Anak sulung penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob iaitu, Ahmad Fariedz Shah, meluahkan rasa gembira dan merestui hubungan bapanya dengan usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, susulan lamaran yang dibuat pada 10 November.

Menurut Ahmad Fariedz, 17 tahun, beliau dan anak ketiga Vida yang dikenali sebagai Cik B, menerima hubungan tersebut dengan baik dan berharap kededua ibu bapa mereka menemui kebahagiaan.

“Saya secara keseluruhan sangat gembira dan berpuas hati sebab saya mahu Dida (panggilan buat Fazley) dan Mama Vida (Vida) bahagia.

“Malah paling penting, saya bersama Cik B pun terima (hubungan ini),” katanya di laman Berita Harian Malaysia (BHM).

Menurut Fariedz, beliau sudah terlebih dahulu mengetahui perancangan bapanya bagi membuat lamaran itu sebelum ia dilaksanakan.

“Saya dah tahu sekitar tiga minggu lalu pada peringkat awal perkara itu dirancang.

“Dida ada bagi tahu saya, beliau terfikir nak melamar Mama Vida dan ada tanya pendapat saya.

“Secara keseluruhannya, proses itu mengambil masa kira-kira sebulan.

“Adik-adik saya pun tahu, cuma Dida minta kami semua rahsiakan perkara ini daripada orang lain,” katanya ketika ditemui di Konsert Live 11.11 Mega Shock di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Malaysia, pada 10 November.

Kejutan istimewa bernilai RM500,000 ($157,367) yang berlangsung dalam sebuah konsert dan disiarkan menerusi TikTok Live itu turut menyaksikan Fazley, 48 tahun, menghadiahkan cincin eksklusif berbentuk tiara kepada Vida, 55 tahun, selain membabitkan anak-anak kededua belah pihak dalam detik penuh bermakna tersebut.

Lebih istimewa, persembahan 1,200 dron berkenaan membentuk mesej “Nak Duduk Ipoh ke KL?”, manakala Fazley turut menyampaikan dua lagu, termasuk Di Alam Fana Cinta yang menjadi antara lagu kegemaran Vida.

Mengulas mengenai keperibadian Vida, Fariedz menyifatkan usahawan itu mempunyai ciri-ciri wanita idaman bapanya.

“Saya boleh nampak Mama Vida memang memberi banyak kasih sayang kepada Dida.

“Saya juga nampak pegangan agamanya kuat, sangat manja, baik hati, dan pemurah.

“Itu memang kriteria wanita idaman Dida,” ujarnya, yang turut mempunyai tiga lagi adik-beradik berusia antara 16 dengan sembilan tahun.

Pada masa sama, Fariedz turut meluahkan rasa teruja apabila bakal menerima kehadiran anak Vida iaitu Cik B, atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21 tahun; dan Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin, atau lebih mesra disapa Kacak, 19 tahun, sebagai ahli keluarga baharu.

“Saya ini anak sulung. Seumur hidup, saya tak pernah ada kakak atau abang untuk saya jadikan sebagai tempat bergantung dan saya perlu menjaga adik-adik saya.

“Tetapi sekarang dengan adanya Cik B dan Kacak, saya boleh rasa tenang sikit. Saya boleh dapat pendapat daripada seorang abang dan kakak.

“Saya rasa sedikit lega dan sangat gembira kerana ada ramai orang di rumah untuk bergembira bersama,” katanya sambil mendoakan agar segala urusan bapanya itu dipermudahkan.

Sementara itu, Cik B mengakui cara Fazley menjaga Vida jauh berbeza daripada layanan pasangan lain sehingga membuatkan beliau sukar mencari alasan untuk menolak kehadiran lelaki itu dalam keluarga mereka.

“Sejujurnya, saya seorang yang mempunyai masalah kepercayaan.

“Dida memang baik, tetapi saya yang bermasalah. Saya sendiri pun tidak tahu kenapa.

“Biasalah, mungkin sebab darah muda, tetapi saya tidak boleh salahkan faktor itu juga.

“Asalkan Mama (panggilan buat Vida) bahagia, saya pun bahagia. Sejujurnya, saya memang mencari salah silap Dida untuk membuktikan kepada Mama supaya tidak mengahwininya.

“Namun, Dida terlalu sempurna. Maksud saya, susah hendak mencari salah silapnya, terutama apabila melihat cara beliau menjaga dan melayan Mama,” katanya.

Mengakui bukan mudah menerima kehadiran lelaki baharu dalam kehidupan ibunya, Cik B berkata, dia memerlukan masa untuk berdamai dengan perasaan sendiri sebelum akhirnya memberikan restu terhadap hubungan berkenaan.

Bagaimanapun, kebahagiaan Vida menjadi keutamaan sehingga membuatkan Cik B sedar ibunya juga berhak memiliki teman hidup yang mampu memberikan perhatian serta kasih sayang.

“Walaupun sebelum ini saya bergelut dengan perasaan sendiri mengenai situasi keluarga, asalkan Mama bahagia, saya pun bahagia.

“Semua orang perlukan pasangan dalam hidup masing-masing,” singkap Cik B.