang menarik dan sangat tertarik untuk bekerja dengan orang yang kreatif dan berbakat. 

“Saya mahukan naskhah yang apabila dibaca, seakan dekat di hati.

“Tapi itu bergantung pada rezeki juga, kalau dapat naskhah yang baik itu sudah dikira bernasib baiklah,” kata Amelia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg