Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sedekad jadi ikon muzik anak muda, Insomniacks ingin ‘terbang’ jauh

Kumpulan yang mula dengan lagu ‘cover’ tidak sangka konsert di KL, S’pura laris dijual dalam empat jam
Aug 23, 2025 | 5:30 AM
 Insomniacks, Wan Arif Iskandar, Danial Lee Hashim, Syed Mir Iqbal
Kumpulan Pop Malaysia, Insomniacks, yang terdiri daripada (dari kiri) Wan Arif Iskandar, Danial Lee Hashim dan Syed Mir Iqbal, tidak menjangkakan sambutan hebat bagi dua konsert solo, ‘Insomniacks: Echoes of a Dream’, yang diadakan di Kuala Lumpur dan Singapura. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Pejam celik, 10 tahun sudah berlalu dan siapa pun tidak menjangkakan kumpulan Pop Malaysia, Insomniacks, yang popular dengan lagu, Pulang, dapat bertahan sejauh ini dalam industri muzik dengan lagu mereka yang mencerminkan jiwa anak muda kini.

Kisah Insomniacks bermula daripada mimpi remaja, yang cuba-cuba meniru kumpulan idola dari Australia, 5 Seconds of Summer (5SOS), ketika berusia 16 tahun. 

Sekitar 2015, sekawan remaja sebaya yang terdiri daripada vokalis, Syed Mir Iqbal; pemain bes, Wan Arif Iskandar; pemain gitar, Danial Lee Hashim dan pemain dram, Gavin Wong, sekadar ‘bermain’ di alam maya menerusi rakaman video lagu saduran atau ‘cover song’ yang dimuat naik di laman YouTube.

Siapa sangka, hanya dengan video saduran lagu, Terakhir, nyanyian asal Sufian Suhaimi yang dimuat naik ke YouTube pada 2016, nama mereka terus melonjak ke carta populariti dengan meraih 454,298 tontonan sehingga kini.

Apatah lagi, video muzik lagu ‘cari makan’ Insomniacks iaitu Pulang, yang diterbitkan pada November 2018, kini telah menjana lebih 39 juta tontonan di YouTube serta wadah penstriman digital, Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.

Tahun demi tahun, Insomniacks membuktikan kebolehan mereka bermain pelbagai genre lagu, daripada pop ke pop rok hingga ‘punk rok’.

Sedekad kemudian, daripada angan-angan kecil ingin jadi bintang rok, pada usia 28 tahun kini, Insomniacks yang dianggotai Iqbal, Iskandar dan Danial sejak 2022, berhasil mengotakan impian untuk menguasai pentas megah sambil menghiburkan ribuan penonton, seperti yang pernah diidamkan dulu.

Lebih membanggakan lagi, dua konsert solo, Insomniacks: Echoes of a Dream, yang berlangsung di Kuala Lumpur dan juga Singapura, anjuran SAH Entertainment, laris dijual dalam tempoh empat jam.

Konsert solo pertama, Insomniacks: Echoes of a Dream, diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Julai.

Manakala, di Singapura, konsert yang sama berlangsung di Panggung Capitol pada 16 Ogos.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabat BH di News Centre, Toa Payoh North, pada 15 Ogos lalu, Iskandar mengakui tidak menyangka bahawa sambutan peminat terhadap kededua konsert mereka di Kuala Lumpur mahupun Singapura, akan semeriah itu.

“Ketika di ambang konsert pertama yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, sejujurnya kami berasa gementar.

“Ini merupakan kali pertama kami mengadakan konsert solo. Maka itu, kami juga tidak meletakkan jangkaan tinggi.

“Malah, kami risau, takut tidak ada yang ingin lihat persembahan kami. Apabila konsert di Kuala Lumpur dan juga Singapura laris dijual, kami seolah-olah tidak percaya.

“Di samping itu, kami juga bersyukur kerana menerima ulasan positif selepas tamat konsert di Zepp Kuala Lumpur,” kata Iskandar.

Iskandar turut mengatakan pencapaian bersama anggota Insomniacks lain seakan sukar dipercayai, namun itulah kenyataan yang lahir daripada kerja keras mereka selama ini.

“Perjalanan kami selama sedekad ini (dalam industri muzik) boleh dikatakan perlahan, namun, konsisten. 

“Kami tidak pernah terburu-buru, memaksa diri mengejar sesuatu atau melangkah lebih cepat daripada apa yang kami mampu, sebaliknya memilih untuk menikmati setiap langkah bersama.

“Hasilnya, kami kini dapat merasai kemanisan kejayaan daripada proses perlahan tapi berterusan itu.

“Ketika ini, Insomniacks berada pada tahap yang cukup menyenangkan – malah sangat menyeronokkan,” ujarnya.

Pada masa sama, seiring perjalanan dalam tempoh panjang ini, Iqbal atau lebih mesra disapa Iqie, mengakui dirinya lebih ‘rancak berbual’ berbanding dulu.

Dalam kalangan peminat, Iqie sering dilihat sebagai ‘nonchalant introvert’ atau seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap.

Bagaimanapun, Iqie menggelarkan dirinya sebagai ‘father of the group’, yang biasa menjadi rujukan dan dianggap paling matang atau peneraju utama dalam kumpulan itu.

Menyentuh pula mengenai kerjasama mereka dengan penyanyi Indonesia dan juga Naib Juara Indonesian Idol Musim Ke-12 (2023), Nabila Taqiyyah, melalui lagu Belum Mulai pada 2024, Insomniacks menyifatkan kerjasama ini sebagai peluang mengorak langkah ke pasaran muzik Indonesia.

Hasil kerjasama itu turut memberi kesan positif kepada pengikut media sosial mereka, terutamanya di Instagram, yang meningkat sekitar 1,000 pengikut.

Menariknya lagi, video muzik lagu Belum Mulai berhasil memenangi kategori Video Muzik Tergempak pada Anugerah Gempak Most Wanted 2024.

Ia turut mengatasi empat lagu popular lain termasuk Classic oleh DOLLA; OMK oleh Zubir Khan dan Ezra Kairo; Masing-Masing, kolaborasi antara Ernie Zakri dengan komposer Indonesia, Ade Govinda, dan Puas Sudah, nyanyian Aina Abdul.

“Kami tidak akan meraih anugerah itu sekiranya bukan kerana Nabila dan sokongan padu daripada peminatnya.

“Pengaruh Nabila di media sosial memang sangat kuat – sekali beliau muat naik gambar kami bersama, jumlah pengikut boleh naik sehingga 1,000 orang dengan cepat.

“Kami sangat bersyukur beliau sudi bekerjasama dengan kami, apatah lagi kemunculannya dalam lagu Belum Mulai memang bukan sesuatu yang dirancang. 

“Kebetulan, beliau ada masa lapang dan menyukai lagu yang kami hantarkan, dan dari situlah kerjasama ini tercetus,” kongsi Iskandar.

Apabila ditanya BH mengenai perbezaan sambutan terhadap kumpulan muzik di Indonesia dan Malaysia, mereka mengakui band Indonesia lebih beruntung kerana industri muzik yang lebih luas dan kerap menganjurkan persembahan – dengan beberapa contoh kumpulan seperti Sheila On 7, Ungu, Noah dan d’Masiv, yang masih kekal relevan.

Dalam pada itu, jika diberi peluang memutar waktu, Insomniacks menegaskan bahawa mereka tidak bercadang mengubah strategi pemasaran atau hala tuju muzik mereka, terutamanya setelah menikmati kejayaan yang diraih sepanjang 10 tahun dalam industri muzik.

Sebaliknya, mereka menyarankan dan menasihati band pemula agar terlebih dulu menyesuaikan muzik dengan selera pendengar, membina kelab peminat dan masyarakat yang kukuh, kemudian secara beransur-ansur menonjolkan keunikan identiti muzik masing-masing.

Bagi langkah seterusnya, Insomniacks berharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada band baru, selain sedang menyiapkan projek gandingan suara dengan penyanyi ‘rap’ Malaysia, Yonnyboii.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg