Bintang Gegar Vaganza (GV12) kelahiran Singapura, Iskandar Ismail, 47 tahun, mengakui sedia berhijrah ke Malaysia untuk membina kerjayanya.
Menurut Iskandar, memang menjadi impiannya sejak sekian lama untuk mengembangkan kerjaya nyanyian di Malaysia seperti artis Singapura lain.
“Kalau ada peluang memang saya nak berhijrah ke Malaysia. Saya akan mengambil langkah perlahan-lahan. Sudah ada beberapa projek, insya-Allah saya akan ulang-alik.
“Saya memang sudah bersedia untuk tinggalkan Singapura. Saya ingin masuk pasaran muzik Malaysia.
“Saya pun dah kenal artis-artis di sini, mereka memberikan kata-kata semangat yang cukup hebat. Jadi kalau ada peluang keemasan saya akan ambil,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Iskandar lagi, beliau juga sudah bersedia untuk membawa keluarganya menetap di Malaysia sekiranya satu hari nanti berpeluang bekerja tetap di Malaysia.
Ditanya adakah beliau sudah bersedia berdepan komen netizen yang mungkin kurang senang dengan perancangannya berhijrah ke Malaysia, Iskandar berkata beliau percaya dengan rezeki Allah.
“Saya tak kisah. Bagi saya rezeki Allah yang tentukan. Tak kisahlah di Malaysia, Singapura, Indonesia atau Brunei, kita semua cakap bahasa Melayu.
“Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adi Putra juga berada di Malaysia. Kalau ada rezeki saya di Malaysia, saya akan bekerja kuat,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, finalis GV12 itu akan berentap merebut gelaran juara di pentas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Januari ini.
Beliau juga bakal menyampaikan dua lagu iaitu Madah Berhelah dan Senja Nan Merah, iaitu lagu duet bersama Juara GV9 dan Juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Jaclyn Victor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg