Perjalanan seni penyanyi dan komposer Singapura, Amni Musfirah, diwarnai pelbagai cabaran sebelum beliau berjaya menempa nama dalam industri muzik.

Apatah lagi ketika pandemik Covid-19 apabila peluang dalam industri seni semakin terbatas sehingga Amni, atau nama sebenarnya, Amni Musfirah Abdul Rashid, 32 tahun, hanya meraih pendapatan sekitar $200 setahun.

Namun begitu, kesempitan itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya mendorong beliau membina jenama seninya dari bawah.

“Ada masa di mana saya tak makan, atau tidak meraih untung yang banyak.

“Saya masih ingat, ketika pandemik Covid-19 melanda, pendapatan saya sepanjang setahun hanya sekitar $200,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).

Wawancara ini diadakan sempena penglibatan Amni dalam acara mengumpul dana bagi golongan memerlukan iaitu, Malam Cabaran Presiden 2026, pada 25 Oktober lalu.

Melihat kesukaran yang dihadapinya, Amni akur bapanya, Encik Abdul Rashid Ahmad, 64 tahun, mula bimbang akan masa depan kerjaya seninya, ketika itu.

“Ayah beri saya masa enam bulan untuk memikirkan langkah seterusnya.

“Saya terkejut kerana ketika itu, Singapura pun belum dibuka sepenuhnya akibat pandemik.

“Tetapi ayah bertegas saya perlu mencari jalan sendiri.

“Beliau juga mengingatkan saya Singapura mempunyai reputasi yang baik di mata dunia, jadi mengapa tidak mencuba peluang di luar negara?” cerita Amni.

Berbekalkan nasihat itu, pelantun lagu Kembali dan Bisik Cintamu, itu mula meneroka peluang dalam industri kreatif serantau.

“Saya pernah membuat animasi untuk salah satu penerbitan di Malaysia.

“Malah, saya juga pernah menerima tawaran menghasilkan lagu dalam bahasa Mandarin, walaupun saya langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa itu.

“Tetapi saya tetap menyahut cabaran tersebut kerana perlu mencari rezeki, di samping mahu memperluas pengalaman seni sendiri,” singkap Amni, yang kini memiliki syarikat penerbitan muzik, Blue Empire Entertainment.

Baru-baru ini, Amni melakar satu pencapaian bermakna apabila buat julung-julung kalinya meraih pengiktirafan di Anugerah Industri Muzik 25 (AIM25) menerusi lagu ciptaannya, Cenderamaya, dendangan Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pada September lalu.

Beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik.

Amni akur tidak menyangka lagu Cenderamaya, hasil ciptaannya dengan dua lagi rakan penulis lagu iaitu Jamilah Abu Bakar, 31 tahun; dan Irena Taib, 34 tahun, mampu meraih pengiktirafan tersebut.

Majlis penyampaian anugerah itu berlangsung pada 26 September, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak.

Persahabatan tiga serangkai itu terjalin sewaktu mereka menuntut di Kolej Muzik Berklee, Amerika Syarikat, antara 2013 dengan 2017.

“Kami memang tidak menjangkakan apa-apa. Apabila dijemput ke majlis pengumuman pencalonan pun, kami fikir hanya datang untuk meraikan sahaja.

“Apabila nama lagu Cenderamaya diumumkan sebagai pemenang, kami sangat terkejut.

“Sampai sekarang, saya masih rasa sukar untuk percaya semua ini berlaku.

“Sejak kecil, kami memang menyimpan impian untuk menghasilkan lagu buat Datuk Siti.

“Jadi, apabila impian itu bukan sahaja menjadi kenyataan, malah menerima pengiktirafan, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Datuk Siti kerana memberi kami peluang ini,” ujarnya.

Lagu itu merupakan antara 10 karya dalam arkib ciptaan mereka yang dihasilkan khusus buat Siti, sekali gus berjaya menambat hatinya.

Sementara itu, kejayaan tersebut turut membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni Amni, yang selama ini lebih dekat dengan muzik pop dan R&B, berbanding irama tradisional.

Mengakui tidak mempunyai latar belakang mendalam dalam muzik tradisional, Amni berkata penghasilan lagu Cenderamaya yang dimuatkan dalam album tradisional Siti, Gema Bumantara, menjadi pengalaman pembelajaran berharga buat dirinya.

“Saya tidak dibesarkan dengan muzik tradisional. Memang ada mendengar lagu sebegitu melalui radio atau ketika sambutan Hari Raya, tetapi untuk mendalami genre itu merupakan pengalaman yang luar biasa.

“Pada masa sama, Jamilah yang dikenali sebagai Puteri Keroncong Malaysia, sangat terbuka untuk berkongsi ilmu.

“Kami juga tidak mahu memaksa diri untuk menjadi pencipta lagu tradisional sepenuhnya kerana masing-masing mempunyai identiti muzik tersendiri,” jelasnya, yang turut bertindak sebagai pengarah vokal.

Dalam pada itu, Amni mengakui mereka mahu mengetengahkan sisi berbeza Siti menerusi lagu tersebut, berbanding penampilan gemalai dan lemah lembut yang sering ditampilkan penyanyi itu dalam persembahan lagu tradisionalnya.

“Kami tidak mahu Datuk Siti sekadar menyanyikan lagu tradisional yang lembut.

“Sebaliknya, kami membayangkan beliau sebagai puteri pahlawan yang membawa pesanan dengan penuh semangat.

“Datuk Siti juga sangat terbuka menerima visi yang saya kongsikan mengenai cara lagu ini harus disampaikan.

“Beliau bijak mengimbangi kemerduan suara dengan semangat yang kami inginkan.

“Malah, sepanjang proses rakaman, beliau tidak henti-henti mencuba pelbagai pendekatan dan idea,” ujar Amni.

Detik paling membanggakan buat Amni pula adalah apabila lagu ciptaannya itu dipilih sebagai pembuka tirai konsert idolanya iaitu, Gema Bumantara, yang berlangsung pada 17 Oktober lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Saya, Jamilah dan Irene tidak pernah miss (terlepas) untuk tonton konsert Datuk Siti.

“Namun, apabila mendengarkan lagu sendiri dinyanyikan di hadapan 63,000 orang, saya berasa sangat bangga dan terharu sehingga air mata tak dapat nak dibendung lagi.

“Lebih menyentuh hati, ramai penonton turut menyanyikan lagu itu bersama-sama.

“Sebagai anak seni Singapura, pengalaman ini merupakan satu penghormatan yang amat besar buat saya,” luahnya.

Di sebalik kesibukan kerjaya seninya, Amni turut menjadikan usaha menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai tanggungjawab peribadi, dengan memastikan beliau menyertai sekurang-kurangnya satu acara kemasyarakatan setiap tahun.

Antara penglibatannya termasuk membuat persembahan bersama 25 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Central Band menerusi lagu Cover Me In Sunshine, pada acara Malam Cabaran Presiden 2026.

Persembahan itu kemudian disusuli dengan nyanyian lagu High Hopes bersama 100 penyanyi muda daripada Voices of Singapore Choir.

Sehingga akhbar ini diterbitkan, acara tersebut berjaya mengumpul dana sebanyak $11,045,752, selepas disiarkan secara langsung menerusi saluran Mediacorp Channel 5, pada 25 Oktober.

Sumbangan derma boleh dibuat hingga 1 November menerusi pautan https://www.mediacorp.sg/pc/presidents-challenge-night

Anda boleh menderma dengan mengimbas kod QR yang tertera pada laman web Mediacorp.