Pelakon veteran Bollywood, Amitabh Bachchan, tetap meneruskan kegiatan mingguannya dengan menyapa peminat di luar kediamannya di Mumbai, India, pada 1 November.

Bagaimanapun, kali ini, pelakon berusia 83 tahun itu menyapa peminat di sebalik pengadang kaca kalis peluru susulan kawalan keselamatan yang diperketat selepas menerima laporan mengenai ancaman bom.

Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan Amitabh melambai ke arah peminat dari sebuah platform tinggi yang dilengkapi pengadang keselamatan lutsinar.

Anaknya, yang juga pelakon, Abhishek, 50 tahun, turut menemaninya, manakala beberapa anggota keselamatan dilihat mengawal di kawasan berhampiran.

Langkah kawalan keselamatan diperketatkan itu dibuat susulan laporan mengenai e-mel berunsur ugutan yang diterima polis Mumbai baru-baru ini, lapor Gulf News.

Menurut laporan media, e-mel tersebut dihantar ke sebuah sekolah di kawasan Kompleks Bandra-Kurla, Mumbai.

Mesej berkenaan dilaporkan menyebut kediaman Amitabh, Jalsa, yang merupakan banglo dua tingkat, serta menamakan 31 Oktober dan 27 November sebagai tarikh kemungkinan serangan dilakukan.

E-mel itu turut menyebut nama penyanyi dan pelakon terkenal India, Diljit Dosanjh, 42 tahun, berhubung dakwaan ancaman di Mahalaxmi Racecourse di Mumbai pada 27 November.

E-mel tersebut dilaporkan mengandungi cogan kata yang menyokong gerakan Khalistan dan ditandatangani kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Kebangsaan Khalistan.

Polis telah memulakan siasatan selepas menerima maklumat mengenai ugutan tersebut.

Bagaimanapun, menurut laporan, penyebutan nama Diljit dalam e-mel itu tidak bermakna penyanyi berkenaan menerima ancaman secara langsung.

Sebelum ini, Amitabh dilaporkan mengalami kecederaan lutut selepas tergelincir dan terjatuh ketika menjalani penggambaran program, Kaun Banega Crorepati 18.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kecederaan itu tidak serius.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan