Sambutan Lebaran yang bermakna adalah ketika disambut bersama keluarga tercinta.
Sebagai bapa tiga anak, hal yang dinanti-nantikan oleh penyanyi New Boyz, Tomok, menjelang Aidilfitri adalah melihat gelagat dan keseronokan anak-anak di pagi Raya.
Bagi Tomok, atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 40 tahun, tidak ada yang lebih berharga kecuali melihat anak-anak membesar di depan mata.
Hasil perkongsian hidup selama 14 tahun, Tomok dan juga isterinya, Rahayu Abas, 45 tahun, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu, Arrian Akid, 12 tahun; Andrashah Iman, sembilan tahun dan Siti Khadijah, lima tahun.
Dalam perkongsian singkat bersama Berita Harian (BH), beliau yang sudah mendirikan rumah tangga sejak 2011, berkata:
“Suasana pagi Raya selalu meriah. Tomok dan anak-anak akan bangun pagi dan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama.
“Tomok dapat lihat muka mereka yang mengantuk tetapi tetap bersemangat pergi solat Raya di masjid.
“Teringat kembali zaman kita masa kecil dulu. Apabila dapat lihat anak-anak membesar depan mata, rasa sangat seronok.
“Ini sebenarnya satu nikmat bagi Tomok.”
Tomok berada di Singapura bagi rakaman program Hari Raya untuk Mediacorp Suria, Sinar Lebaran 2025.
Menyentuh tentang lauk Raya yang wajib ada setiap Lebaran, Tomok yang ditemui BH di Mediacorp Campus menambah, suasana perayaan penuh kehangatan itu tidak lengkap jika tidak ada lauk kampung.
“Kalau lauk Raya, Tomok lebih kepada lauk kampung seperti rendang Negeri Sembilan.
“Di Malaysia, ada banyak jenis rendang. Rasa rendang Negeri Sembilan pula lain sedikit.
“Itulah makanan kegemaran Tomok. Kalau lontong ataupun ketupat, itu sudah menjadi perkara wajib yang perlu ada setiap pagi Raya,” ujar penyanyi lagu, Sejarah Mungkin Berulang itu, yang juga berasal dari Negeri Sembilan, Malaysia.
Selain itu, Tomok berasa teruja dapat turut serta dan memeriahkan lagi rancangan, Sinar Lebaran 2025, yang disiarkan di Mediacorp Suria.
Ia sentiasa dinanti-nantikan masyarakat Melayu/Islam di Singapura pada malam menjelang Hari Raya.
“Sebelum ini, Tomok pernah terlibat dalam Sinar Lebaran, untuk dua kali. Tapi, sudah agak lama.
“Orang kata, sambutan rancangan Sinar Lebaran ini sangat meriah. Apabila dapat peluang untuk (ikut) terlibat sama, Tomok pun tak ingin lepaskan peluang.
“Ia juga merupakan satu penghargaan apabila berkongsi pentas bersama artis legenda yang saya hormati seperti Abang Jatt Ali dan Datuk Ramli Sarip.
“Saya pasti, ramai yang akan terhibur dengan persembahan kami,” tambah Tomok yang menyanyikan lagu, Hari Raya Bahagia, dendangan asal Allahyarham Jay Jay, pada Sinar Lebaran 2025.
Selain itu, beliau turut menyanyikan lagu, Nikmat Hari Raya, bersama penyanyi Singapura, Aisyah Aziz, Yanni Bakri dan Izat Ibrahim.
Persembahan penutup tirai berupa lagu, Satu Hari Di Hati Raya (dendangan asal Datuk Dr M. Nasir) yang turut menampilkan dirinya bersama penyanyi lain seperti Dayang Nurfaizah, Jatt Ali, Hady Mirza, Elfee Ismail, Aisyah Aziz, Eka Mairina dan Yanni Bakri.
Awal sebelum ini, Tomok bersama penyanyi ‘leman’ (lagu balada cinta ‘tangkap leleh’ yang mendayu-dayu), Siti Nordiana, menggamatkan suasana di Zepp Kuala Lumpur bagi konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang pada 1 Februari.
Konsert tersebut dihadiri seramai 1,500 peminat dari dalam mahupun luar negara.
Antara untaian lagu yang didendangkan dan berjaya membawa penonton kembali ke era awal 2000-an termasuk Benang Emas, Cinta Tak Pergi, Terus Mencintai, Meraung, Seribu Setia, Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan Paling Comel.
Desas-desus konsert Tomok dan Siti Nordiana di Singapura pula masih lagi dalam perbincangan awal dan perincian lanjut belum dapat dikemukakan pada pihak media.
“Konsert kami di Singapura masih dalam perbincangan awal dan belum ada keputusan apa pun.
“Namun begitu, saya sangat menantikan hal itu juga kerana saya tahu, sokongan peminat Singapura sangat luar biasa.
“Kalau ada rezeki, sudah pasti saya akan melakukannya,” kata Tomok.
Sinar Lebaran 2025 selama dua setengah jam itu, disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 30 Mac, dari 9 hingga 11.30 malam.
Ia juga boleh ditonton semula pada 31 Mac, pada 11 pagi di saluran Mediacorp Suria atau melalui aplikasi mewatch.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg