Topik diikuti
Pergi ke BHkuTopi dikait arwah ibu jadi pengubat rindu Syafiq Kyle
Topi dikait arwah ibu jadi pengubat rindu Syafiq Kyle
Penemuan topi kecil yang dikait ibu tercinta, Allahyarhamha Rohaya Sulaiman, menjadi kenangan cukup bermakna buat pelakon Malaysia, Syafiq Kyle.
Syafiq, atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 34 tahun, berkata kegiatan mengait adalah antara cara arwah ibunya mengisi masa berehat di dalam bilik berikutan keadaan kesihatan yang semakin merosot.
Ibu Syafiq meninggal dunia akibat barah paru-paru tahap empat pada 17 Oktober.
Pelakon filem, Sheriff: Narko Integriti, itu tidak menyangka hasil kerja tangan ibunya akhirnya menjadi antara peninggalan paling berharga yang mengingatkannya kepada arwah.
“Kira-kira dua bulan sebelum pemergiannya, ibu banyak menghabiskan masa dalam bilik kerana keadaan kesihatannya tidak begitu baik.
“Ibu tidak banyak bergerak, jadi mengait menjadi antara kegiatan yang dilakukannya.
“Selepas ibu meninggal dunia, saya ternampak topi kecil yang sudah siap dikait olehnya,” kata Syafiq, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui BHM pada sesi temu bual bersama pengarah dan pelakon filem, Baga: Esok Untuk Siapa, di Balai Berita, Bangsa, Malaysia.
Syafiq bertindak selaku penerbit eksekutif filem itu.
Filem, Baga: Esok Untuk Siapa, merupakan filem bergenre jenayah dan drama, yang mengangkat isu kemiskinan, penyalahgunaan dadah, cinta dan pilihan hidup.
Filem arahan Ariff Zulkarnain itu mengisahkan Jani (lakonan Amir Ahnaf) dan Melur (Amirah Razak), sepasang kekasih, yang mahu mengubah nasib mereka.
Namun, kehamilan yang tidak dirancang menyebabkan Jani terdesak sehingga terjebak dalam perdagangan dadah demi menjamin masa depan mereka.
Berkongsi bagaimana arwah ibunya mula meminati kegiatan mengait, Syafiq berkata ia tercetus selepas isterinya, Mimi Lana, 30 tahun, yang juga pelakon, mendapat tahu arwah pernah menghasilkan pakaian kanak-kanak ketika Syafiq masih kecil.
Mimi kemudian mengambil inisiatif menghadiahkan set peralatan mengait kepada arwah ibu mentuanya itu bagi membolehkannya kembali melakukan kegiatan berkenaan.
“Tiga bulan sebelum ibu meninggal dunia, isteri saya pernah bertanya kepadanya sama ada beliau mahir mengait.
“Ibu beritahu pernah mengait pakaian untuk anak-anak ketika kami masih kecil.
“Jadi, isteri saya belikan set peralatan mengait untuk diberi kepada ibu,” tambahnya.
Bagi Syafiq, pengalaman itu turut membuka ruang untuknya merenung kembali impian yang mungkin pernah disimpan arwah ibunya, namun, terpaksa diketepikan demi tanggungjawab membesarkan keluarga.
“Pengalaman itu membuatkan saya sedar kita perlu terus mengejar impian, tidak kira sekecil mana sekalipun impian tersebut.
“Setiap ibu juga pasti ada impian.
“Kadang-kadang, apabila mereka melahirkan dan membesarkan anak-anak, mereka terpaksa berhenti mengejar impian sendiri.
“Jadi, bagi mereka yang masih mempunyai ibu, tanyalah tentang impian yang ingin dicapai.
“Kalau boleh, cubalah bantu mereka mencapai impian itu,” pesannya.
Beliau turut mengakui masih merindui arwah ibunya yang gemar berbual, namun reda dengan pemergiannya dan percaya setiap kehilangan mempunyai hikmah tersendiri.
“Banyak perkara yang saya rindukan tentang ibu. Ibu saya seorang yang sangat suka bercakap.
“Mungkin Allah akan menggantikan kesunyian itu dengan menghadirkan orang-orang yang juga suka bercakap di sekeliling saya.
“Saya faham dan menerima keadaan itu. Apa pun yang berlaku, saya reda dengan pemergian ibu.
“Saya percaya ada banyak hikmah di sebalik pemergiannya.
“Keberkatan seorang ibu dalam keluarga sangat besar,” kata Syafiq.
Filem, Baga: Esok Untuk Siapa, akan ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia, mulai 5 November.