Topik diikuti
Pergi ke BHkuDatuk Vida jawab dakwaan Cef Fazley kerap datang rumah
Datuk Vida jawab dakwaan Cef Fazley kerap datang rumah
Datuk Vida jawab dakwaan Cef Fazley kerap datang rumah
KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV), memilih untuk mengambil pendekatan santai apabila namanya terus dikaitkan dengan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.
Walaupun spekulasi hubungan mereka semakin hangat diperkatakan, Vida enggan memberi ulasan berlebihan dan menyerahkan segala-galanya kepada takdir.
Menurut Vida, anak perempuannya, Cik B, menjadi individu pertama yang mengusik mengenai kemungkinan hubungan istimewa antara mereka.
“Sebenarnya Cik B yang mulakan dulu. Dia duduk bersama Fariedz Fazley selama beberapa minggu dan melihat sendiri bagaimana Fazley menyayangi anak-anaknya.
“Mungkin Cik B bergurau manja dan mesra mengenai perkara itu. Kita tak boleh nak kata apa. Kawan ke apa, kita tengok sajalah. Go with the flow,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Vida berkata beliau sendiri terkejut apabila Cik B seolah-olah memberi restu terhadap Fazley, sedangkan sebelum ini anaknya itu sering menolak mana-mana lelaki yang dikaitkan dengannya.
“Saya tak tahu, tapi Cik B kata dia sudah bagi lampu hijau. Saya pun hairan juga dengan Cik B ini.
“Sebelum ini semua dia tolak. Sebab itu saya takut juga kalau Cik B ini mulut masin,” katanya sambil ketawa.
Mengulas dakwaan Fazley kerap ke rumahnya, Vida menjelaskan kehadiran selebriti itu adalah bagi urusan perniagaan.
Katanya, Fazley kini dilantik sebagai cef eksekutif bagi kedai kopi miliknya di Brunei dan bertanggungjawab membangunkan pelbagai resipi baru untuk perniagaan berkenaan.
“Saya lantik dia sebagai cef eksekutif untuk kedai kopi yang saya buka di Brunei. Sudah hampir dua bulan dia menghasilkan resipi burger, piza, biskut dan pelbagai menu lain.
“Pengurus saya yang menguruskan perkara itu. Jadi, sebab itulah dia datang ke rumah untuk menguji menu yang sudah disediakan dan membuat penambahbaikan sebelum diperkenalkan di outlet kedua kami di Brunei selepas Ipoh,” katanya.
Pada masa sama, Vida turut menjelaskan kehadiran mereka ke konsert penyanyi Nourul Wahab baru-baru ini bukanlah seperti yang disangka ramai.
Katanya, beliau menggantikan penerbit Datuk A. Aida yang tidak dapat menghadiri konsert berkenaan atas urusan keluarga.
“Datuk A. Aida tak dapat pergi sebab ada hal keluarga. Jadi saya pergilah. Kalau tidak, rugi tiket sebab harganya RM750,” katanya.
Mengulas kenyataan Fazley yang sebelum ini menyifatkannya sebagai calon isteri yang sempurna, Vida memilih untuk tidak memberikan reaksi lanjut.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Bagi saya, Cik B yang melihat dia.
“Saya mengenali Fazley sebagai rakan bisnes. Dalam perniagaan, kita memang perlu ada keserasian atau chemistry supaya kerja yang dibuat berjaya,” katanya.
Sebelum ini, pujian yang diberikan Fazley terhadap keperibadian Vida selain kemunculan mereka bersama di konsert Nourul Depp mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hubungan sebenar mereka.
