Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tomok, Nana gegar pentas kapal persiaran dengan lagu ‘tangkap leleh’

15 lagu nostalgia termasuk duet terbaru, ‘Memori Mungkin Berulang’, disajikan
Feb 2, 2025 | 5:30 AM
Antara lagu yang dilantunkan Siti Nordiana Alias atau Nana menerusi ‘Live Music @ Sea’ di kapal persiaran, Genting Dream, termasuk Benang Emas, Cinta Hanya Sandaran, Angkara, Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai.
Antara lagu yang dilantunkan Siti Nordiana Alias atau Nana menerusi ‘Live Music @ Sea’ di kapal persiaran, Genting Dream, termasuk Benang Emas, Cinta Hanya Sandaran, Angkara, Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai. - Foto BM oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Apabila digabungkan dua penyanyi ‘leman’ (lagu balada cinta ‘tangkap leleh’ yang mendayu-dayu) di pentas yang sama, hasilnya cukup memukau.

Inilah yang berlaku apabila Siti Nordiana Alias dan vokalis New Boyz, Tomok, atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, kededuanya 40 tahun, berpadu suara sambil membawa peminat dalam satu kembara masa ke era 1990-an.

Mereka pernah berkongsi pentas dalam rancangan realiti Astro, All Stars Gegar Vaganza (ASGV), pada 2023, yang pernah menyatukan juara GV daripada sembilan musim dan finalis yang dipilih peminat.

Siti Nordiana atau Nana merupakan juara GV2 manakala Tomok pula finalis GV9.

Walaupun mereka telah berkecimpung dalam dunia seni hiburan selama 20 tahun, peluang berkolaborasi hanya muncul setelah kejayaan mereka tercetus dalam GV dan ASGV.

Pada 20 Januari lalu, persembahan eksklusif mereka menjadi lebih nyaman dan seronok ditonton orang ramai di atas kapal persiaran mewah Genting Dream dalam perjalanan dari Singapura ke Melaka.

Persembahan Live Music @ Sea yang berlangsung dari 8.15 malam hingga 10 malam berjaya menghiburkan seramai 600 penonton di Zodiac Theatre.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Genting Dream selepas persembahan, Tomok berkata:

“Sejujurnya, saya tidak menyangka bahawa sambutan daripada peminat akan jadi sebesar ini ketika membuat persembahan menerusi Live Music @ Sea di atas kapal persiaran, Genting Dream.

“Alhamdullilah, kelihatan hadirin yang hadir ke acara ini juga hampir memenuhi seluruh ruang di Zodiac Theatre.

“Kami juga dapat merasakan semangat peminat yang betul-betul memberangsangkan,” kata Tomok, bapa tiga anak.

Siti Nordiana pula berkongsi bahawa ini bukan pengalaman pertama beliau berada di atas kapal persiaran, Genting Dream.

Terdahulu, Nana pernah menaiki kapal tersebut sebagai pelancong.

Namun begitu, rasa bimbang sempat singgah di hatinya, memikirkan sama ada sambutan daripada penonton dapat melangkaui jangkaannya.

“Sebelum ini, Nana pernah datang ke Zodiac Theatre untuk menonton sebuah persembahan. Kali ini, Nana pula yang membuat persembahan di atas pentas itu.

“Seronok rasanya dapat membuat persembahan di tengah-tengah lautan. Memang ia sesuatu yang jarang dilakukan.

“Nana pun tidak sangka sambutan persembahan kami sebesar ini. 

“Awalnya, Nana rasa agak risau apabila sampai ke kapal persiaran ini kerana terdapat ramai pelancong berbilang kaum.

“Mujurlah, sambutan penonton yang hadir sangat menggalakkan,” tambahnya.

Dalam persembahan selama hampir dua jam itu, sinar kegembiraan jelas terpancar pada wajah Siti Nordiana dan juga Tomok yang menghiburkan peminat dengan lagu solo popular mereka.

Pada masa yang sama, pengalaman ini turut mencipta sejarah dalam kerjaya muzik masing-masing apabila mereka dapat menyerikan pentas lautan buat kali pertama dengan dendangan sebanyak 15 lagu.

Antara lagu yang dilantunkan Siti Nordiana termasuk Benang Emas, Cinta Hanya Sandaran, Angkara, Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai.

Sebagai bonus, Siti Nordiana turut menyanyikan lagu Inggeris, Baby One More Time, yang dipopularkan oleh Puteri Pop era 1990-an, Britney Spears.

Lagu ini menjadi taruhan beliau dalam ASGV, di mana juri dan netizen memberi pujian.

Sementara itu, Tomok pula menyanyikan lagu hitnya seperti Sejarah Mungkin Berulang, Meraung dan Hanya Tinggal Sejarah.

Tanpa terkecuali mendendangkan lagu artis lain, beliau turut menggamatkan pentas tersebut dengan medley lagu, C.I.N.T.A dan Bahalol oleh band rok ikonik, XPDC.

Tomok turut mencuri perhatian penonton di Zodiac Theatre dengan dendangan lagu, Joget Dimana Lah Jodoh, nyanyian asal barisan pelawak Malaysia, Ali Mamak, Abon dan Angeline Tan, yang mencuit hati dan menghiburkan.

Selain lagu hit solo mereka, buat julung-julung kalinya, Siti Nordiana dan juga Tomok membawakan lagu nostalgia yang menjadi santapan halwa telinga ramai iaitu Memori Berkasih dan Paling Comel (duet asal Siti Nordiana bersama Allahyarham Achik Spin), di samping menyanyikan lagu duet mereka sendiri, Memori Mungkin Berulang.

Walau bagaimanapun, Tomok mengakui sukar menandingi suara Allahyarham Achik yang memiliki keluasan suara yang lebih tinggi berbanding dirinya.

“Lagu Memori Berkasih yang dinyanyikan sahabat saya iaitu Nana bersama Arwah Achik sangat ikonik dan saya juga sangat menghormati karya mereka.

“Saya hanya mampu memberikan yang terbaik, dari segi apa yang Tomok Newboyz boleh lakukan sebaiknya. 

“Saya tiada niat untuk menandingi suara Achik. Malah, suaranya juga mempunyai ciri khas tersendiri dan ‘range’ atau keluasan yang tinggi.

“Dalam pada itu, saya sudah jangkakan bahawa akan ada netizen yang akan membuat perbandingan antara cara nyanyian saya dengan Achik.

“Namun, saya juga mempunyai cara saya sendiri untuk membawakan lagu Memori Berkasih, begitu juga dengan Achik,” jelas Tomok.

Persembahan Live Music @ Sea dalam kapal persiaran Genting Dream, secara tidak langsung, memberikan cebisan pembayang kepada peminat bagi konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang yang berlangsung pada 1 Februari di Zepp Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Tomok juga pernah terlibat menjadi salah seorang juri dalam rancangan realiti nyanyian, Kaki Nyanyi, yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria, setiap Selasa pada 8.30 malam, dan baru sahaja melabuhkan tirainya.

Juara pertandingan adalah kumpulan S.U.I yang dianggotai Sunny Jackson, Izat Ibrahim, Myra dan Syaz Smooth.

Tomok mengulas: “Saya dapat lihat ramai bakat muda di Singapura yang mendapat peluang ini untuk mengetengahkan potensi mereka. 

“Saya rasa sangat gembira melihat perkembangan ini dan ia seolah memberi harapan bahawa bakat muda di Singapura juga dapat berkembang jauh.

“Ini sangat jelas sekali kalau kita lihat bakat asal Singapura yang berjaya di Malaysia seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Dr M. Nasir dan Datuk Ramli MS.”

Sementara itu, bagi yang belum puas dengan paduan suara Tomok dan Siti Nordiana, tunggu selepas Hari Raya Aidilfitri 2025 kelak apabila satu lagi single terbaru mereka berdua akan diterbitkan.

Kembara tiga hari dua malam penulis atas kapal persiaran Genting Dream ditaja Resorts World Cruises.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg