Beberapa penggiat seni dan artis Singapura menyalurkan pandangan mereka mengenai program Gegar Vaganza 12 (GV12), serta peserta yang terlibat pada musim kali ini.
Bagi mereka, siapakah yang layak menjadi juara GV12?
Ikuti pandangan penyanyi tempatan, Nana Karia dan Hyrul Anuar:
Menurut Nana, 45 tahun, seperti edisi-edisi terdahulu, GV12 tetap mengekalkan keistimewaannya tersendiri dengan menampilkan barisan artis veteran dan berpengalaman dari rantau ini.
Namun begitu, beliau berpendapat aspek yang paling menonjol untuk diperhatikan kali ini ialah tahap kredibiliti serta konsistensi persembahan peserta.
“Terdapat beberapa peserta yang telah lama tidak aktif membuat persembahan atau merakamkan lagu baru seperti Korie, Datuk Elaine Kang, Freshies dan Krisya.
“Selain memberi kesan kepada tahap kesediaan mereka di atas pentas, faktor ini juga menjadikan kredibiliti pentas GV12 kelihatan kurang seimbang, dengan sebahagian persembahan yang tidak benar-benar menepati jangkaan sebuah pentas comeback (kemunculan semula) berprestij di Malaysia, Gegar Vaganza (GV).
“Usaha pasukan penerbitan untuk memberi kelainan melalui pemilihan lagu di luar zon selesa juga ada kalanya kurang menyerlah, mungkin disebabkan kekurangan konsistensi dalam persembahan secara langsung oleh sesetengah peserta,” kata Nana ketika dihubungi Berita Minggu (BM) pada 15 Januari.
Di samping itu, Nana menaruh harapan peserta Singapura, Iskandar Ismail, 47 tahun, dinobatkan sebagai juara bagi musim kali ini.
“Secara objektif sebagai guru vokal, dan bukan atas faktor peribadi, Eiss (panggilan buat Iskandar) sememangnya layak dinobatkan sebagai juara GV12.
“Kekuatan vokal, konsistensi serta keberanian beliau mencuba sesuatu yang baru menjadi kelebihan utama.
“Malah, peminat dari Singapura sendiri dapat melihat perbezaan ketara dalam persembahan Eiss setiap minggu.
“Pada masa sama, bagi saya, Mell Sakura dan Mark Adam pula muncul sebagai dark horse (orang yang tidak dikenali ramai orang) dengan aura, suara dan mutu penghibur yang kuat.
“Walaupun musim ini sedikit lari daripada objektif asal GV, usaha penerbitan bagi terus memperbaharui format dan memartabatkan artis veteran tetap wajar dipuji,” tambah Nana.
Sementara itu, Hyrul Anuar, 40 tahun, menyifatkan Iskandar, kumpulan Mendua dan Nubhan sebagai antara calon paling layak untuk mengisi kedudukan tiga teratas bagi merebut gelaran juara GV12.
“Kali ini, GV12 kurang meriah dan tidak sehangat tahun-tahun sebelumnya.
“Mungkin, peminat sudah mula rasa letih dengan format yg sama. Ditambah pula dengan kurangnya barisan peserta bertaraf ‘legenda’ atau ‘otai’, yang pernah menguasai industri muzik serantau.
“Kini, ia lebih ‘rojak’ dan tidak sealiran dengan matlamat asal.
“Saya melihat Eiss, Mendua dan Nubhan dalam tiga tangga teratas.
“Eiss dan Mendua sememangnya layak berada di kedudukan teratas, berdasarkan kekuatan vokal serta konsistensi persembahan yang ditampilkan sejak awal pertandingan.
“Saya juga tidak menafikan kelebihan Nubhan, namun kelebihan itu lebih kepada kebolehan memikat perhatian juri.
“Berdasarkan pengalaman menonton secara langsung GV12 pada pusingan separuh akhir (11 Jan) di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), suasana di dewan kekal meriah dengan sorakan penonton.
“Namun, kehangatannya sedikit berkurang apabila perbezaan prestasi peserta yang benar-benar menyerlah dan yang kurang meninggalkan kesan dapat dilihat dengan jelas,” kongsi Hyrul.
Pusingan akhir GV12 akan berlangsung pada 18 Januari dan disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), 9 malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg