Sekadar menyebut beberapa lagu malar segar seperti, Jika Kau Bercinta Lagi, Senandung Semalam, Sampaikan Salam, Nota Terakhir dan Senyumlah Kuala Lumpur – vokalis kumpulan legenda era 1970-an, Alleycats, iaitu Datuk David Arumugam, mencipta legasi yang sehingga hari ini menjadi bualan peminat setia.
Seperkara lagi, mana mungkin ‘tanda dagang’ David setiap kali melaungkan ucapan terima kasih dengan cara tersendiri sebaik selesai beraksi, mampu luput daripada ingatan peminat bintang pop ini.
Namun, lumrah kehidupan dan seiring peningkatan usia, David yang kini berusia 75 tahun, menghadapi kesukaran bercakap.
Temu ramah bersama Berita Harian Malaysia (BHM) berlangsung dengan bantuan abang David iaitu, Lingam, atau nama sebenarnya, Ramalingam Arumugam.
Beliau sekali gus bertindak sebagai pengurus Alleycats.
Mereka ditemui BHM pada sidang media, The Knights Award Musim 4, acara penghargaan bagi mengiktiraf kejayaan usahawan bukan sahaja di peringkat Asia, bahkan antarabangsa, di Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Lingam, David yang menetap bersamanya sejak kematian isteri, mendiang Datin Sabrina Clyde, pada 2021, tidak menghidap sebarang penyakit.
Bagaimanapun, Lingam berkata David sering mengeluh kakinya lemah.
Di samping itu, kumpulan Alleycats masih menerima undangan membuat persembahan setiap bulan.
“Suara David masih bagus, cuma beliau sukar bercakap mungkin kerana kesan penggunaan gigi palsu baru.
“Walaupun David tiada penyakit, dirinya sudah tidak sekuat dulu.
“Maka, daripada beliau tinggal sendirian, saya mengajaknya duduk dengan saya. Sekurang-kurangnya, ada orang boleh tengok-tengokkan beliau.
“Tambahan lagi, dua anak David kini menetap di luar negara,” kata Lingam dalam laman web BHM.
Menyorot sejarah penubuhan Alleycats, ia bermula daripada mencuba nasib semasa pertandingan pencarian bakat di Sekolah Kebangsaan Wellesley, Georgetown, Pulau Pinang, Malaysia.
Sekumpulan enam sahabat – tiga berbangsa India dan Cina – mengasaskan kumpulan bernama Alleycats.
Nama Alleycats lahir secara spontan atas cadangan rakan sekumpulan yang sering melihat David bersama dua lagi adiknya, mendiang Loganathan Arumugan dan Shunmugam Arumugam, bermain di lorong belakang rumah.
“Salah seorang kawan mencadangkan nama itu kerana lorong belakang rumah sering menjadi tempat kami adik-beradik bermain setiap petang.
“Di lorong itu ada banyak kucing.
“Beliau cadangkan kami gunakan nama kucing lorong yang kemudian diterjemah kepada Alleycats,” kata Lingam lagi.
Selain mereka tiga beradik, Alleycats turut dianggotai pemain dram, Chin Hock; pemain saksofon, Chester Anthony Passerell; dan pemain papan nada, Khoo Fook Sin.
Kemudian, penyertaan Allahyarham Abdul Rashid Abdullah (Frank Ong), yang juga pemain bes, serta pemain papan nada, mendiang Grenville Pereira, melengkapkan lagi kumpulan tersebut.
Bakat David serta adik-beradiknya diwarisi daripada mendiang ibu mereka yang juga seorang penyanyi klasikal India.
Dek sejak kecil mengikuti mendiang ibu menyanyi, David bersama Loganathan dan Shunmugam terinspirasi untuk berjinak-jinak dalam dunia nyanyian.
“Pada 1975, Alleycats mendapat undangan sebagai artis residen di sebuah kelab di Hong Kong, yang dikenali sebagai Mocambo.
“Kami menyanyikan lagu berbahasa Inggeris dan Melayu sehinggalah suatu hari penerbit, Eric Yeo, menonton persembahan kami.
“Beliau menawarkan kontrak rakaman di bawah naungan syarikat rakaman Polygram.
“Album sulung kami berjudul, Terima Kasih, dirakamkan di Hong Kong dan diterbitkan pada 1978.
“Pada masa sama, kami juga sering berulang-alik ke Singapura kerana pejabat Polygram ketika itu, terletak di sana.
“Kebanyakan lagu dalam album itu turut dihasilkan oleh Datuk M Nasir, Wan Ibrahim dan Eddie Marzuki,” ujar Lingam.
Album Terima Kasih memuatkan lagu popular seperti Senandung Semalam dan Jika Kau Bercinta Lagi.
Namun ketika itu, David turut berkata Alleycats tidak menyangka bahawa bukan sahaja lagu-lagu mereka mendapat sambutan, malah nama kumpulan itu hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat.
“Kami masih lagi meneruskan kerja di kelab Mocambo seperti biasa tanpa mengetahui album, Terima Kasih, laris di pasaran Malaysia.
“Banyak lagu daripada album itu menjadi hit.
“Suatu hari, saya terima panggilan daripada mendiang bapa dan beliau beritahu lagu kami sangat terkenal.
“Semua orang suka tetapi kami tidak tahu kerana selepas album itu dilancarkan, kami tidak pulang ke Malaysia, sebaliknya, masih terus menyanyi di Hong Kong.
“Hanya pada 1982, kami pulang dan mementaskan konsert berskala besar.
“Kami terkejut kerana konsert itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada peminat,” kongsi David.
Kumpulan yang pernah mendapat pengiktirafan dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai kugiran paling lama bertahan itu cukup dikagumi pada era 1970-an dan 1980-an, khususnya kerana kehebatan vokalis bukan Melayu.
David turut menambah kebanyakan lagu hit mereka adalah hasil sentuhan maestro muzik, M Nasir.
“Sehingga hari ini, setiap kali Alleycats diundang untuk membuat persembahan, lagu yang tidak ketinggalan diminta peminat antaranya ialah Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Andainya Aku Pergi Dulu dan Hingga Akhir Nanti.
“Selain itu, single ciptaan Allahyarham A Ali dan lirik dihasilkan Allahyarham Juwie, Sampaikan Salam Cintaku, adalah lagu yang mendapat permintaan paling tinggi,” katanya lagi.
Pada 2007, Alleycats berdepan dugaan besar apabila Loganathan menghembuskan nafas terakhir akibat barah paru-paru.
Bagaimanapun, sebelum meninggal dunia, Loganathan sempat menitipkan pesan kepada David agar terus memperjuangkan Alleycats.
“Sebelum Loga pergi, beliau sempat berpesan supaya meneruskan perjuangan Alleycats.
“Disebabkan itulah, sampai sekarang Alleycats masih lagi bertahan walaupun ahli kumpulan kami silih berganti.
“Peminat pun tidak izinkan kami berhenti.
“Malah, kami ada ramai peminat dalam kalangan generasi baru yang mendengar lagu-lagu Alleycats melalui ibu bapa mereka.
“Kalau ke mana-mana, pasti ada peminat yang akan tegur dan meminta untuk bergambar kerana ingin dikongsikan dengan ibu bapa mereka,” kata David.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg