Amir Jahari bangkit semula selepas harungi kehidupan penuh haru-biru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amir Jahari bangkit semula selepas harungi kehidupan penuh haru-biru

Penyanyi lagu ‘Hasrat’ cari wang saku hasil persembahan di jalanan
Dec 29, 2025 | 6:29 PM

Amir Jahari bangkit semula selepas harungi kehidupan penuh haru-biru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
amir jahari
Penyanyi dan bekas peserta, Akademi Fantasia Musim Kesembilan, Amir Jahari, akur terkena ‘gangguan’ dan percaya ia punca rezekinya tersekat. - Foto INSTAGRAM AMIR JAHARI MUZIK

Bak ungkapan, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, begitulah gambaran permulaan kembara seni penyanyi Malaysia, Amir Jahari, ketika menyertai program realiti, Akademi Fantasia Musim Kesembilan (AF9) pada 2011.

Amir atau nama sebenarnya, Mohamad Amirullah Jahari, 33 tahun, tidak pernah berhasrat mencuba nasib dalam program realiti nyanyian kegilaan ramai itu. 

Malah, beliau sebenarnya hampir tidak menghadiri sesi uji bakat.

Penggubah lagu dan penyanyi asal Kuching, Sarawak, itu sekadar hadir menemankan seorang teman baiknya, yang dipanggil Wan.

“Pada pagi uji bakat itu, saya sedang sibuk membersihkan halaman kediaman kami dan buat kerja rumah. 

“Saya lihat Abang Wan bersiap-siap segak sebelum dia mengajak saya menemaninya ke uji bakat AF9.

“Saya tolak dua kali ajakannya, namun beralah kali ketiga dengan permintaan untuk menemani dia. 

“Adab hormat yang lebih tua, saya akur dan ikut saja,” kata Amir dalam laman web, Harian Metro.

Penyanyi lagu Hasrat itu akhirnya ‘terjebak’ juga mencuba nasib apabila sudah alang-alang berada di lokasi uji bakat AF9.

Lebih mengejutkan lagi, rupanya rezeki menyebelahi Amir sehingga berjaya melewati semua pusingan.

“Tidak sangka, Abang Wan pula yang tidak lepas dan saya berjaya kesemua pusingan. 

“Memang sampai lewat malam kena tunggu semua proses selesai dan hanya bertemankan kru penerbitan di sana,” katanya.

Selain Amir, AF9 turut disertai barisan penyanyi seperti Hazama, Ayda Jebat, Nera, Erul Samah, Fina Jebat, Kay, Afif, Raqib, Lena Haidir, Azri, Mika, Eka, dan Laika. 

Bagaimanapun, Amir tersingkir pada minggu ketiga bersama penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat.

Sisi kehidupan peribadi Amir bukanlah seindah orang lain, sebelum dan selepas AF9. 

Selama satu setengah tahun, beliau menetap di rumah wakaf Zawiyah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau yang menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ketika itu, terpaksa mencari tempat berteduh sewaktu cuti semester. 

Mujurlah, Wan yang menawarkan beliau tinggal di rumah wakaf Zawiyah.

Tidak berkemampuan menyewa bilik di mana-mana, Amir tidak berfikir panjang untuk menerima pelawaan itu. 

Seboleh-bolehnya, beliau berusaha berdikari tanpa bergantung dengan keluarga di kampung halaman.

“Nak balik Sarawak, saya memang tiada duit beli tiket penerbangan dan enggan menyusahkan orang tua. 

“Mujur teringat Abang Wan yang memang sudah cakap awal-awal, apa-apa pun cari dia.

“Saya memang tak sangka rupanya tempat tinggal itu ialah rumah wakaf. 

“Alhamdulillah, ramai juga orang Sarawak yang menumpang di sana selain warga negara asing seperti dari Pakistan. Jadi, tidaklah rasa janggal,” cerita Amir.

Di sebalik itu, Amir bersyukur ada hikmahnya juga beliau tinggal di situ kerana hari-harinya diisi dengan banyak kegiatan kerohanian atau tarekat. 

Baginya, rumah itulah yang menjadi saksi permulaan hidupnya mengorak langkah sebagai anak seni.

Pada masa sama, anak keempat dalam keluarga enam beradik itu, turut mencari wang saku sebagai penghibur jalanan atau ‘busking’, di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur. 

Rutinnya sebagai pemuzik jalanan bermula dari 5 petang hingga 5 pagi.

Bagaimanapun, pemenang Anugerah Juara Lagu 38 (AJL 38) itu bukan saja menempuh pengalaman ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, malah diuji masalah kesihatan mental yang memberi kesan kepada keluarganya.

Bermula 2018, Amir memutuskan bergerak sendiri tanpa pengurus kerana mahu berdikari, selain berniat mencabar diri untuk memulakan hala tuju baru, baik dalam hidup mahupun kerjaya.

“Saya ‘berpisah’ dengan pengurus dengan hasrat mahu memulakan lembaran baru dalam karier seni. Tapi ternyata, ia agak susah kerana saya tidak kenal ramai orang dalam industri.

“Perlahan-lahan, saya minta pertolongan kenalan untuk mula hasilkan album kedua pada 2018. 

“Saya akui memang kehilangan arah kerana sebelum itu, segalanya bekas pengurus yang buat,” ujar Amir.

Perjalanannya yang tidak indah dek pendapatan tidak menentu sekali gus fikiran kacau dan hidup haru-biru, akhirnya memaksa Amir kembali sebagai pemuzik jalanan demi sesuap nasi.

“Sebelum mula membuat album kedua, setahun juga saya tiada persembahan. 

“Ketika itu memang saya tersepit dengan hutang banyak, tambahan lagi sudah ada anak pertama dan nak beli lampin pun tiada duit.

“Selepas keluar pengurusan, saya kembali ‘busking’ di sekitar Kuala Lumpur dan hasil pendapatan dapatlah beli keperluan. 

“Keadaan hidup memang susah sampai akaun tiada duit dan beli beras pun guna duit syiling,” kata Amir.

Amir mendedahkan sekitar tempoh itu juga kesihatan mentalnya semakin merosot.

Perkara itu pun pernah dikongsinya sebelum ini, sehingga perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Namun begitu, sebelum Aidilfitri 2025, beliau mendapat tahu punca pintu rezekinya tertutup.

Ia dipercayai ekoran ‘gangguan’ daripada pihak yang kurang senang dengannya sejak 2013.

Menurut Amir, bantuan yang diterima untuk menangani masalah itu banyak menyelamatkannya terutama daripada segi rezeki sehingga kembali dapat rasakan banyak kesenangan kala ini.

“Tolak tepi rezeki kemenangan di AJL, kalau ikutkan selepas Mei tahun ini (2025), barulah saya dapat rasa pintu rezeki semakin luas. 

“Atas bantuan ustaz itulah, kini keadaan saya jadi lebih baik.

“Alhamdulillah, saya dapat bertahan dan bangkit daripada segala perkara itu,” kata Amir penuh syukur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg