Topik diikuti
Pergi ke BHkuDemi pengkarya di sebalik tabir, Siti kekal bersaing, rangkul 4 trofi AIM
Demi pengkarya di sebalik tabir, Siti kekal bersaing, rangkul 4 trofi AIM
Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menegaskan beliau tidak mempunyai alasan untuk menarik diri daripada Anugerah Industri Muzik (AIM).
Langkah itu diambil meskipun ada yang berpandangan beliau tidak lagi perlu bersaing dalam mana-mana anugerah.
Sebaliknya, Siti berkata, keputusannya untuk terus menyertai anugerah pengiktirafan muzik berprestij itu didorong keinginan untuk memberi ruang kepada bakat baharu untuk berkarya, selain menghargai usaha mereka dalam industri muzik.
Antara lain, ia merujuk kepada mereka yang bertugas di sebalik tabir pembikinan sesebuah lagu.
Sewaktu acara AIM ke-25 yang berlangsung pada malam 26 September di Kuching, Sarawak, Siti mencatat pencapaian membanggakan apabila membawa pulang empat trofi.
Siti memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma, Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik dengan lagu Pesanan Buat Diri.
Selain itu, beliau juga telah memenangi Kolaborasi Terbaik Artis Tempatan atau Artis/Penggubah Antarabangsa menerusi lagu Cenderamaya.
Menariknya lagi, Cenderamaya merupakan hasil karya penyanyi, penggubah dan penerbit lagu Singapura iaitu Amni Musfirah, yang telah mencipta lagu tersebut bersama dua lagi rakannya, Jamilah Abu Bakar dan Irena Taib.
Siti yang sudah bertapak dalam industri muzik selama tiga dekad telah mendominasi senarai pencalonan AIM 25 dengan 14 pencalonan.
Berkongsi tentang isu menarik diri daripada AIM, beliau berkata:
“Mungkin untuk anugerah lain, saya bersedia untuk menarik diri.
“Saya pernah buat begitu ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
“Tetapi untuk AIM, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana ada orang lain yang perlu saya hargai.
“Ini adalah pentas terbaik untuk mereka. Jadi, tidak ada alasan untuk saya menarik diri,” katanya dalam laman web Harian Metro.
Siti berkata, setiap pembikinan album menuntut seseorang artis untuk terus meneroka formula baharu bagi menghasilkan karya lebih baik dan segar.
“Di pentas AIM ini sebenarnya setiap tahun apabila menghasilkan album, saya mencari formula baharu. Jadi, saya perlu terus meneroka,” kata Siti yang sudah merakamkan 21 album sepanjang kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
Mengulas penerimaan terhadap album terbaharunya, Gema Bumantara, Siti mengakui karya berkenaan turut menerima pelbagai pandangan, khususnya mengenai pendekatan muzik tradisional yang diketengahkan.
“Ketika mula-mula saya keluarkan album, Gema Bumantara, ada yang memberikan pandangan, kebanyakannya positif.
“Cuma ada segelintir yang berpendapat kalau muzik tradisional, ia perlu benar-benar tradisional.
“Bagi saya, kita perlu bijak mengikut arus perdana.
“Kalau saya menghasilkan album, saya mahu memberi peluang kepada anak muda menerusi kerjasama dengan generasi baharu dan Generasi Z,” katanya yang dikenali dengan lagu, Cindai dan Nirmala.
Menurut Siti, kerjasama dengan generasi baharu bukan sahaja memberi ruang kepada mereka untuk mengetengahkan karya.
Malah, ia turut membuka jalan untuk dirinya memperoleh pengalaman dan perspektif berbeza dalam proses penghasilan album.
“Sebenarnya, setiap kerjasama memberi saya banyak ilmu dan variasi kepada setiap album saya.
“Kalau tidak, kita tidak akan dapat melihat pencipta muda naik ke pentas seperti yang kita saksikan tadi (pada malam 26 September),” tambah beliau.