Selama beberapa tahun, penyanyi tanah air, Ryzall Noh, 45 tahun, cuba ‘mencari diri’ dalam dunia muzik.

Malah, beliau pernah sering rasa ‘kesepian’ dalam pada ingin membangunkan semula nama dan kerjaya muziknya.

Apatah lagi setelah pemergian dua sahabatnya daripada kugiran Audionauts pada 2014 dan 2018, yang membuatkannya hilang daripada dunia muzik.

“Saya berada dalam tempat yang ‘gelap’ dan ‘keseorangan’.

“Selepas Audionauts menyepi, saya hilang seketika.

“Kemudian, saya kembali semula dalam dunia muzik sebagai diri saya sendiri tanpa mana-mana syarikat rakaman untuk mencipta nama baharu dengan identiti yang berbeza daripada Audionauts.

“Namun, perjalanan itu agak sunyi dan saya perlu melaluinya bersendirian. Penerimaan orang ramai terhadap lagu baharu saya ketika itu juga berbeza.

“Ada yang menyangka saya mengalami kemurungan kerana lagu-lagu baharu saya berbeza dan dianggap ‘tidak kena’ berbanding karya-karya saya ketika bersama Audionauts,” ujar Ryzall.

Namun, dengan semangat baharu, Ryzall meneroka peluang untuk bekerjasama dengan beberapa teman dari seberang di Malaysia.

Antaranya ialah Hairul Anuar Harun, penulis lirik bagi lagu tradisional popular seperti Cindai, nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Apabila nak mencipta lagu ini, saya inginkan lirik yang gah dan dituju bukan hanya kepada pendengar Singapura sahaja.

“Jadi, saya dengan tanpa malunya, meminta Abang Hairul Anuar Harun untuk menuliskan saya lirik untuk karya saya dan beliau pun setuju.

“Pada keesokan harinya juga, beliau sudah siap tuliskan lirik tersebut.

Lagu ‘Darwish’ turut berjaya menembusi ruangan udara radio di beberapa negara Latin Amerika seperti Brazil dan Venezuela.
Lagu ‘Darwish’ turut berjaya menembusi ruangan udara radio di beberapa negara Latin Amerika seperti Brazil dan Venezuela. - Foto SEVENTEEN ELEVEN MUSIC

Lagu Darwish itu bukan sahaja mekar di Malaysia, malah berkembang dan mewangi juga di Latin Amerika.

Ryzall mendapati lagu tersebut yang dihasilkan pada 2024, telah menembusi ruangan udara radio di beberapa negara Latin Amerika seperti Brazil dan Venezuela.

Maka terlahirlah lagu Darwish yang diinspirasikan daripada kisah Sidang Burung, karya penyair Parsi, Farid ud-Din Attar,” kata beliau

Menurutnya, lagu Darwish telah didengari oleh seorang deejay Brazil sewaktu sesi proses rakaman dijalankan.

Terpesona dengan irama lagu Darwish, deejay tersebut kemudian langsung meminta agar lagu itu dihantar kepadanya apabila sudah siap, untuk dimainkan di radio Latin Amerika.

“Itu merupakan satu pencapaian yang baik untuk saya apabila lagu saya telah sampai ke peringkat antarabangsa di luar rantau kita,” kata beliau.

Menerusi lagu Darwish itu juga, Ryzall telah memenangi tempat kedua (Hadiah Perak) bagi Kategori Vokalis Terbaik Anugerah Muzik Voice International (Vima).

Rezeki datang bergolek tanpa diduga, lagu terkininya, Natijah Cinta, juga mencapai kejayaan membanggakan.

Baru-baru ini, lagu tersebut dipaparkan pada papan iklan digital di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), sekali gus menjadikan beliau penyanyi pertama dari Singapura yang ditampilkan di papan iklan berkenaan.

Tatkala melihat dirinya dan lagu, Natijah Cinta, tersergam gah di tengah-tengah kota Kuala Lumpur, perasaan sedih mula menjentik jiwa Ryzall.

Berkongsi reaksinya sambil menahan sebak, Ryzall yang sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak lelaki berkata:

“Perasaan pertama saya apabila melihat lagu saya dipaparkan pada ‘billboard’ di KLCC tepat pada 8 malam, saya tidak terus rasa gembira tetapi saya rasa sedih.

“Sedih apabila mengenang penat lelah yang saya lalui semata-mata kerana minat yang mendalam terhadap muzik.

“Saya tidak jangkakan lagu saya mendapat tempat di Malaysia seperti tahap sebegini.

“Saya rasa bangga kerana dapat mengibarkan bendera Singapura di luar negara melalui karya muzik saya.”

Lagu, Natijah Cinta, dihasilkan oleh Ryzall bersama seorang penggubah lagu Singapura iaitu Yazri Malik.

Walaupun lagu dan nama beliau kini kian naik di Malaysia, beliau tetap rasa berat hati untuk terus berkembang di negara jiran.

Apabila ditanya sama ada beliau terbuka untuk menyertai rancangan seperti Gegar Vaganza bagi meningkatkan lagi kerjaya muziknya, Ryzall berkata sekarang belum sampai masanya.

“Saya nak sahaja terus menembusi pasaran di Malaysia, mencipta karya di sana dan pastinya menyertai rancangan seperti Gegar Vaganza.

“Namun, saya belum cukup cemerlang di kampung saya sendiri iaitu Singapura untuk melakar nama di seberang.

“Pendengar Malaysia pun masih ramai yang belum mengenali saya.

“Jadi pada ketika ini mungkin belum masanya, kerana saya pun masih lagi ingin mencari keistimewaan khusus atau niche dalam diri saya,” kata beliau.

“Selepas Audionauts menyepi, saya hilang seketika. Kemudian, saya kembali semula dalam dunia muzik sebagai diri saya sendiri tanpa mana-mana syarikat rakaman untuk mencipta nama baharu dengan identiti yang berbeza daripada Audionauts. Namun, perjalanan itu agak sunyi dan saya perlu melaluinya bersendirian. Penerimaan orang ramai terhadap lagu baharu saya ketika itu juga berbeza.”
Ryzall Noh.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti