Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aniq Suhair tak kesal menyepi, jadikan lakonan kerjaya kedua

Jul 29, 2025 | 3:03 PM
Aniq Suhair, Azeva Natassha
Pelakon Aniq Suhair (kiri) digandikan bersama Azeva Natassha, dalam telefilem terbaru terbitan A Aida Production berjudul, ‘Bos Nak Cuti’. - Foto HARIAN METRO

Pelakon Malaysia, Aniq Suhair, memaklumkan bahawa kehilangannya daripada industri hiburan selama setahun adalah kerana mahu memberi tumpuan terhadap pengajian dalam jurusan perniagaan.

Aniq atau nama sebenarnya, Mohammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 24 tahun, berkata pada masa sama, beliau juga kini sedang memperbaiki aspek kerohanian dirinya.

“Saya tak menyesal pun ambil masa lebih setahun untuk berehat (daripada dunia hiburan) ketika nama meniti tangga populariti. 

“Ia kerana saya beroleh ketenangan sepanjang tempoh terbabit.

“Saya dapat merasakan ketenangan yang tidak dapat saya terangkan dengan kata-kata. 

“Saya juga jumpa sesuatu iaitu kunci perantaraan dengan Tuhan.

“Namun begitu, tidak dinafikan sepanjang tempoh itu perasaan rindu nak berlakon sangat membara sampai tahap rasa gian untuk bawa sesuatu watak,” kata Aniq, yang ditemui Harian Metro pada majlis sidang media telefilem Bos Nak Cuti, di pejabat A Aida Production pada 25 Julai.

Aniq, yang merupakan peserta program pencarian bakat, Hero Remaja edisi 2019/2020 itu, kini kembali dalam industri lakonan.

Beliau membintangi telefilem terbitan A Aida Production tersebut, yang diarahkan oleh Zul Huzaimy.

“Alhamdulillah, saya digandingkan dengan Azeva Natassha, yang juga anak kepada penerbit, Datuk A Aida, sebagai pelakon utama cerita ini. 

“Kami pernah belajar di sekolah yang sama semasa menengah.

“Saya juga mendapat beberapa tawaran lakonan dan cuba buat yang terbaik kerana sasaran saya adalah mahu merangkul anugerah pelakon lelaki terbaik,” katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut, Aniq berkata selain berlakon, beliau kini terikat dengan komitmen kerja bersama syarikat milik keluarga dalam bidang makanan dan minuman (F&B).

Menurutnya, lakonan dianggap sebagai kerjaya keduanya memandangkan ia memerlukan banyak komitmen serta melibatkan projek jangka panjang.

“Agak sukar untuk saya (terlibat dalam lakonan). Tetapi kalau ada kelapangan dan masa sesuai, saya akan berlakon. 

“Telefilem dan filem pun tidak ambil masa lama.

“Bagaimanapun, saya tidaklah menolak terus drama bersiri.

“Jika jadual boleh disusun dengan baik mengikut komitmen kerja, saya terbuka untuk mengambil peluang itu,” ujar Aniq, yang pernah membintangi drama bersiri, Sekali Lagi Cinta Kembali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg