Pelakon Amyra Rosli, 35 tahun, menafikan dirinya hamil susulan berlaku pendarahan kerana mengangkat barangan berat, baru-baru ini.
Amyra, atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, menjelaskan kejadian berlaku disebabkan masalah hormon.
“Kejadian berlaku beberapa hari selepas suami, Amar Baharin, bertolak. Pada waktu sekarang, saya tidak mengandung. Saya ulang, saya tidak mengandung.
“Awalnya keadaan kelihatan seolah-olah menuju ke arah itu (hamil). Saya mengalami sedikit pendarahan. Apabila berjumpa doktor, saya dimaklumkan pendarahan mungkin disebabkan ketidakseimbangan hormon.
“Pendarahan memang tidak serius. Doktor sendiri menegaskan ia tiada berkaitan dengan kandungan atau kehamilan yang aktif. Sebenarnya, ia mungkin petanda kepada kehamilan tidak menjadi.
“Doktor tidak dapat memberikan jawapan pasti, tetapi syukur, ia bukan sesuatu yang serius,” katanya ketikai ditemui Berita Harian Malaysia di majlis pelancaran koleksi terbaru Amber Oasis Abaya di Kuala Lumpur pada 28 Mei.
Pada majlis itu, pengacara program Nona itu turut diumumkan sebagai duta bersama Nora Danish dan Amira Othman.
Amyra berkata beliau tidak membuat sebarang pemeriksaan susulan kerana pendarahan tidak lagi berlaku selepas pengambilan ubat.
“Pendarahan berlaku selama lebih kurang lima hari sahaja. Ia berlaku selepas saya mengangkat bebanan, tetapi bukanlah bebanan berat sekadar mendukung anak.
“Yang membuat saya berasa hairan, ia bukan pendarahan haid kerana tempoh haid saya belum tiba. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.
“Pada awalnya, saya menyangka ia permulaan kitaran haid, tetapi pendarahan tidak seperti biasa. Menurut doktor, situasi ini boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya keletihan melampau atau ketidakseimbangan hormon.
“Namun, saya tidak melakukan sebarang rawatan susulan kerana selepas beberapa hari, pendarahan berhenti dengan sendiri. Oleh itu, saya fikir keadaan sudah pulih,” kongsinya lagi.
Sementara itu, ibu kepada sepasang cahaya mata itu turut berkongsi keadaan kesihatannya kepada suami, namun tidak terlalu terperinci kerana tidak mahu mengganggu fikirannya.
“Saya ada berkongsi perkara ini dengan Amar, tetapi tidak secara mendalam. Saya tidak mahu suami terlalu risau, lebih lagi, dia tiada di sisi dan dalam misi berbasikal menuju tanah suci,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg