Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmir Raja Lawak alami masalah pernafasan, masih dipantau rapi di ICU
Amir Raja Lawak alami masalah pernafasan, masih dipantau rapi di ICU
Pelawak Malaysia, Amir Raja Lawak, yang kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, sejak 10 November, bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
Pembantu peribadinya, Muhammad Faris Che Ali, berkata keadaan kesihatan Amir ketika ini dilaporkan stabil dan tidak ditidurkan seperti khabar angin yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37 tahun, dimasukkan ke ICU kira-kira jam 11.30 malam berikutan keadaannya memerlukan pemantauan rapi.
“Amir dimasukkan ke hospital sejak Jumaat lalu (6 Nov), selepas mengalami masalah kesihatan akibat penyakit asma yang dihidapinya sejak kecil.
“Beliau tidak boleh terdedah kepada keadaan terlalu sejuk. Malah, beberapa hari sebelum itu, Amir mengalami demam dan saya membawanya untuk mendapatkan rawatan di klinik,” katanya, dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut Faris, Amir sepatutnya dimasukkan ke wad pada 5 November, namun menolak kerana mempunyai komitmen sebagai pengacara majlis di Terengganu meskipun keadaan kesihatannya belum pulih sepenuhnya.
“Ketika ini, Amir masih bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen dan ditempatkan di ICU untuk pemantauan rapi pihak hospital, namun keadaannya stabil,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Faris memohon orang ramai khususnya peminat agar terus mendoakan kesembuhan Amir supaya kembali sihat seperti sediakala.
Pada masa sama, beliau turut berharap orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan berhubung keadaan kesihatan pelawak berkenaan.
“Doakan Amir kembali sihat seperti sediakala.
“Jangan tularkan perkara yang bukan-bukan atau menyebarkan cerita yang tidak sahih,” kata Faris.
Amir mula menceburi bidang seni pada 2009 menerusi pertandingan realiti, Raja Lawak Astro (Musim Ketiga) dan pernah membintangi drama popular, Ops Cinta Din Sardin serta menjadi pengacara bagi rancangan komedi, Super Spontan.