Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmelina ‘asyik’ dalam irama dangdut, nama masih mekar selepas tiga dekad
Bukan sekadar ‘goyangan’, Ratu Dangdut M’sia serlah pembawaan lagu dan identiti kuat sebagai penangan muzik
Amelina ‘asyik’ dalam irama dangdut, nama masih mekar selepas tiga dekad
Lebih tiga dekad namanya cukup sinonim dengan irama dangdut.
Bagaimanapun, siapa sangka genre yang mengangkat nama penyanyi dangdut yang disegani di Malaysia, Amelina, atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin, pada asalnya bukanlah haluan seni yang dirancangnya?
Ketika mula menceburi dunia seni sekitar 1993, Amelina, kini 52 tahun, hanya mempunyai satu impian, iaitu untuk bergelar penyanyi.
Dangdut pula hadir atas cadangan komposer yang mahu menguji penerimaan pendengar terlebih dahulu, sebelum memberinya peluang merakamkan karya berentak pop sekiranya percubaan itu tidak ‘menjadi’.
Namun begitu, percaturan tersebut membawa Amelina ke arah yang sama sekali berbeza apabila lagu dangdut nyanyiannya mendapat sambutan dan kekal membentuk identiti seninya sehingga kini.
“Awal-awal tu memang saya berminat nak jadi penyanyi.
“Tapi tiba-tiba komposer yang nak jadikan saya penyanyi berkata, ‘Okey, irama dangdut dulu.’
“Ini dengan harapan, kalau sekiranya lagu dangdut tak laku, barulah saya boleh buat single atau album pop.
“Tapi alhamdulillah, ‘meletup’ pula,” selorohnya ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi Zoom baru-baru ini.
Wawancara ini diadakan di ambang acara kenal suai Amelina iaitu, Malam Dangdut Menyanyi Bersama Amelina, anjuran bersama Verona Henderson dan AshClusive.
Ia akan berlangsung pada 10 Oktober di Verona Ballroom, sekitar 102 Henderson Road, bermula 5 petang.
Komposer yang membuka jalan buat Amelina dalam irama dangdut ketika itu ialah Allahyarham Ruslan Mamat, yang telah kembali ke rahmatullah pada 19 November 2020 akibat serangan jantung.
Ibu enam anak berusia antara 17 dengan 25 tahun itu, mencipta nama pada era 1990-an menerusi album sulungnya, Amelina, yang diterbitkan pada 1994 dan terjual lebih 200,000 unit.
Setahun kemudian, album keduanya, Asyik, turut meraih sambutan memberangsangkan dengan jualan mencecah 250,000 unit.
Dangdut bukan sekadar ‘goyang badan’
Sepanjang membawa irama dangdut, Amelina akur genre itu ada kalanya dipandang serong kerana lirik yang dianggap kurang sopan serta gaya persembahan dan gerak tari yang lebih berani.
Namun, bagi pelantun Memori Daun Pisang dan Semakin Rindu Semakin Asyik itu, dangdut tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan penampilan tersebut.
Sebaliknya, pembawaan sesebuah lagu banyak bergantung pada bagaimana lirik ditulis dan cara penyanyi memilih untuk menyampaikan karya berkenaan.
“Bagi saya, muzik dangdut sebenarnya sangat unik. Muzik, melodi dan lirik perlu bergerak seiring untuk menghasilkan lagu yang baik.
“Kadang-kadang kalau lirik yang ditulis kurang enak didengar, orang akan mula menganggap dangdut ini ‘kotor’.
“Begitu juga dengan cara penyanyi itu sendiri menyampaikan lagu dangdut. Dangdut memang ada ‘groove’ (kesinambungan melodi yang sedap didengar).
“Bila kita dengar, memang rasa nak bergoyang, tetapi terpulang kepada artis itu sendiri bagaimana dia mahu mengekspresikannya.
“Macam saya, saya tidak terlalu banyak menggunakan pergerakan. Saya lebih cuba menyampaikan kisah dan cerita yang terkandung dalam lagu itu.
“Itu sudah mencukupi,” ujarnya, yang juga pemenang tempat keempat bagi peraduan realiti, Gegar Vaganza 5 (GV5), pada 2018.
Gelaran ‘Ratu Dangdut Malaysia’ terus melekat
Amelina tidak menafikan pernah mencuba meneroka genre muzik lain sebelum ini.
Namun, jati dirinya sebagai Ratu Dangdut Malaysia sudah begitu kuat sehingga sukar untuk peminat melihatnya dalam genre berbeza.
“Selepas menyertai GV5, saya pernah menghasilkan sebuah lagu balada berjudul, Ada Untukmu.
“Tapi apabila menyanyikannya, saya rasa seperti ada sesuatu yang hilang.
“Ketika bertanding, situasinya berbeza kerana kita mencabar diri untuk menunjukkan kemampuan membawakan genre lain.
“Namun, apabila saya menyanyikan balada sebagai karya sendiri, saya rasa ia tidak mempunyai keistimewaan yang cukup untuk menarik perhatian pendengar.
“Mungkin kerana orang sudah terlalu mengenali saya sebagai Amelina yang sinonim dengan lagu-lagu dangdut.
“Kalau saya bukan Amelina, mungkin penerimaannya berbeza,” katanya, yang tampil dengan lagu dangdut terbaharu, Sayang Memang Sayang, yang dilancarkan pada 18 Julai.
Lagu yang berkisarkan kerinduan dan penantian terhadap seseorang yang diharapkan dapat membalas perasaan cinta itu merupakan hasil ciptaan Amelina sendiri, termasuk penulisan liriknya.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, video muzik bagi lagu berkenaan telah meraih sebanyak 476,839 tontonan di laman YouTube.
Ia turut menjana sekitar 27,273 penstriman di Spotify.
Pelapis irama dangdut ada, namun pendedahan kurang
Di samping itu, Amelina menyangkal dakwaan industri muzik Malaysia kekurangan pelapis penyanyi dangdut, sebaliknya percaya ramai bakat muda masih belum mendapat pendedahan sewajarnya.
“Pelapis penyanyi dangdut sebenarnya ramai seperti Farez Adnan, Beby Acha dan Baby Shima.
“Bahkan, mereka mempunyai single sendiri.
“Cuma mungkin kurang mendapat perhatian media dan ruang di radio, selain persaingan genre muzik lain yang menyebabkan dangdut sedikit ke belakang.
“Mereka perlukan lebih banyak wadah untuk mengetengahkan bakat dan karya,” jelas penyanyi asal Negeri Sembilan itu.
Bagi Amelina, generasi baharu juga perlu bijak mencorakkan identiti dan persembahan sendiri agar irama dangdut terus menyerlah serta tidak terus-menerus dipandang sebelah mata.
Apatah lagi, genre itu kini turut melalui perkembangan tersendiri menerusi kemunculan ‘hipdut’, yang menggabungkan genre hip-hop dan dangdut, sekali gus memberi sentuhan segar kepada irama tersebut.
“Dangdut sering dipandang rendah dan seolah-olah dianaktirikan, tetapi sebenarnya terpulang kepada kita bagaimana mahu mengangkat genre ini supaya dilihat lebih berkelas.
“Tidak perlu terlalu memaksa diri untuk meraih perhatian. Yang penting ialah lagu, cara penyampaian dan bagaimana mereka mencorakkan identiti sendiri,” kata Amelina.
“
“Dangdut sering dipandang rendah dan seolah-olah dianaktirikan, tetapi sebenarnya terpulang kepada kita bagaimana mahu mengangkat genre ini supaya dilihat lebih berkelas...Tidak perlu terlalu memaksa diri untuk meraih perhatian. Yang penting ialah lagu, cara penyampaian dan bagaimana mereka mencorakkan identiti sendiri.”