Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kembara basikal Amar Baharin: Amyra Rosli syukuri suami tahan cuaca terik, bakal pulang selepas sampai Madinah

May 27, 2025 | 9:14 PM
Amar Baharin (kiri) dan Qobin yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia, memulakan kayuhan dari Perlis lalu merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran, sebelum tiba di Arab Saudi
Amar Baharin (kiri) dan Qobin yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia, memulakan kayuhan dari Perlis lalu merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran, sebelum tiba di Arab Saudi - Foto INSTAGRAM AMAR BAHARIN

Pelakon Amar Baharin dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang sedang dalam kembara berbasikal ke Tanah Suci Makkah, kini berada di lokasi kira-kira 400 kilometer (km) dari Madinah.

Amar dan Qobin yang sudah memasuki wilayah Al Qasim di Arab Saudi, pada 25 Mei, sedang berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Nabawi yang mengambil masa lebih empat jam.

Perkembangan terkini Amar dan Qobin dikongsi isteri Amar, iaitu pelakon dan pengacara, Amyra Rosli.

Amyra berkata buat masa ini, perjalanan Amar dan Qobin tidak diteruskan setiap hari. Mereka perlu berehat dalam tempoh tertentu berikutan cuaca panas sehingga 51 darjah Celcius yang perlu dihadapi, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Perjalanan mereka bukanlah senang untuk dapat hotel atau makanan. Mereka berehat antara sehari hingga dua hari selepas kayuhan dalam jarak tertentu, kemudian sambung semula.

“Mereka tidak terlalu tegesa-gesa sebab kalau hendak kejar masuk Makkah atau Madinah dalam waktu sekarang, orang sudah terlalu ramai. Mereka hanya kayuh ‘slow and steady’ sahaja,” kata Amyra lagi.

Pada masa sama, Amyra berkongsi, misi kayuhan Amar dan Qobin di bawah program #JourneyToTanahHaram dijangka ditamatkan di Madinah.

Amyra berkata, keputusan itu dibuat berikutan jemaah Haji sudah mula berada di Makkah, namun, perancangan lain akan dimaklumkan kelak.

“Mereka dijangka akhiri kayuhan ini di Madinah sahaja sebab sekarang ini musim Haji, jadi tidak boleh masuk.

“Perancangan asal memang mahu ke Makkah. Tetapi saya tidak boleh hendak cakap banyak. Mereka pun apabila saya tanya, akan jawab Insya-Allah,” katanya.

Pada masa yang sama, Amyra berkongsi, Amar dan Qobin sering mendapat bantuan berupa makanan dan tempat tinggal daripada penduduk setempat.

“Amar maklumkan sudah okay dan mula terbiasa dengan cuaca panas di sana. Apa yang buat saya seronok dengar apabila mereka didatangi orang baik hati yang hulurkan bantuan seperti beri makan dan minum.

“Selain itu, ada juga orang beri mereka menginap di hotel secara percuma termasuk tumpangkan rumah. Jadi, momen sebegitu yang buatkan saya fikir macam dahsyat juga pengembaraan mereka ini.

“Malah, orang di sana juga sangat mengalu-alukan mereka. Dari segi cabaran, mungkin cuaca panas sahaja, tapi semangat mereka berdua sangat cekal untuk selesaikan misi ini,” katanya.

Sementara itu, Amyra bersyukur apabila segala-galanya dipermudahkan buat suami dan Qobin, selain lega kerana masih mendapat perkembangan daripada Amar setiap hari.

“Mereka sudah keluar untuk misi ini kalau tak silap sudah sebulan lebih. Jadi, apabila berjauhan ini, saya tak ada rasa macam apa yang saya fikirkan sebelum ini seperti murung atau sedih.

“Alhamdulillah saya tahu keadannya hari-hari dan perkembangan yang dia maklumkan sebab itu paling penting bagi saya.

“Saya pun tengok dia seronok dan bila cakap boleh biasakan diri dengan cuaca panas saya lega. Apabila mereka tidak mengalah saya nampak mereka ini sangat hebat,” katanya yang turut memaklumkan Amar dan Qobin akan pulang ke Malaysia dengan menaiki kapal terbang.

Amar dan Qobin yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia, memulakan kayuhan dari Perlis lalu merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran, sebelum tiba di Arab Saudi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg