Anuar Zain, 55 tahun, mendakwa pernah dipandang sinis dan dituduh menumpang populariti kakaknya, Ziana, selepas sering dilihat membuat persembahan bersama kakaknya itu, ketika mula bertatih dalam dunia seni.
Anuar yang ketika itu masih bertugas sebagai pramugara berkata beliau pada mulanya tidak berminat untuk menyanyi kerana sudah mempunyai kerjaya stabil.
Bagaimanapun, Anuar memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM), dirinya memilih untuk mengabaikan kata-kata negatif yang dianggap tidak berbaloi untuk dilayan.
“Dahulu tidak ramai penyanyi lelaki hebat di negara kita. Kita ada Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Amy Search, Zamani dan beberapa penyanyi lain.
“Saya pula selalu temani Ziana buat persembahan. Ketika itu, saya tidak minat menyanyi. Namun, saya terdengar kata-kata sinis, iaitu ada orang kasihan melihat saya terpaksa ‘menempel’ dengan kakak untuk jadi penyanyi.
“Ketika itu, saya dengar dan senyum kerana mulut orang tidak boleh ditutup. Saya pun tak simpan dalam hati,” katanya pada sidang media Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025, pada 12 Jun.
Penyanyi Lelaki Itu, berkata sehingga hari ini, beliau berpegang pendirian tidak ambil hati dengan tohmahan orang terutama yang dilayang dalam media sosial.
Malah, Anuar menasihati peminat agar tidak melayani provokasi daripada kelab peminat artis lain bagi tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Apa yang orang tak cakap di media sosial? Macam-macam… Kadang-kadang saya tengok rakan-rakan saya suka menjawab dan membalas komen netizen.
“Bagi saya, tidak perlu layan atau baca.... ‘Move on’ sahaja. Netizen kadang-kadang sengaja nakal hendak ‘cucuk’ sebab mahu tengok reaksi kita,” katanya.
Bagaimanapun, Anuar bersyukur kebanyakan komen diterima berbaur positif.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg