Anak bongsu hasil perkahwinan penyanyi, Rahmad Tohak, dan bekas isteri, pelakon Ainina Ahmad B, iaitu Nur Ara Elisya, 15 tahun, meninggal dunia kira-kira 2 petang pada 22 Jun.
Berita sedih itu dimaklumkan bekas penyanyi kumpulan Mega ini yang ketika itu berada di Sarawak untuk membuat persembahan di Betong, menerusi Facebook.
“Assalamualaikum untuk seluruh warga Betong, saya minta maaf tidak dapat hadir, malam ini (22 Jun). Saya sudah berada di Kuching untuk pergi ke lokasi.
“Tetapi, saya baru dapat berita anak saya menghembuskan nafas yang terakhir. Jadi, saya terpaksa bergegas balik ke Semenanjung Malaysia. Saya minta maaf ya warga Betong,” katanya dalam tangisan.
Rahmad, 55 tahun, ketika dihubungi berkata beliau mengambil penerbangan untuk bertolak balik ke Kuala Lumpur bagi menguruskan jenazah anaknya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Jenazah akan dibawa ke Desaku Apartment, Jalan Melati Indah 1, Taman Kemensah Height Kemensah dan selepas itu akan dibawa ke surau berdekatan.
“Jemaah masjid akan menguruskan segalanya dan jenazah dijangka disempurnakan pagi esok (23 Jun). Mereka akan menguruskan semuanya,” katanya yang dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 9.30 malam ini.
Februari lalu, Rahmad mendedahkan Allahyarham Nur Ara Elisya, yang juga anak istimewa, menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM).
Allahyarhamha menjalani pembedahan spina bertujuan meluruskan tulang belakang yang membengkok 140 (darjah) akibat sindrom Prader Willi atau penyakit yang jarang berlaku, di mana ia muncul ketika lahir serta menyebabkan beberapa masalah fizikal, mental dan tingkah laku.
Sementara itu, menerusi Facebook Ainina empat hari lalu, pelakon terbabit memuat naik gambar dan ucapan ulang tahun buat Nur Ara.
“Happy Birthday sayangku.. Nur Ara Elisya. Mama love you Elisya, terima kasih Allah untuk anak syurga ini.
“Semoga cepat sihat dan diberikan keajaiban. Elisya dapat berjalan semula… sihat, cergas dan ceria seperti dulu... amin-amin.
“#praderwillisyndrome,” tulisnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg