Tiada angin tiada ribut, penyanyi dan juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Jaclyn Victor, kembali bergelar isteri selepas enam tahun hidup sebagai ibu tunggal.
Difahamkan Jaclyn memilih pensyarah bernama, Calvin T Samuel, sebagai teman hidupnya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Berita gembira itu dikongsi penyanyi, Shila Amzah, menerusi Instagram Story.
“Akhirnya! Saya tumpang gembira buat Jaclyn,” katanya ringkas.
Pada hari penuh bermakna itu, Jaclyn tampil anggun mengenakan gaun berona putih, manakala Calvin segak bergaya dengan sut lengkap.
Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung dalam suasana tertutup di sebuah dewan, dihadiri hanya oleh anggota keluarga serta kenalan rapat.
Antara rakan artis yang memeriahkan majlis termasuk Shila, Datuk Ramli MS, Tomok, Nikki Palikat, Marsha Milan dan Siti Nordiana.
Beberapa selebriti lain yang turut hadir ialah Dina Nadzir, Che Puan Sarimah Ibrahim, Anuar Zain serta Hael Husaini.
Jaclyn, 46 tahun, pernah berkahwin dengan penyanyi dari Amerika Syarikat, Shawn Rivera, pada Julai 2014, namun rumah tangga mereka berakhir selepas lima tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Jonah Joshiah Rivera, 10 tahun dan Molly Marguerite Rivera, lapan tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg