KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 31 tahun, tidak sangka anak sulungnya, Ayden Adrean berjaya menamatkan renangan 400 meter pada Pesta Renang Langkawi (LSF) di Dataran Tanjung Rhu, kelmarin.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata beliau amat berbangga dengan pencapaian Ayden yang hanya sempat menjalani latihan dalam tempoh yang singkat.
“Pertandingan renang pertama anak saya, 400 meter di laut dengan hanya lebih kurang seminggu latihan.
“Memang sangat takut sampai tak keluar suara (yang keluar cuma air mata).
“Saya sendiri tak pasti sama ada Ayden boleh buat, tapi dia berjaya.
Ayden berenang sepenuh hati hingga ke garisan penamat,” katanya menerusi sebuah hantaran media sosial.
Bella mengakui, beliau berdepan perasaan cemas dan risau akan keselamatan Ayden untuk menyertai aktiviti terbabit.
Ini kerana Bella sendiri pernah melalui pengalaman pahit menyebabkannya trauma terhadap aktiviti air.
“Sebagai seseorang yang langsung tak tahu berenang (sebab trauma dan mempunyai memori gelap), melihat anak saya berada di laut terasa seperti jantung saya berada di luar badan.
“Tapi, Ayden begitu berani, kuat dan tekad dan berjaya habiskan.
Saya menangis dan sekeluarga menangis kerana Ayden berjaya, anak saya seorang yang kuat,” katanya.
Apapun, Bella sangat tersentuh dengan keberanian Ayden dalam mengharungi cabaran berkenaan meskipun baru berusia 8 tahun.
Untuk rekod, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016, namun, berpisah pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 8 tahun, dan Ara Adreanna, 5 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg