Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Melayu bersinar di pentas ‘getai’ selama lebih 20 tahun

Asmiyati Asbah gigih nyanyi lagu Mandarin, Hokkien dan Kantonis pada perayaan musiman kaum Cina
Oct 13, 2025 | 5:30 AM
 Asmiyati Asbah, getai
Asmiyati Asbah merupakan antara segelintir penyanyi Melayu yang menjadikan pentas ‘getai’ sebagai sumber rezeki sejak lebih dua dekad. Walaupun perlu menyanyi dalam bahasa Mandarin dan pelbagai dialek Cina, beliau berjaya menyesuaikan diri serta kekal aktif dalam dunia seni sehingga kini. - Foto BANI ABDUL RAHMAN

Walaupun dunia pertunjukan awam yang berwarna-warni, atau dikenali sebagai getai, sinonim dengan masyarakat Cina, ia tetap menjadi pentas rezeki bagi penyanyi Melayu, Asmiyati Asbah, 57 tahun, yang telah lebih 20 tahun menceburi bidang itu.

Kebiasaannya, getai – yang dinyanyikan dalam bahasa Mandarin atau dialek Hokkien dan Kantonis – dipersembahkan ketika masyarakat Cina meraikan sambutan seperti Pesta Kuih Bulan atau Bulan Hantu (Hungry Ghost).

Persembahan itu menampilkan penyanyi, pelawak dan penari dengan pakaian berwarna-warni serta muzik rancak dalam pelbagai dialek Cina.

Persembahan getai kini menjadi hiburan moden yang menarik perhatian penonton daripada pelbagai kaum, biasanya berlangsung selama sebulan dari Ogos hingga September setiap tahun.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Asmiyati berkata minat menyanyi bermula sejak beliau berusia tujuh tahun.

Beliau bahkan mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya, Encik Asbah Salleh, kini 79 tahun, dan Cik Sity Saodah Ahmad, 75 tahun.

“Ibu bapa saya tidak pernah menghalang, malah mereka mendorong saya untuk teruskan minat menyanyi sejak kecil,” katanya.

Pada usia 14 tahun, Asmiyati mula membuat persembahan bersama bapa saudara dan sepupunya yang merupakan anggota sebuah band, yang kerap dijemput ke majlis perkahwinan di kawasan kejiranan.

Asmiyati kemudian memenangi pertandingan, Suara Emas, di Kelab Masyarakat Kampung Ubi pada 1993, sebelum menjuarai kategori duet dalam pertandingan, Hiburan Minggu Ini (HMI), pada 1994.

Sebelum menyertai dunia getai, beliau juga pernah menyanyi bersama Kombo Melayu, Persatuan Rakyat (PA), selama dua tahun.

Penyertaannya dalam persembahan getai pula bermula pada 1996, dengan persembahan pertamanya di kejiranan Toa Payoh, yang diiringi kumpulan muzik.

“Bayaran pertama yang saya terima ketika itu cuma $100 untuk menyanyikan tiga lagu Cina. Saya sangat teruja,” ujarnya sambil tersenyum mengenang permulaan kerjayanya.

Asmiyati tidak pernah mengikuti sebarang kelas formal untuk menyanyi dalam bahasa Mandarin dan dialek.

Beliau belajar sendiri melalui pendengaran dan kemudian berlatih menuturkan ungkapannya.

Di samping itu, dorongan suami turut memberinya kekuatan.

“Suami saya sangat memahami kerana dia juga pemuzik.

“Dia tahu keletihan kerja malam dan selalu memberi saya semangat,” jelas beliau mengenai suaminya, Bani Abdul Rahman.

Sepanjang bergiat dalam persembahan getai, Asmiyati mengakui cabaran utama beliau ialah jadual persembahan yang padat.

“Kadangkala saya ada tiga hingga lima persembahan dalam satu malam, terutama pada hujung minggu.

“Saya biasanya mengupah pemandu peribadi supaya boleh bersiap dengan kostum dan solekan dalam perjalanan ke lokasi persembahan,” jelasnya.

Beliau turut menyaksikan bagaimana industri getai berubah dengan begitu ketara dari masa ke masa.

“Dulu setiap persembahan ada band lengkap dengan skor muzik.

“Kini, ada kalanya guna minus one seperti karaoke. Tapi pentas dan sistem bunyi sekarang jauh lebih canggih,” katanya.

Walaupun enggan mendedahkan jumlah sebenar bayaran yang diterimanya kini, Asmiyati mengakui pendapatan hasil persembahan getai, agak lumayan. 

“Bayaran yang saya terima boleh dikatakan berbaloi dan mengikut harga pasaran,” kongsinya.

Selain aktif menyanyi, Asmiyati turut menceburi bidang lakonan.

Baru-baru ini, beliau muncul dalam drama bahasa Inggeris di Saluran 5, Provocative, yang turut dibintangi juara Singapore Idol, Taufik Batisah.

“Saya seronok diberi peluang berlakon walaupun hanya dalam babak kecil.

“Ia satu pengalaman menarik dan saya ingin terus mendalami bidang ini,” ujarnya.

Asmiyati turut menganggap penyanyi legenda seperti, Teresa Teng, Alan Tham, Weng Liyou dan Frances Yip sebagai idolanya.

Beliau sering membawakan lagu mereka dalam pelbagai dialek termasuk Mandarin, Kantonis dan Hokkien.

Beliau juga berbesar hati apabila diundang membuat persembahan sempena Perayaan Kuih Bulan 2025 di Chinatown, yang dijangka menampilkan pelbagai acara sepanjang tahun.

“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang menghiburkan orang ramai,” katanya.

Walaupun belum bercadang untuk merakam album dalam bahasa Mandarin atau dialek, Asmiyati tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau ada peluang, mengapa tidak?” ujarnya.

Bagi generasi muda, khususnya orang Melayu yang berminat dalam bidang nyanyian, beliau berkata:

“Semuanya bermula daripada minat dan bakat. Muzik bersifat sejagat. Ia merentasi bahasa dan sempadan.

“Melalui muzik, kita bukan sahaja dapat meluahkan diri, malah belajar memahami serta menghargai keindahan budaya lain, khususnya seperti dalam masyarakat majmuk seperti Singapura.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg